TWICE sekali lagi mencipta rekod baru di Amerika Syarikat sebaik saja menyimpulkan konsert jelajah mereka di sana.
TWICE sudah menghabiskan kesemua konsert jelajah ‘III’ di tujuh lokasi berbeza di serata Amerika Syarikat iaitu The Forum, Oakland Arena, Forth Worth’s Dickies Arena, Atlanta’s State Farm Arena dan UBS Arena. Pada asalnya, hanya New York dan Los Angeles saja menjadi pilihan lokasi, namun lokasi konsert seterusnya di Atlanta, Georgia dan Forth Worth, Texas ditambah saat-saat akhir selepas mendapat permintaan yang sangat tinggi akibat jualan tiket yang laris habis.
Menurut Forbes, TWICE secara tak rasminya mencipta sejarah menjadi kumpulan kpop perempuan pertama beraksi di bumi Amerika Syarikat dengan beberapa siri konsert jelajah berbeza. Setakat ini, hanya 2NE1 dan Blackpink saja pernah mengadakan konsert jelajah bersiri di Amerika Syarikat tidak lebih daripada sekali. Malahan, TWICE menjadi artis Kpop kelima berjaya mengadakan beberapa siri konsert jelajah berbeza di Amerika Syarikat dengan ATEEZ dan BTS adalah di antaranya.
Bukan itu saja, TWICE turut mencatatkan bilangan kehadiran kira-kira 100,000 orang menerusi tujuh konsert yang diadakan, sekaligus mengatasi bilangan kehadiran ke konsert jelajah ‘In Your Area World Tour’ oleh Blackpink (~75,600 orang) dan ‘TWICELIGHTS’ oleh TWICE (~36,000 orang) sebelum ini. Dengan bilangan kehadiran melebihi 100,000 orang, TWICE kini hanya di belakang BTS saja untuk artis Kpop yang berjaya mencapai rekod sedemikian.
Konsert jelajah “III” meliputi kesemua lagu hit mereka termasuklah lagu berbahasa Inggeris, “The Feels” dengan kesemua ahli TWICE tidak terkecuali untuk beraksi di atas pentas bersama. TWICE akan meneruskan konsert jelajah mereka di Jepun pula pada 23 April 2022 depan.
Sumber: Forbes