Yuzuru Hanyu, dilaporkan belum lagi menjejakkan dirinya di Beijing, China untuk menyertai acara luncur ais berbunga bagi mempertahankan kemenangan pingat emas yang diraihnya dalam dua edisi Olimpik yang lalu.
Menurut laporan Reuters dan NBC, kelibat Yuzuru Hanyu masih belum lagi kelihatan sehingga kini walaupun pemenang emas dua kali acara luncur air berbunga lelaki itu telah layak untuk bertanding. Apabila ditanya tentang ketidakhadiran Yuzuru Hanyu dalam program podium untuk acara keesokannya, Hidehito Ito, Chef de Mission kumpulan atlet Jepun itu hanya mampu berkata, “Saya tak rasa dia berada di dalam gelanggang pertandingan lagi. Itu saja yang boleh saya cakap.”
Khabar angin sebelum ini bertebaran mengatakan Yuzuru Hanyu yang menghidapi penyakit lelah sejak kecil itu mungkin dijangkiti Covid-19, dan akhirnya tidak berupaya untuk mengekalkan prestasinya. Manakala, yang lain pula berpendapat bahawa Yuzuru Hanyu akan tiba jua di saat-saat akhir sebelum pendaftaran ditutup.
Berikutan ketidakhadiran Yuzuru Hanyu di dalam gelanggang ais semalam, peluncur ais lagenda itu mungkin tidak sempat untuk menyertai acara luncur ais berbunga kategori kumpulan lelaki. Hal ini kerana kesemua atlet yang menyertai acara tersebut perlu mendaftarkan dirinya sebelum jam 10 pagi waktu Beijing pada keesokan harinya, 5 Februari 2022. Hanya rakan senegaranya, Shoma Uno dan Yuma Kagiyama saja kelihatan di dalam latihan di gelanggang.
Walaubagaimanapun, untuk acara individu pula, Yuzuru Hanyu berjaya meredakan kebimbangan orang ramai dengan mesej disampaikan oleh Japan Skating Federation.
“Di Olimpik Beijing nanti, saya tetap rancang untuk menangi emas, termasuklah 4A,” ujar Yuzuru Hanyu sambil menunjukkan isyarat akan melakukan rutin sukar, ‘quad Axel’.
“Disebabkan itu jua, saya perlukan kekuatan semua orang, oleh itu sokonglah saya,” tambahnya lagi.
フィギュアスケートの羽生結弦選手のメッセージです。
北京オリンピックはいよいよ明日から開幕です!#TEAMJAPAN #Beijing2022 #YuzuruHANYU #羽生結弦 #FigureSkating pic.twitter.com/YTJ4Tnm92g— 公益財団法人日本スケート連盟 Japan Skating Federation (@skatingjapan) February 3, 2022
Sekiranya Yuzuru Hanyu memenangi acara luncur ais berbunga kategori individu tersebut untuk tiga kali berturut-turut sejak Sochi 2014 lalu, beliau bakal melakarkan sejarah menjadi atlet luncur ais pertama berjaya berbuat demikian. Saingan terhebat Yuzuru Hanyu di dalam acara berkenaan ialah Nathan Chen yang berasal daripada Amerika Syarikat.
Yuzuru Hanyu, yang memiliki fizikal dan rupa seperti kebanyakan penyanyi idol Kpop, pernah menggemparkan hadirin Sukan Olimpik Musim Sejuk sebelum ini apabila peminatnya beramai-ramai bertindak melemparkan patung winnie the pooh ke dalam gelanggang sebaik saja dia menghabiskan rutinnya untuk acara luncur ais berbunga itu. Yuzuru Hanyu juga mengakui dirinya juga peminat tegar BTS.