Kim In Hyuk, atlet bola tampar ditemui telah meninggal dunia selepas bergelut dengan kecaman daripada netizen berhubung rupa ‘cantik’ yang dimiliki olehnya.
Menurut agensi liga professional Samsung Fire & Marine Insurance yang menguruskan Kim In Hyuk, Kim In Hyuk didapati telah meninggal dunia di rumahnya dan punca kematiannya sedang disiasat oleh pihak polis.
Kim In Hyuk mula aktif bermain bola tampar sebagai ahli pasukan Kyungnam University of Science and Technology sebelum menceburkan dirinya di dalam liga professional sekitar tahun 2017. Beliau dipindahkan ke Samsung Fire & Marine Bluefangs pada tahun 2020.
Kim In Hyuk sempat bermain di dalam dua pertandingan sahaja ketika liga berlangsung pada musim 2021 hingga 2022 dan telah direhatkan kerana menderita akibat kecederaan yang dialaminya. Sejak Disember 2021 lalu, mendiang tinggal di rumahnya untuk menerima rawatan selanjutnya.
Sebelum ini pada Ogos 2021, Kim In Hyuk pernah mengadu bahawa dia menderita akibat kecaman yang diterima netizen berhubung wajah ‘cantik’ yang dimilikinya.
“Aku ingat salah faham mengenai diriku sejak 10 tahun yang lalu itu sudahpun temui jawapannya..Aku dah penat, tidak lagi mampu bertahan. Aku tak pernah pakai mekap, aku tak pernah suka laki, aku ada teman wanita sendiri dan aku juga tak pernah berlakon cerita lucah. Aku hanya guna sedikit losyen kulit tetapi ini bukan mekap. Setiap kali pertandingan bermula, aku akan terima mesej jelik itu daripada DM,” ujarnya ketika itu yang merayu kepada netizen untuk menghentikan kecaman terhadapnya.
Sehari sebelum ditemui meninggal dunia, mendiang sempat mengutuskan video Tiktok di laman instagram-nya.