Sidang Media bersama Lee Jae Wook – Duta Kehormat Korea Tourism Organization yang pertama ke Malaysia

Kuala Lumpur – Akhirnya kehadiran Lee Jae Wook ke Malaysia menjadi kenyataan. Terdahulu, KTO telah mengumumkan perlantikan Lee Jae Wook sebagai Duta Kehormat untuk Korea Tourism Organisation di Kuala Lumpur dan dijadualkan mengunjungi Malaysia pada 5 November 2022 sempena Korean Fest yang dijalankan sepanjang 4-6 November 2022.

Dek kerana berdepan isu Covid-19 yang masih belum reda, ia adalah satu penghormatan kepada para mangsa serta keluarga yang terlibat dalam Tragedi Halloween di Itaewon sehingga menyebabkan segala perancangan yang dijadualkan telah ditangguhkan. Melihatkan segala perancangan telah di susun rapi, akhirnya sekali lagi KTO Malaysia mengumumkan 20 Disember 2022 sebagai tarikh baharu kedatangan Lee Jae Wook ke negara ini sekaligus memberi sinar baru buat peminat.

Acara di mulakan dengan sidang akhbar bersama media sebelum acara utama bersama dengan para peminat Lee Jae Wook yang sangat menantikan kehadiran pelakon ini.

Sidang media yang berjalan sepanjang 20 minit menyaksikan suasana penuh ceria di antara Lee Jae Wook dan para media yang rata-ratanya agak memahami bahasa Korea sehingga pengacara Natalie pada majlis tersebut bercanda menyatakan sidang media tersebut tidak memerlukan penterjamaahan.

Menemani Lee Jae Wook ketika sidang media ini adalah En. Yang Kyung Soo, Pengarah Urusan Korea Tourism Organisation dan En. Yoo Jin Ho, Pengarah Produk Perlancongan Korea Tourism Organisation. Tanpa usaha dan kesungguhan dua tunggak utama ini, tidak mungkin peminat dapat melihat secara dekat dan bersemuka Lee Jae Wook di Malaysia.

Untuk pengetahuan semua, ini merupakan kali pertama Lee Jae Wook datang ke Malaysia. Menurut En. Yang Kyung Soo, perlantikan Lee Jae Wook sebagai Duta Kehormat KTO dan memilih Malaysia sebagai tempat tapak pelancaran ‘Tahun Melawat Korea 2023’ dengan tema “Annyeongkawan” adalah kerana mereka berharap dapat meningkatkan lagi pemilihan Korea sebagai destinasi pelancongan teratas untuk Malaysia. Selain itu, ia akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk meneroka Korea terutama kepada peminat K-drama dan K-pop melalui Lee Jae Wook.

Lee Jae Wook menyatakan bahawa beliau agak terkejut dan terharu  kerana dipilih sebagai Duta Kehormat KTO dan berjanji akan melakukan tugasannya untuk memperkenalkan Korea kepada Malaysia. Oleh kerana pelakon itu tidak pernah melawat Malaysia menyebabkan beliau melakukan penyelidikan dan mendapati bahawa banyak persamaan di antara Malaysia dan Korea dari segi landskap dan alam semula jadi. Sekiranya mempunyai kesempatan, beliau berharap dapat melawat tempat-tempat yang menarik di Malaysia.

Sempena Tahun Melawat Korea, Lee Jae Wook secara peribadinya memperkenalkan ‘Han River’ sebagai salah satu tempat beliau menghabiskan masa terluang untuk menenangkan fikiran. Lee Jae Wook mencadangkan peminat merasa keindahan Han River sendiri kerana lokasi tersebut adalah sangat cantik serta mempunyai suasana yang berbeza pada waktu siang dan malam. Tambahnya lagi, ada banyak akiviti yang boleh dilakukan antaranya  berbasikal seperti yang beliau lakukan.

Baiklah semua, selanjutnya anda boleh melayari rakaman sidang media yang telah Kmania sediakan atau boleh terus ke YouTube rasmi Kmania. Disamping itu juga, terdapat ‘skrip interview’ bersama Lee Jae Wook yang dibuat sehari sebelum sidang media ini kerana khuatir masa tidak mencukupi.

Berikut adalah skrip interview bersama Lee Jae Wook:

1. Bagaimana perasaan anda apabila dunia kini telah membuka pintunya dan semua orang boleh melakukan perjalanan?

Saya juga merasa kecewa kerana tidak dapat melakukan perjalanan disebabkan oleh pendamik COVID-19. Kini setelah perjalanan boleh dilakukan semula, saya sangat ingin melawat ke tempat-tempat yang belum pernah saya kunjungi. Saya harap anda semua boleh melawat Korea dan menikmati pelbagai tarikannya.

2. Apa yang paling anda nantikan apabila berkunjung ke Malaysia?

Setelah mendapat tahu bahawa ‘Alchemy Of Souls’ cukup popular di Malaysia, ini membuatkan saya semakin tidak sabar untuk bertemu dengan peminat saya di Malaysia.

3. Apa tanggapan pertama anda terhadap Malaysia?

Kedatangan saya disambut dengan penuh kasih sayang dan kemesraan sebaik sahaja tiba di Malaysia, dan ini akan menjadi salah satu kenangan indah saya. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih sekali lagi.

4. Pernahkah anda mencuba makanan Malaysia? Mana satu kegemaran anda?

Saya masih belum mencuba mana-mana makanan Malaysia tetapi saya dengar ada banyak makanan lazat seperti nasi lemak, laksa dan lain-lain. Saya pasti akan mencubanya apabila saya berpeluang.

5. Adegan mana dalam ‘Alchemy of Souls’ yang paling anda suka? Kenapa?

Adegan pertama dalam ‘Alchemy of Souls Musim 2’. Tiga tahun selepas kebangkitannya. Saya rasa itulah babak paling berkesan untuk Jang Wook.

6. Apa yang boleh kami nantikan dalam Alchemy of Souls Musim 2?

Alchemy of Souls Musim 2 akan mendedahkan sisi berbeza Jang Wook berbanding musim pertama. Ia akan menjadi sangat menarik untuk melihat bagaimana dan mengapa Jang Wook telah berubah.

7. Apa yang membuat anda mengambil peranan ini dalam Alchemy of Souls?

Genre percintaan fantasi amat menarik minat saya, kerana ianya menjadi satu cabaran baru yang menyeronokkan bagi saya, oleh sebab itu saya mengambil peranan tersebut.

8. Adakah anda mempunyai projek lain yang akan datang selain Alchemy of Souls Musim 2?

Saya sedang mempersiapkan FanMeet pertama saya yang sudah dirancang sejak penampilan sulung saya. Kami merancang sesi jelajah Fanmeet bersama peminat Asia bermula di Seoul pada 14 Januari, dan saya tidak sabar untuk bertemu dengan peminat dengan lebih dekat. Saya meletakkan seluruh jiwa raga saya untuk menyediakan persembahan terbaik kepada peminat.

9. Apakah peranan impian anda?

Saya ingin menyahut cabaran melakukan genre noir, watak gelap dan mempunyai cerita yang istimewa.

10. Apa yang anda suka lakukan pada masa lapang anda?

Saya cenderung menghabiskan masa bersendirian. Pada ketika itulah, saya boleh mengatur aktiviti atau apa yang akan saya lakukan di masa depan disamping memberi masa rehat kepada diri sendiri.

11. Siapakah yang menjadi inspirasi anda?

Saya rasa saya terinspirasi oleh semua orang di sekeliling saya. Banyak kali, saya perlu berlakon dalam senario yang tidak pernah saya alami, jadi melalui pengalaman dan cerita dari orang ramai, saya terinspirasi olehnya dan ia membantu lakonan saya..

12. Jika anda bukan seorang pelakon, apa yang akan anda lakukan sekarang?

Pada akhirnya, saya masih berfikir saya akan menjadi pelakon. Itulah betapa seronok dan menariknya pekerjaan ini kepada saya.

Diharap dengan sesi temubual ini sedikit sebanyak dapat memberi ruang untuk peminat mengenali Lee Jae Wook dan semoga kehadiran pelakon ini di Malaysia memberikan peminat kenangan yang manis sepanjang tahun 2022 ini.

loading...