G-Dragon kembali hangatkan industri K-Pop dengan single ‘POWER’ dan umum kerjasama baharu dengan label indie EMPIRE

Setelah sekian lama menunggu, G-Dragon atay nama sebenarnya Kwon Ji Yong kini kembali dengan lagu terbarunya, dan pastinya ia mencuri perhatian peminat di serata dunia. Lagu baru G-Dragon diibaratkan sebagai sebuah naratif yang merangkumi perjalanan dan transformasinya sebagai seorang artis. Dari masa lalunya bersama BIGBANG hingga ke arah eksplorasi baru dalam kerjaya solo, setiap detik yang dilalui membentuk identiti dan muzik yang lebih matang.

Pada 31 Oktober, ikon K-Pop ini telah melancarkan single pertamanya dalam tempoh tujuh tahun, “POWER.” Pelancaran “POWER” bukan sahaja menandakan kemunculannya, tetapi juga menjadi simbol permulaan kerjasama baru antara agensinya di Korea, Galaxy Corporation, dan EMPIRE, sebuah label bebas yang terkenal dan semakin berkembang dengan senarai artis berbakat termasuk Shaboozey

Selepas 7 tahun, G-Dragon kini kembali menguasai pentas dengan gayanya sendiri.

Single “POWER” adalah sebuah karya yang mengagumkan, menggabungkan tenaga hip-hop dengan elemen muzik yang unik, mencerminkan keyakinan G-Dragon yang luar biasa. Dengan lirik pembuka yang penuh semangat — “Teka siapa yang kembali / It’s your boy, GD!” — G-Dragon serta-merta memikat perhatian pendengar. Malah bait-bait lirik itu juga menggambarkan rasa kekuatan dan pembaharuan, menandakan arah baru yang berani bagi artis ini. Untuk makluman, lagu ini turut ditulis bersama beberapa penulis berbakat termasuk Tommy “TB Hits” Brown, Theron Thomas, dan Steven Franks, yang menyumbang kepada kekuatan dan kedalaman karya ini.

Melalui “POWER,” G-Dragon menggunakan gaya lirik yang tajam dan penuh tenaga, bukan sahaja menonjolkan kehadirannya di pentas muzik tetapi juga menyampaikan semangat yang mendasari setiap karyanya. G-Dragin dengan penuh keyakinan menjelaskan tentang single terbarunya ini.

‘POWER’ menggambarkan intipati muzik. Saya meluahkan diri saya melalui muzik. Ini adalah permulaan era baru, dan saya berharap dapat menginspirasi mereka yang mendengarnya.

– G-Dragon

“POWER” memberi impak yang segera sebaik dilancarkan, mencatatkan rekod di Melon Music, platform penstriman muzik terbesar di Korea. Dalam satu jam pertama, lebih 83,000 pendengar menstrim lagu ini, menjadikannya jumlah pendengar tertinggi dalam tempoh satu jam pertama untuk tahun 2024, mengatasi rekod Rose yang mencatat 76,308 pendengar dalam waktu yang sama. Lagu ini juga telah menarik perhatian ramai dengan mengumpul lebih 8.2 juta tontonan dalam hanya 20 jam.

Sementara itu, “POWER” berfungsi sebagai single pra-pelancaran daripada album solo G-Dragon yang akan datang.

Kerjasama baru G-Dragon dengan EMPIRE

Kerjasama dengan EMPIRE ini, sebuah label muzik yang diasaskan oleh Ghazi Shami, seorang Palestin-Amerika menandakan fasa kebebasan baharu bagi bintang K-Pop yamg menjadi peneraju dalam industri muzik, selepas meninggalkan label lamanya, YG Entertainment tahun lalu setelah dua dekad bersama.

Ramai yang melihat bahawa langkah ini bukan sahaja memberi kebebasan kepada G-Dragon untuk meneroka pelbagai gaya muzik, tetapi juga membolehkannya bekerja dengan penggiat industri yang mempunyai visi yang sama. Dengan EMPIRE, G-Dragon dijangka akan melangkah lebih jauh, mencipta muzik yang bukan sahaja menarik perhatian, tetapi juga memberi kesan mendalam kepada pendengar.

Ghazi Shami yang dikenali dengan kerja amalnya yang memberi impak, terutamanya dalam menyokong isu Palestin, kepimpinan Ghazi dijangka akan memperkenalkan perspektif baru dalam dunia K-pop, menggabungkan muzik dengan advokasi yang bermakna.

G-Dragon adalah kekuatan budaya yang telah meletakkan asas untuk dominasi global K-pop. Kerjasama ini memperkukuhkan misi EMPIRE untuk berkerjasama dengan artis yang akan membentuk masa depan muzik global.

– Ghazi, pengasas dan CEO EMPIRE.

Kerjasama antara G-Dragon dengan EMPIRE cetuskan perbincangan hangat dalam kalangan komuniti K-pop.

Sesetengah peminat menyeru agar terdapat “industri K-pop yang bebas daripada Zion**,” manakala yang lain menyatakan harapan bahawa pengaruh G-Dragon dapat meningkatkan kesedaran tentang isu sosial yang kritikal, terutamanya yang memberi kesan kepada rakyat Palestine.

Seorang peminat menulis, “Ini membuatkan saya sangat gembira, saya kini menjadi peminat GD dua kali ganda.”

Pengesahan Ghazi mengenai kerjasama tersebut di akaun X miliknya hanya meningkatkan jangkaan terhadap projek-projek masa depan G-Dragon.

Ketika Pengasas EMPIRE, Ghazi, memulakan babak baru ini, kerjasama antara G-Dragon dan EMPIRE dijangka akan mentakrifkan semula sempadan K-pop, menunjukkan bagaimana muzik dapat berfungsi sebagai platform yang berkuasa untuk perubahan sosial.

Penantian peminat bagi aktiviti G-Dragon akan datang

Bagi peminat yang tidak sabar, penyanyi dan rapper terkenal ini dijadualkan untuk membuat persembahan di MAMA Awards di Jepun pada 23 November 2024, yang menandakan penampilan pertamanya di acara anugerah K-Pop setelah hampir satu dekad. Peminat juga boleh mengharapkan lebih banyak aktiviti daripada G-Dragon, termasuk kemungkinan jelajah dunia. Dengan kerjasama bersama EMPIRE, pasti ada pelbagai kejutan yang akan dihadirkan, memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan G-Dragon kembali beraksi.

Terdahulu, pada 17 Oktober, Kumpulan Tencent Music Entertainment (TME) telah mengumumkan kerjasama strategik dengan Galaxy Corporation, agensi yang mewakili pemuzik global yang berpengaruh, G-Dragon, untuk jelajah serantau yang akan datang.

Kerjasama ini menandakan langkah penting dalam usaha TME untuk memperluaskan kehadirannya di peringkat global dan mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik antarabangsa. Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, TME akan bertindak sebagai rakan kongsi eksklusif bagi konsert G-Dragon di pelbagai pasaran, termasuk kebanyakan negara di Asia Tenggara, Timur Tengah, Hong Kong, Macao, Taiwan, Australia, dan New Zealand.

G-Dragon juga pernah menyatakan kepada peminat menerusi sebuah video pada tahun lepas, “Saya merancang untuk bertemu dengan kalian melalui pelbagai aktiviti. Saya juga sedang menyiapkan sebuah album. Saya akan pastikan untuk membawa berita baik kepada kalian semua pada tahun baru.”

Jadi, jangan risau, G-Dragon tidak akan pernah melupakan peminat setianya yang sentiasa memberi sokongan kepadanya dan juga BIGBANG. Nantikan berita terkini mengenai aktiviti akan datang G-Dragon. Sebelum itu, jom saksikan video muzik ‘POWER’.

Sumber : 1 | 2 | 3 | 4 | 5