Bintang-bintang utama drama tvN “Love Next Door” telah berkongsi ucapan terakhir mereka sebelum episod kemuncak disiarkan!
“Love Next Door” ialah komedi romantik yang diarahkan dan ditulis oleh pengarah serta penulis yang sama untuk drama popular “Hometown Cha-Cha-Cha.” Dalam drama ini, Jung So Min melakonkan watak Bae Seok Ryu, seorang wanita yang cuba memulihkan kehidupannya yang berantakan. Jung Hae In pula berperanan sebagai Choi Seung Hyo, anak kepada rakan ibunya, yang dia anggap sebagai bab yang sukar dan memalukan dalam hidupnya.
Dengan hanya tinggal dua episod, pelakon utama “Love Next Door” — Jung Hae In, Jung So Min, Kim Ji Eun, dan Yun Ji On — berkongsi kenangan mereka sepanjang penggambaran.
Jung Hae In meluahkan rasa sedih kerana drama ini akan berakhir. Katanya, “Sebagai penonton yang menikmati drama ini, agak sedih bila tahu ia akan tamat.” Jung So Min turut bersetuju, dengan berkata, “Saya masih tak dapat percaya penggambaran dah habis dan drama ini hampir sampai ke penghujungnya. Mungkin sebab saya masih belum betul-betul ‘lepaskan’ ‘Love Next Door’ dari hati saya.”
Kim Ji Eun mengenang kembali saat-saat di set, “Setiap kali menonton episod baru, saya akan teringat kenangan di set penggambaran. Rasanya sedih bila tahu hanya tinggal dua episod lagi. Saya dah mula sayang drama ini, dan saya akan ingat kenangan ini untuk masa yang lama.” Yun Ji On pula berkata, “Saya selalu tak sabar tunggu hujung minggu untuk menonton drama ini, tapi minggu ini, saya harap hujung minggu lambat datang. Tapi dalam kesedihan ini, saya rasa bersyukur kepada penonton yang menyayangi ‘Love Next Door.’”
Para pelakon juga berkongsi pandangan mereka tentang watak dan drama ini. Jung Hae In berkata, “Projek ini sangat istimewa buat saya kerana saya seronok setiap hari datang ke set. Saya rasa ada banyak persamaan antara saya dan watak Choi Seung Hyo, dan itu membuatkan saya mudah untuk mendalami wataknya. Membawakan watak Seung Hyo juga mengajar saya banyak perkara baru.” Jung So Min menambah, “Saya rasa bertuah dapat melakonkan watak Seok Ryu. Saya harap dia terus kekal sihat dan gembira.”
Kim Ji Eun berkongsi, “Saya rasa gembira setiap kali tiba hari penggambaran kerana watak Jung Mo Eum. Saya sangat berterima kasih kepada Mo Eum yang sentiasa melihat dunia dengan pandangan positif dan penuh kasih sayang.” Yun Ji On menggambarkan drama ini sebagai sesuatu yang bertuah, katanya, “Drama ini membawa banyak kenangan manis dan pengalaman yang baik. Saya rasa drama ini juga membuatkan saya lebih terbuka untuk menghadapi masa depan.”
Akhirnya, pelakon-pelakon ini memberi sedikit gambaran tentang apa yang bakal penonton lihat dalam episod-episod terakhir. Jung Hae In berkata, “Penonton boleh menjangkakan momen-momen yang hangat antara Seung Hyo, Seok Ryu, dan keluarga mereka. Pastikan juga untuk melihat kasih sayang antara keluarga Mo Eum, Dan Ho, dan Yeon Doo.”
Jung So Min menambah, “Saya harap anda semua menikmati dua episod terakhir ini dengan tenang dan nikmati detik-detik manis antara Seung Hyo dan Seok Ryu yang telah melalui banyak rintangan bersama.” Dia juga berkata, “Melihat penonton berkait dengan cerita ini dan merasa selesa dengannya memberi saya semangat. Terima kasih banyak-banyak kerana menyayangi ‘Love Next Door’ selama ini.”
Episod kedua terakhir “Love Next Door” akan disiarkan pada 5 Oktober jam 10:20 malam MYT dan tersedia untuk tontonan di platform penstriman Netflix.
Sumber : 1