[Ulasan Kdrama] L.U.C.A : The Beginning

Sejujurnya penulis tertarik nak tengok drama ni sebab Kim Rae Won. Lepas tu sebab tema sains fiksyen. Ulasan ini hanyalah pandangan peribadi penulis. Perlu diingatkan terdapat Spoiler dalam tulisan ini.

1) Cerita (7/10)

L.U.C.A adalah singkatan dari Last Universal Common Ancestor. Ia mengambil teori Charles Darwin bahawa setiap spesis makhluk hidup akan berevolusi mengikut zaman dari nenek moyang yang sama.

Permulaan cerita agak misteri dan buat penonton tertanya-tanya siapakah mereka ini. Ada kumpulan ajaran sesat (cult). Ada saintis gila. Ada pelabur yang berpengaruh dan berkuasa. Mereka seperti lebih berkuasa dari pihak berkuasa.

Ji Oh (Kim Rae Won) pemuda misteri yang amnesia dan mempunyai kuasa elektrik. Ingatan dia yang terakhir adalah dia meletupkan satu kawasan dengan caj elektrik yang tinggi dan telah mencederakan tangan seseorang sampai hampir hangus terbakar. Dia hanya tahu dia perlu lari menyelamatkan diri untuk kelangsungan hidup. Jadi Ji Oh berkerja dengan syarikat pelupusan yang melupuskan benda hidup seperti tikus makmal, monyet, anjing dan lain-lain dari sebuah pusat makmal sains.

Lee Son (Kim Sung Oh), orang yang dicederakan oleh Ji Oh mengetuai kumpulan untuk membawa balik Ji Oh ke pusat makmal sains tersebut. Yi Son juga perlu disuntik setiap 2 minggu supaya tangan yang hampir hangus tumbuh sel-sel baru dan jadi lebih kuat (penulis tengok dah macam gangren hitam jer tangan tu).

Goo Ruem (Lee Da Hee) seorang detektif polis yang kehilangan ibubapa dari kecil terus menerus menyiasat ke mana ibubapa dia menghilang. Mereka hilang pada hari yang sama bapa Goo Ruem membawa pulang seorang budak lelaki yang tiba-tiba mata bertukar menjadi biru dan menghasilkan caj elektrik yang tinggi.

Ji Oh dan Goo Ruem bertembung semasa Goo Ruem sedang mengejar penjenayah dan dilanggar oleh van Ji Oh. Jantung Goo Ruem berhenti berdegup jadi Ji Oh menggunakan caj elektrik dalam diri dia supaya jantung Goo Ruem berdegup kembali. Selepas itu bermulalah pula main kejar-kejar (cat and mouse) sembunyi-sembunyi dan menyorok (hide and seek) antara tiga watak ini untuk mencapai matlamat masing-masing. Ji Oh nak mencari siapa diri dia yang sebenar, Goo Ruem nak mencari rahsia kehilangan ibubapa dia dan Yi Son sebagai pertukaran tangan yang kuat.

Permulaan cerita agak perlahan dan boleh mendatangkan kebosanan tetapi cerita dia semakin lama semakin menarik sebab kita nak tau apa yang akan berlaku seterusnya tetapi momentum semakin menarik tu turun dan menjadi kacau bilau di dua episod terakhir.

Semasa menyiasat kes ibubapa Goo Ruem, dia juga menemui kes penciptaan terlarang saintis gila yang menggabungkan DNA beberapa spesis untuk menghasilkan manusia hebat. Goo Ruem juga mendapati Ji Oh dihasilkan di dalam makmal dengan nama objek Z-0 (acronim dengan Ji Oh). Saintis gila tersebut cuba untuk menghasilkan lagi gen Z-0 tapi tak pernah berjaya. Z-0 adalah satu-satunya ciptaan yang menggabungkan belut elektrik, obor-obor dan berpuluh lagi spesis yang serasi menjadi manusia yang sempurna. Walau bagaimanapun saintis lain mengangap ‘Monster’ yang terhasil sebabnya dia tak akan mati tapi akan berevolusi bila dia menghasilkan sepenuhnya caj elektrik di dalam tubuhnya. Pada ketika itu sel baru akan tumbuh bagi menggantikan sel lama. Ini juga akan menyebabkan Ji Oh hilang ingatan sebab sel otak telah diganti baru dengan sendirinya.

Tentang ajaran sesat tu pula, sebenarnya ketua kumpulan tersebut turut menjadi penyumbang dan pelabur utama dalam kajian tersebut dengan mengatakan kelahiran anak tuhan atau dewa. Mereka mencari ibu tumpang untuk mengandungkan embrio ciptaan tersebut tetapi semua berakhir dengan kematian sebab tak serasi. Pengikut ajaran sesat pula sanggup memberikan kekayaan mereka kepada ketua kumpulan tersebut. Mereka ni tak dapat ditangkap atau didakwa kerana ada pihak yang mengaut keuntungan dan korup dalam kerajaan.

Dalam proses kejar-kejar main sembunyi-sembunyi cinta pun berputik seiring sejalan sempat la juga menyorok di pedalaman menjaga ladang dan binatang ternakan. Goo Ruem turut menjadi orang pelarian kerana dituduh membunuh. Episod 8 paling best sebab mereka berkahwin dan beranak. Tapi kemuncak kebahagian tu sekejap sangat. Pihak antagonis dapat cari mereka sebab Goo Ruem melahirkan anak di hospital.

Anak Ji Oh dan Goo Ruem pun sama seperti Ji Oh? permulaan spesis manusia baru yang telah berevolusi. Episod akhir macam bersambung ke episod 1. Episod permulaan (The Begining).

2) Keberkesanan Lakonan (9/10)

Kim Rae Won (Best Actor)

Memang tak dinafikan. Kim Rae Won memang pelakon berbakat. Habis hilang kekacakan dia dalam drama ni. Segala mimik muka, sisi muka paling buruk yang ditonjolkan. Watak dia dari agak lembik sampai jadi kuat melebihi kudrat manusia biasa memang meyakinkan. Lagi satu kita memang boleh rasa kecelaruan dan blur dalam diri Ji Oh. Kekosongan dan juga berseorangan. Nampak semenggah sikit kat episod 8 masa ambil gambar kahwin. Nampak gembira sangat lepas tu habis dah dengan rambut serabai dan muka semakin cengkung sampai nampak mata nak terjojol keluar.

Lee Da Hee (Best Actress)

Watak heroin yang sangat menyakinkan yang tak pernah berhenti mencari kebenaran. Walaupun dia hanya manusia biasa tapi jangan main-main dia polis yang hebat berlawan. Dalam drama ni memang serabai je lah. Asyik bertumbuk, berlawan dan berlari.

Kim Sung Oh (Best Supporting Actor)

Watak dia pun sangat berkesan jadi seperti mesin pembunuh yang berdendam dengan Ji Oh. Tapi sebenarnya dia tak ada pilihan dan dia ada perasaan tapi perasaan dia hanya ada pada kawan seangkatan dengan dia menjadi pemburu tersebut yang juga kaki dah hancur dan menggunakan kaki ciptaan yang kuat dari sel-sel manusia.

3) Aspek Teknikal (Lakon Layar, Teknik Pengarahan, Sinematografi) (8/10)

CGI dan elemen-elemen luar biasa tu memang meyakinkan. Boleh nampak macam mana Ji Oh mula menghasilkan caj elektrik bermula dari mata menjadi biru macam warna api biru dan tubuh dia mula bercahaya dengan urat-urat menjadi elektrik. Gelembung elektrik yang terhasil bila samada Ji Oh atau anak dia jatuh memang nampak meyakinkan. Sinematografi yang cantik turut ditonjolkan semasa mereka hidup di ladang di pedalaman.

4) Skor Musik (4/5)

Runut bunyi dengan elemen misteri dan saspen memang sesuai dan sedap juga didengar. Lee Da Hee turut menyanyikan lagu Your Eyes (versi akaustik).

Senarai Lagu :

Your Eyes – Sung Woo Jung Ah

LUCA – Jemma

Your Eyes (Versi Akaustik) – Lee Da Hee

Gone – KLANG

5) Kebarangkalian untuk tonton semula (2.5/5)

Tak sanggup la nak tonton semula selain agak ganas, episod akhir dia tergantung buatkan penonton berharap ada sambungan kat musim 2.

loading...