EXO Kembali ke Kuala Lumpur Selepas 7 Tahun, Hadiahkan Malam Penuh Nostalgia Buat EXO-L Malaysia

Kuala Lumpur – EXO menutup tirai konsert mereka di Kuala Lumpur dengan meninggalkan kenangan indah yang terpahat dalam hati peminat Malaysia menerusi siri jelajah dunia EXO PLANET #6 – EXhOrizon yang berlangsung dengan jayanya di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 20 Jun 2026.

Sejak 2016 hingga 2026, EXO telah mencipta sejarah tersendiri di Malaysia menerusi lima siri konsert utama yang menyaksikan perubahan formasi daripada sembilan anggota penuh pada 2016 kepada lima anggota pada 2026. Tahun 2026 ini merupakan kunjungan kelima mereka sejak konsert pertama pada 2016, dengan lawatan seterusnya pada 2017, 2018 dan kali terakhir pada 2019. Oleh itu, kepulangan selepas tujuh tahun ini dianggap sebagai “kepulangan ke kampung halaman”, lebih-lebih lagi dengan sokongan luar biasa EXO-L Malaysia yang tidak pernah pudar.

Kepulangan yang sekian lama dinanti-nantikan itu turut menyaksikan tiket konsert habis terjual dalam sekelip mata, bukan sahaja melibatkan peminat dari seluruh Malaysia, malah turut menarik peminat dari negara jiran. Stadium dipenuhi lautan cahaya putih daripada lightstick EXO-L yang berkelip mengikut rentak muzik, mencipta suasana yang memukau dan penuh emosi.

Konsert ini juga antara persembahan kali ke-3 dibuat di stadium terbuka selepas konsert terdahulu di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 2016 dan 2017. Walaupun berbeza lokasi, kedua-dua venue ini mempunyai kapasiti besar dan pernah menjadi saksi kepada momen penting EXO di Malaysia. Dengan cuaca yang dijangka hujan, pihak penganjur turut menyediakan ponco hujan sebagai langkah persediaan untuk para peminat.

Tepat jam 8.00 malam, EXO yang dianggotai Suho, Chanyeol, D.O., Kai dan Sehun membuka pentas dengan lagu ikonik “MAMA”. Kemunculan lagu tersebut mencetuskan sorakan kuat serta emosi nostalgia, mengubat kerinduan peminat yang telah menunggu kepulangan mereka selama tujuh tahun.

Walaupun berdepan cuaca panas yang mencabar sehingga memberi kesan kepada tenaga anggota kumpulan, EXO tetap menunjukkan profesionalisme tinggi dengan meneruskan persembahan. Mereka turut mengambil peluang berehat seketika semasa sesi interaksi bersama peminat bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca.

Konsert kali ini memperlihatkan kematangan EXO sebagai artis dengan persembahan yang lebih mantap dan bermakna, disokong oleh produksi pentas yang hebat, visual LED yang memukau serta koreografi bertenaga.

Dengan empat segmen persembahan, peminat disajikan dengan gabungan lagu-lagu ikonik seperti “MAMA”, “Growl”, “Baby, Don’t Cry”, “Overdose”, “El Dorado” dan “Wolf”, selain lagu daripada album terbaru mereka REVERXE seperti “Back Pocket” dan “Flatline”. Persembahan “Crown” menjadi antara momen paling bermakna apabila setiap anggota membawa pecahan mahkota sebelum disatukan di tengah pentas, melambangkan kesetiaan, pengorbanan dan ikatan antara EXO dan EXO-L.

Sesi projek peminat turut mencuri perhatian apabila lagu “I’m Home” dipaparkan di skrin LED, membolehkan seluruh stadium menyanyi bersama dalam suasana penuh emosi sementara menanti kemunculan semula EXO ke pentas.

Ketika sesi interaksi, suasana menjadi lebih santai dan menghiburkan apabila ahli EXO cuba bertutur dalam Bahasa Malaysia seperti “Saya rindu kamu”, “Terima kasih”, “Anda sihatkah?” dan “Apa khabar Malaysia?” dengan sebutan yang mencuit hati, disambut gelak tawa peminat. Peranan penterjemah Korea–Malaysia turut menceriakan suasana dengan terjemahan gabungan bahasa Inggeris dan Melayu yang mesra, menjadikan interaksi lebih dekat dengan peminat.

Suho sebagai ketua kumpulan turut berkongsi bahawa beliau pernah berjanji kepada EXO-L untuk membawa ahli kumpulan kembali ke Malaysia dalam konsert penuh, dan janji tersebut akhirnya ditunaikan. Para anggota turut memohon maaf kerana mengambil masa yang lama disebabkan kekangan jadual masing-masing yang padat.

EXO turut meluahkan rasa rindu dan kegembiraan dapat kembali ke Malaysia serta menyatakan harapan untuk kembali lagi pada masa akan datang. Peminat pula berharap agar kunjungan seterusnya dapat menyaksikan kemungkinan kembalinya semua anggota termasuk Baekhyun, Xiumin, Chen dan Lay, sekali gus menghidupkan semula era OT9 seperti tahun 2016.

Semoga bertemu lagi EXO di Malaysia pada masa akan datang.

Terima kasih kepada Star Planet atas penganjuran dan peluang liputan media yang membolehkan momen penuh kenangan ini dirakam.

EXO PLANET #6 – EXhOrizon setlist

PART 1 :

MAMA, Monster, Total Exlipse + Wolf, Overdose, Moonlight Shadows, Gravity

PART 2 :

Jekyll, Crazy, PLAYBOY & Artificial Love, The Eve, Love Shot

PART 3 :

Title Medley : Tempo, Ko Ko Bop, CALL ME BABY

EDM Medley : Power, Don’t Fight The Feeling, Run

LOVE ME RIGHT, Growl, Baby, Don’t Cry, Walk On Memories, Don’t Go

PART 4 :

EL DORADO, Back It Up, Forever, CROWN, Back Pocket, Flatline