Magic Man World Tour in KL – Layanan ‘Fan-Service’ JACKSON WANG Bikin Hati Peminat Wanita Cemburu

Kuala Lumpur : Selepas menggegarkan Kuala Lumpur dengan persembahannya di Good Vibes Weekender di Sunway Lagoon pada  24 September 2022, tambahan sambutan yang diterima sangat memberancangkan dari peminat akhirnya membuatkan Jackson Wang terus meletakkan Malaysia dalam senarai negara untuk siri jelajah dunia untuk konsert Solonya yang dipanggil MAGICMAN WORLD TOUR IN KUALA LUMPUR. Konsert yang dihadiri seramai 10,000 peminat dari Malaysia dan luar negara telah berlangsung pada 17 December 2022 lalu bertempat di Axieta Arena, Bukit Jalil. Untuk pengetahuan, tiket konsert Jackson Wang ini habis terjual dalam masa yang singkat selepas ianya dibuka kepada umum untuk jualan termasuk tiket pakej VIP yang mencecah harga ribuan ringgit.

Jackson Wang nama yang tidak asing lagi dikalangan peminat K-Pop melalui kumpulan GOT7. Biarpun kesemua ahli kumpulan telah meninggalkan JYP Entertainment dan bergerak dengan agensi yang berlainan, ia bukanlah penyebab kumpulan itu tidak bersama lagi. Cuma ketika ini mereka menumpukan kepada aktiviti solo masing-masing. Sejak meninggalkan JYP, Jackson senang bergerak solo disamping menubuhkan syarikat untuk menguruskan karier muzik dan juga jenama fesyennya sendiri di bawah jenama TEAM WANG.

Jackson menyatakan bahawa konsert solo pertama ini sangat bermakna bagi dirinya, dan meluahkan rasa menerusi 4 segmen iaitu ACT I : FAME. ACT II : ISOLATION. ACT III : REDEMPTION. ACT IV : ACCEPTANCE. Kesemuanya adalah berkisarkan perjalanannya sepanjang karier hidup Jackson sebagai idol.

Sepanjang konsert yang berlangsung selama 2 jam, dari awal sehingga akhir, Jackson tidak pernah putus mengucapkan ‘Thank you Malaysia’. Sepertimana yang terpapar ditabloid dan juga mana-mana temubualnya, begitu juga personaliti Jackson apabila berhadapan dengan peminat. Jackson sangat menghargai peminat dan berkata, “Tanpa sokongan, tanpa kasih sayang, tanpa perhatian dari peminat, tiadalah berdirinya JACKSON WANG pada hari ini.”

Malaysia merupakan perhentian kedua siri jelajah konsert dunianya selepas Bangkok pada 26 November 2022, namun kelainan pada kali ini adalah Jackson sangat menghormati garis panduan yang ditetapkan di Malaysia. Antaranya, dia tidak mahu ada ‘close contact’ dengan peminat wanita dan tidak menanggalkan pakaian dihadapan peminat.

Jackson menyampaikan kesemua lagu berbahasa Inggerisnya dari album MIRRORS dan album terbarunya MAGIC MAN. Antara lagu yang menjadi dendangan dan nyanyian bersama adalah lagu hitnya seperti ‘Drive You Home’, dan ‘LMLY.’ Ketika ingin mempersembahkan lagu ‘I Love You 3000’, Jackson memilih sendiri seorang peminat wanita ke atas pentas dan apa yang membuatkan semua peminat cemburu adalah peminat tersebut sempat merakam video dari jarak dekat wajah Jackson ketika beliau menyanyi lagu tersebut.

Jackson sekali lagi memilih peminat dan ditarik naik ke pentas ketika persembahan lagu ‘The Moment’. Kali ini peminat lelaki pula menjadi pilihan ketika di akhir penutupan tirai konsert dengan tema ’After Party Concert’.

Selain itu, antara lagu lain yang disampaikan adalah 100 WAYS, GO HOST, BLACKOUT, JUST LIKE MAGIC, ALL THE WAY, BULLET TO THE HEART, VIBES, POISON, COME ALIVE, CHAMPAGNE COOL, BLUE, PRETTY PLEASE, CRUEL, dan BLOW.

Secara peribadinya, kelihatan Jackson begitu bersungguh-sungguh untuk menghibur dan mendekati peminat. Dalam salah satu segmen ketika konsertnya di Bangkok, dia membenarkan peminat menyentuh badannya tanpa pakaian, namun di Kuala Lumpur Jackson begitu menjaga batas di antara peminat wanita dengan tidak bersentuhan. Malah kelihatan Jackson akan menjarakkan diri dengan tidak bersentuhan dengan peminat yang berhijab.

Suasana konsert juga kelihatan sangat cantik dengan disinari cahaya lampu putih yang disediakan oleh penganjur kepada peminat kerana ketika tu peminat tidak dibenarkan membawa masuk apa jua bentuk banner ataupun ”headgear’ yang berlampu memasuki stadium. Perkara ini dilakukan supaya tidak mencacatkan pemandangan di dalam stadium ketika lampu dimalapkan.

Jackson juga memberitahu peminat bahawa dia akan berada di Malaysia selama 4 hari dan menyatakan keinginannya untuk merasai Roti Canai kerana tidak berkesempatan mengunjungi kedai mamak sebelum ini. Jadi, dia sempat mengajak peminat makan bersama sekiranya ada peminat terserempak dengannya di mana-mana kedai mamak sekitar Kuala Lumpur.

Untuk pengetahuan semua, Jackson Wang juga sempat menjadi ’special guest artist’ untuk konsert JJLin yang diadakan pada 18 Disember 2022 dan mengotakan kata-katanya dengan mengunjungi kedai mamak sebelum berlepas untuk destinasi konsert seterusnya di Singapura yang diadakan pada 23 Disember ini. Difahamkan, Jackson juga akan mengadakan ”Christmas Eve After Party” disalah sebuah kelab malam terkemuka di Singapura.

Selepas konsert Jackson berakhir di Singapura, JACKSON WANG MAGIC MAN WORLD TOUR akan kembali menjelajah selepas Tahun Baru 2023 dengan berkunjung ke LONDON pada 12 Januari, PARIS 15 Januari dan akan berakhir di DUBAI pada 4 Februari.

Rata-rata peminat begitu terhibur dan berpuas hati sepanjang konsert Jackson di Kuala Lumpur berlangsung. Ramai juga yang mengharapkan agar Jackson Wang akan kembali lagi ke Malaysia di masa hadapan.