Koreografi 10 anggota penuh tenaga ini memberi penghormatan kepada era Michael Jackson sekitar 1980-an dan 1990-an.
Kumpulan THE JET BOY BANGERZ from EXILE TRIBE (TJBB) secara rasmi telah melancarkan muzik video bagi single utama “BLACK SHEEP”, yang juga merupakan lagu pembuka untuk album kedua mereka yang dinanti-nantikan berjudul JET BANGIN’.
Dianggotai 10 ahli berbakat, termasuk tujuh penari profesional daripada liga tarian Jepun D.LEAGUE, TJBB dikenali dengan keupayaan teknikal tinggi yang menjadi identiti utama mereka di bawah label LDH Japan, sekali gus melonjakkan nama mereka dalam industri muzik global.
Selepas pelancaran digital album JET BANGIN’, “BLACK SHEEP” tampil sebagai karya yang menekankan mesej kebebasan dan identiti diri. Muzik video ini menggabungkan naratif visual yang kuat bersama koreografi bertenaga yang menjadi tanda dagangan kumpulan tersebut.
MV ini diarahkan oleh Shigeaki Kubo, pengarah yang terkenal dengan karya seperti siri filem HiGH&LOW dan adaptasi live-action Golden Kamuy. Dengan tema “bebas daripada penindasan dan mencapai kebebasan”, video ini bermula dengan kemunculan TJBB menaiki sebuah kereta “soul”, sebelum mereka mengubah suasana hotel klasik yang kaku menjadi ruang yang lebih bebas dan ekspresif.
Dalam satu simbolik yang kuat, ahli kumpulan dilihat menanggalkan label yang melekat pada diri mereka, melangkah ke hadapan dengan tenaga penuh menuju kebebasan mutlak.
Seiring identiti TJBB, koreografi lagu ini dibangunkan bersama oleh ahli kumpulan TAKI serta koreografer terkenal D.LEAGUE, Shungo (yang pernah bekerjasama dengan Da-iCE dan BE:FIRST). Segmen utama MV menampilkan formasi tarian yang sangat teratur sebagai penghormatan kepada era ikonik Michael Jackson pada 80-an dan 90-an.
Kesemua 10 ahli tampil dengan sut kemas, topi fedora serta sarung tangan berkilauan, sambil menggunakan prop klasik seperti mikrofon berdiri dan tongkat, memberi sentuhan nostalgia yang kuat.
Ahli kumpulan SHOW berkongsi bahawa koreografi ini bukan sahaja mengekalkan gaya tersendiri TJBB, tetapi juga memberikan penghormatan mendalam kepada Michael Jackson.
“Dalam MV ini, kami juga sangat teliti dengan butiran persembahan termasuk penggunaan mikrofon berdiri dan topi. Kami harap peminat dapat menikmati muzik video ini,” katanya.
Pelancaran ini turut menandakan pencapaian besar TJBB selepas kejayaan berturut-turut di carta Oricon, persembahan viral di America’s Got Talent, serta penampilan di pelbagai festival besar di Asia Tenggara.
Momentum ini akan diteruskan menerusi jelajah THE JET BOY BANGERZ LIVE TOUR 2026 〜JET BANGIN’〜 yang bermula pada Julai 2026.
Lagu “BLACK SHEEP” dan album JET BANGIN’ kini boleh distrim di semua platform muzik utama. Jon saksikan MV “BLACK SHEEP” di bawah:


