Di hari jadinya, Suga BTS sumbang RM340,000 untuk bantuan kemanusiaan

Suga, atau nama sebenarnya Min Yoongi, yang menyambut hari jadi ke-29 hari ini, telah menyumbangkan sekitar 100 juta won (~RM340,000) sebagai bantuan kemanusiaan untuk membantu mangsa kebakaran hutan di Uljin, Gyeongsangbuk-do dan Samcheok, Gangwon.

Perihal sumbangan penyanyi idol daripada kumpulan BTS itu telah diumumkan oleh Hope Bridge National Disaster Relief Association pada 9 Mac 2022 hari ini menerusi kenyataan dibuat oleh jurucakapnya.

“Suga BTS telah menyumbang 100 juta won untuk membantu mangsa kebakaran hutan. Saya berharap sumbangan ini dapat meredakan penderitaan yang dialami oleh mereka terbabit dalam kebakaran itu,” kata Kim Jeong Hee, setiausaha agong merangkap jurucakap persatuan NGO Korea tersebut.

Ini bukan kali pertama Suga bertindak untuk menghulurkan sumbangan pada mereka yang memerlukan di hari jadinya. Pada tahun 2019, Suga juga telah menyumbang 100 juta won dan 329 patung kepada Pertubuhan Kanser Pediatrik Korea di bawah nama kelab peminat ARMY. Manakala pada tahun 2021 pula, Suga turut membuat sumbangan sekitar 100 juta won juga kepada Keimyung University dan Hospital Seongseo Dongsan untuk membantu rawatan pesakit kanser pediatrik.

Selain Suga, ramai selebriti turun padang menghulurkan bantuan kemanusiaan buat mangsa kebakaran hutan ini termasuklah Doyoung NCT, Hyun Bin, Son Ye Jin, Kim Hee Sun, Song Hye Kyo, Lee Jung Jae, Jung Woo-sung, Kim Woo Bin, Shin Min Ah, IU, dan Lee Byung Hun.

Sumber: dispatch

loading...