Kehadiran Doh Kyung Soo ke Malaysia kembalikan nostalgia dan buat peminat terpukau dengan pesonanya

Untuk pertama kalinya, Doh Kyung Soo mengadakan konsert solo pertamanya yang bertajuk “BLOOM” di Malaysia baru-baru ini. Konsert Doh Kyung Soo Asia Fan Concert – BLOOM di Malaysia telah diadakan pada 17 Ogos 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil. Konsert anjuran Unusual Entertainment dengan kerjasama Syarikat Soosoo dari Korea Selatan ini berjaya melabuhkan tirainya pada hari Sabtu lalu. Acara ini mendapat sambutan hangat daripada peminat EXO-L yang telah lama menantikan kehadiran beliau selepas tamat khidmat ketenteraan. Dengan tema warna biru dan putih, Axiata Arena dibanjiri EXO-L sejak pukul 8 pagi lagi. Tidak dapat dinafikan, EXO-L sangat teruja dan gembira menghadiri konsert solo ini, walaupun terpaksa menghadapi hujan dan panas sebelum memasuki stadium.

Doh Kyung Soo memulakan persembahan dengan membawakan lagu terbarunya, “Mars,” dari album mini ketiganya, “Blossom.” Album “Blossom,” yang baru sahaja dilancarkan pada 7 Mei 2024, menonjolkan kekuatan dan keindahan vokalnya yang memang tidak dapat dipertikaikan sejak dia bersama EXO. Kualiti vokalnya yang memukau telah membuatkan peminat terpesona dan menikmati persembahan secara langsung dengan penuh kekaguman.

Doh Kyung Soo, yang lebih dikenali sebagai D.O. dari EXO, telah menunjukkan kasih sayangnya terhadap peminat di Malaysia dengan penuh semangat. Dalam ucapannya yang ceria, dia berkata: “MALAYSIA!!!!! Apa khabar, saya Doh Kyung Soo! Long time no see”. Untuk pengetahuan, penampilan terakhirnya di Malaysia adalah pada tahun 2018 bersama EXO, dan sejak itu, dia mengungkapkan betapa dia merindui peminat-peminatnya di sini. Keberadaannya yang penuh rasa rindu ini pastinya menceriakan hati para pengikutnya di Malaysia yang telah lama menantikan kehadirannya.

Dalam segmen interaksi dengan peminat, D.O. menambahkan sentuhan peribadi dengan melukis beberapa bunga yang akan digunakan dalam sesi Q&A atau permainan. Masa yang diambil D.O. untuk melukis bunga-bunga tersebut adalah sekitar 30 minit. Selain itu, D.O. turut belajar beberapa patah perkataan dalam Bahasa Melayu, seperti “selamat malam, sayang,” “semoga bahagia ya,” “janji?” dan “cantiknya kamu semua.”

Dalam segmen interaksi ini, D.O. berkongsi beberapa gambar menarik mengenai pengalamannya mencuba makanan Malaysia. Antara makanan Malaysia yang telah dicubanya ialah roti tisu, apam balik, nasi lemak, dan pelbagai jenis hidangan lain. D.O. menunjukkan gambar roti tisu yang nipis dan rangup, sambil berkongsi bagaimana dia terkejut dengan saiznya yang besar dan keunikan rasanya. Dia juga memaparkan gambar dirinya menikmati roti tisu bersama pelbagai jenis kuah. D.O. menyangka bahawa teh tarik dalam plastik merupakan salah satu jenis kuah. Selain itu, D.O. turut mencuba apam balik dan sangat menyukainya. Dengan isian kacang, jagung, dan gula, D.O. menyebut bahawa tekstur dan rasa manis apam balik mengingatkannya kepada hotteok, iaitu pancake Korea yang juga mempunyai rasa manis dan isian yang lembut.

Untuk segmen seterusnya, peminat diberi peluang untuk bertanyakan soalan secara langsung kepada D.O. melalui kertas yang mereka tulis sendiri. Peminat juga tidak melepaskan peluang untuk memintanya menyanyikan beberapa buah lagu, termasuk “Lucky,” “All of Me,” “First Snow,” dan “Boyfriend.” Walaupun telah menyanyikan beberapa lagu, vokalnya tetap konsisten, dan sentuhan akustik menyerlahkan lagi kualiti vokalnya yang memukau, membuatkan peminat terpesona. Peminat juga mencadangkan agar D.O. makan durian, tetapi dia sudah memakannya sebelum konsert dan sangat menyukainya. Selain itu, dia turut menyanyikan beberapa lagu miliknya secara akustik..

Persembahan memukau D.O. diteruskan dengan lagu-lagu seperti “Simple Joy,” “I Do,” dan “My Dear,” yang masing-masing mempunyai keistimewaannya tersendiri. Dengan melodi yang rancak dan penuh tenaga, suasana konsert semakin ceria dan bersemangat, serta berjaya mencipta pengalaman muzik yang sangat menghiburkan. Sepanjang konsert, peminat tidak henti-henti menyalakan lightstick dan mengikut rentak lagu dengan penuh semangat, sehingga suara mereka jelas kedengaran hingga ke luar stadium.

Keharmonian dan penghayatan D.O. dalam lagu-lagu seperti “Ordinary Days,” “Good Night,” dan “About Time” menciptakan suasana yang nyaman dan membangkitkan emosi, serta menawarkan pengalaman mendengar yang sangat memuaskan. Kualiti vokalnya tetap memukau, walaupun dia menyanyikan lagu-lagu tersebut dalam keadaan duduk. Sentuhan akustik menyerlahkan lagi kekuatan vokalnya yang lebih padu. D.O. juga mempersembahkan “Somebody,” sebuah balada yang penuh emosi dan kerinduan, dengan vokal yang mengesankan dan melodi yang mendalam. Lagu ini menawarkan pengalaman mendengar yang emosional dan menenangkan, menjadikannya pilihan ideal bagi peminat muzik yang menghargai balada romantis dan melankolik.

Ketika sesi penantian encore, peminat disajikan dengan VCR ENCORE yang memaparkan D.O. dalam pelbagai ragam semasa berlatih dan sesi bergambar. Kemudian, lagu “Popcorn” dinyanyikan sebagai sebahagian daripada encore, diiringi dengan fanchant meriah bersama peminat. Jelas kelihatan bahawa D.O. benar-benar terharu dengan sokongan peminat di Malaysia, terutama apabila mereka bertungkus lumus menyediakan video fan project untuknya sebelum sesi bergambar. Peminat juga berulang kali meminta EXO untuk kembali ke Malaysia dan mengadakan persembahan di sini. D.O. berjanji akan kembali ke Kuala Lumpur bersama kumpulannya, yang mencetuskan sorakan penuh semangat daripada peminat. Tidak hairanlah, aura peminat K-Pop di Malaysia memang luar biasa dan mampu membuatkan ramai selebriti dari Korea Selatan jatuh hati.

Para peminat yang memiliki tiket VIP layak menikmati pelbagai kelebihan, termasuk pas VIP yang ditandatangani, lanyard, kad foto, beberapa poster yang ditandatangani, serta sesi perpisahan (“send-off session”) yang sangat dinantikan. Sesi perpisahan kali ini sangat bermakna kerana D.O. akan menyanyikan lagu-lagu yang diminta oleh peminat, seperti “Peterpan,” “El Dorado,” “Supermarket Flowers,” “Monster,” dan “Don’t Go.” Lagu “El Dorado” adalah yang paling menggamit kenangan kerana ia telah menjadi viral dan mendapat perhatian di luar negara.

Semua peminat sangat berpuas hati sepanjang konsert Doh Kyungsoo Asia Fan Concert – BLOOM di Malaysia. Persembahan yang memukau dan vokal D.O. yang menakjubkan akan kekal sebagai kenangan yang paling manis. Jutaan terima kasih diucapkan kepada penganjur kerana merealisasikan impian EXO-L untuk bertemu dengan Doh Kyungsoo. Semoga kita dapat bertemu lagi di masa hadapan. “WE ARE ONE. EXO, SARANGHAJA~”

Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di FacebookTwitterInstagramTikTok dan Youtube untuk  mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.

Penulis : Wan

loading...