Lee Se Young dan Na In Woo disatukan dalam drama romantis terbaru MBC

Lee Se Young dan Na In Woo akan membintangi drama baharu bersama!

Pada 13 Jun, secara rasminya diumumkan bahawa Lee Se Young dan Na In Woo akan membintangi drama baharu “Motel California” (tajuk literal). Drama 12 episod ini dijadualkan ditayangkan pada tahun 2025 menerusi rangkaian MBC.

“Motel California” merupakan drama percintaan yang ditulis oleh Lee Seo Yoon dan diarahkan oleh Jang Joon Ho dan Kim Hyung Min. Drama ini berdasarkan novel Shim Yoon Seo 2019 “Home, Bitter Home” (tajuk literal) yang mengisahkan seorang wanita yang dibesarkan di sebuah motel luar bandar yang dipanggil “Motel California”. Selepas meninggalkan kampung halamannya, dia kembali 12 tahun kemudian untuk bertemu semula dengan cinta pertamanya dan berdepan cabaran baharu.

Lee Se Young akan memainkan watak Ji Kang Hee yang dibesarkan di sebuah motel yang dikendalikan oleh bapanya yang pada asasnya adalah rumahnya. Dia berbangsa campuran, dengan ayah dan ibunya berketurunan campuran. Kerana latar belakangnya, dia berdepan dengan pelbagai cabaran sehingga menyebabkan emosinya terluka semasa membesar. Dia jatuh cinta dengan rakan zaman kanak-kanaknya, Cheon Yeon Soo, tetapi meninggalkan semuanya dan berpindah ke Seoul pada hari lahirnya yang ke-20. Kang Hee menjadi seorang pereka dalaman. 12 tahun kemudian, ketika kemuncak kerjayanya, dia terpaksa pulang ke kampung halamannya dan mencari semula cinta pertamanya.

Sementara itu, Na In Woo akan memainkan watak Cheon Yeon Soo, seorang lelaki yang ditakdirkan bercinta  dengan Ji Kang Hee. Yeon Soo seorang lelaki setia yang hanya mencintai seorang wanita sepanjang hidupnya. Dia bekerja sebagai doktor haiwan dan menjadi tumpuan semua petani di kampung pedalamannya. Para petani terus berusaha untuk mencarikan jodoh buat Yeon Soo tidak kira siang dan malam. Untuk melarikan diri dari usaha mereka yang tidak putus-putus, dia membenarkan khabar angin palsu tersebar bahawa dia sedang menjalin hubungan serius dengan rakan doktor haiwannya. Di tengah-tengah kepura-puraan ini, cinta pertamanya, Kang Hee, muncul semula dalam hidupnya. Salah faham dengan situasi itu, Kang Hee percaya Yeon Soo ketika itu telah mempunyai teman wanita sehingga menyebabkan ketegangan dan konflik antara mereka.

Pasukan produksi mengulas, “Kami telah mengabadikan emosi yang penuh nostalgia dan kelembutan cinta pertama setiap orang dalam jalan cerita yang menyeronokkan dan penuh dengan kelainan. Lee Se Young dan Na In Woo adalah pelakon yang sangat dihormati. Gabungan mereka sangat menyegarkan, dan penonton boleh mengharapkan drama percintaan anak muda yang menarik.”

“Motel California” akan memulakan pengeluaran berskala penuh dengan sasaran tarikh siaran pada 2025.

Buat masa ini, anda boleh menonton lakonan Lee Se Young menerusi drama “The Story of Park’s Marriage Contract” menerusi platform Viu Malaysia dan tidak ketinggalan lakonan hebat Na In Woo menerusi “Marry My Husband” di Prime Video Malaysia.

Sumber : 1 | 2

loading...