Malaysia Jadi Destinasi Pertama Siri Jelajah Asia Kim Sung Kyu – [LV3: Let’s Vacay] Selama 2 Hari Ogos Ini

Ketua kumpulan INFINITE, Kim Sung Kyu bakal berkunjung ke Malaysia bagi menjayakan [LV3: Let’s Vacay] Asia Tour pada Ogos ini selama dua hari berturut-turut.

Tiket mula dijual pada 17 Julai dengan pelbagai faedah yang eksklusif untuk dimenangi oleh peminat

Kim Sung Kyu, ketua kumpulan K-pop INFINITE, baru-baru ini telah mengumumkan sesuatu yang paling dinanti-nantikan oleh INSPIRIT (kelab peminat INFINITE) bahawa beliau akan mengadakan siri jelajah Asia untuk konsert solonya yang mana Kuala Lumpur akan menjadi perhentian pertamanya! Apa yang menjadi perhatian, Kim Sung Kyu akan membuat persembahan untuk dua hari berturut-turut di negara ini.

Dianjurkan oleh D-SHOW, dan dengan kerjasama Offbeat serta 43 Entertainment sebagai promoter, Konsert Kim Sung Kyu 2024 [LV3:Let’s Vacay] Asia Tour di Kuala Lumpur dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 10 Ogos, 8 malam dan Ahad, 11 Ogos, 4 petang bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

INSPIRIT Malaysia diberi penghormatan untuk menjadi orang pertama untuk menonton persembahan solonya yang julung kali di adakan selepas 11 tahun Sung Kyu berkunjung ke negara ini.

[LV3: Let’s Vacay] merupakan kesinambungan kepada siri konsert solonya [LV], yang mana [LV2: Like Your Vibes] yang diadakan pada 2023 dan [LV1: Light & Voice] pada tahun 2022. Sudah pasti [LV3: Let’s Vacay] merupakan sesuatu yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat yang menantikan kemunculannya selama ini.

Sung Kyu yang berjaya mencipta nama sebagai figura K-pop terkenal mula terlibat dalam bidang seni pada 2010 sebagai ketua kumpulan INFINITE dengan album mini pertama mereka “First Invasion.” Ianya memuatkan single utama “Come Back Again” yang sekaligus mengukuhkan reputasi mereka sebagai generasi K-pop baharu.

Sejak dari itu Sung Kyu terus mencipta kerjayanya dalam pelbagai bidang termasuk muzik, filem, rancangan TV, muzikal dan pengacaraan. Selepas menamatkan perkhidmatan tentera pada tahun 2020, Sung Kyu kembali beraksi sebagai penghibur dengan mengadakan konsert solo “Shine Encore” selama tiga hari di Seoul. Sung Kyu juga sering tampil dalam pelbagai pertunjukan dan persembahan muzikal, serta mengeluarkan album mini ketiganya “Inside Me” dan terus aktif hingga kini.

Sejak album mini solo pertamanya “Another Me” yang dikeluarkan pada 2012, sehingga kini dia telah mengeluarkan satu album studio 10 Stories (2018) dan lima album mini. [Another Me (2012), 27 (2015), Inside Me (2020), Savior (2022) dan.2023 S/S Collection (2023)]

Harga Tiket

Tiket konsert boleh didapati melalui www.etix.com mulai 17 Julai, 12 tengah hari, pada harga RM788 (VIP), RM728 (VIP BOX), RM688 (CAT 1) dan RM588 (CAT 2). Harga tiket tidak termasuk yuran pemprosesan RM4 dan bayaran transaksi RM10. Sebagai maklumat, terdapat 8 VIP BOX yang mana setiap satu memuatkan seramai 8 orang.

Berikut adalah kategori tiket dan keistimewaan untuk peminat yang menonton konsert ini:

VIP – RM788

Faedah Peminat: Foto Kad (1 Set 2 Versi), Poster Rasmi, Soundcheck, Foto Berkumpulan (seramai 120 orang dengan setiap sesi 20 orang), Poster Bertandatangan (40 peminat), dan Polaroid bertandatangan (8 orang)

VIP BOX – RM728

Faedah Peminat: Foto Kad (1 Set 2 Versi), Poster Rasmi, Soundcheck, Foto Berkumpulan (20 orang),  Poster Bertandatangan (10 orang) dan Polaroid bertandatangan (2 orang)

CAT 1 – RM688

Faedah Peminat: Foto Kad (1 Set 2 Versi), Poster Rasmi, Foto Berkumpulan (40  orang dengan setiap sesi 20 orang) dan Poster Bertandatangan (30 orang).

CAT 2 – RM588

Faedah Peminat: Foto Kad (1 Set 2 Versi), Poster Rasmi, Foto Berkumpulan (20 orang) dan Poster Bertandatangan (20 orang).

Peminat akan dipilih secara rawak bagi mendapatkan faedah peminat bagi setiap kategori tiket.

Untuk maklumat lanjut dan terkini tentang konsert Kim Sung Kyu 2024 [LV3: Let’s Vacay] Asia Tour di Kuala Lumpur untuk dua hari berturut-turut itu, sila dapatkan maklumat di platform media sosial rasmi Promoter 43 Entertainment – Facebook 43ent dan Instagram 43_ent. Bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini, peminat dinasihatkan agar mendapatkan tiket daripada pihak yang telah dipertanggungjawab sahaja.

loading...