[Update] Nantikan 10 drama Korea terbaru yang akan bersiaran sepanjang Oktober 2020

 

Gaiss, Oktober dah hampir menjelma. Maksudnya tinggal dua bulan saja lagi tahun 2020 akan melabuhkan tirainya. Dah banyak mana drama Korea yang korang tonton sepanjang tahun ni? Penulis sendiri pun tak sempat nak tengok sebahagian drama yang dah masuk dalam watch list bucket.

Well, seperti biasa, ini dia 10 buah drama Korea terbaru yang akan bersiaran sepanjang Oktober ini. So, let’s check it out the list.

1. My Dangerous Wife (MBN)

“My Dangerous Wife” merupakan adaptasi dari sebuah drama siri Jepun dengan tajuk sama yang pernah disiarkan menerusi Fuji TV & KTV pada 2016. Ia mengisahkan tentang seorang suami cuba untuk membunuh isterinya dan dalam masa yang sama mengetahui kebenaran mengenai isterinya.

Drama ini juga turut mengupas tentang nilai perkahwinan dizaman ini apabila ramai pasangan hanya mahukan ikatan mereka dikekalkan, setelah beberapa ketika menjadi suami isteri yang cintanya semakin suram. Kisah pertikaian pasangan ini bermula apabila mereka menyedari bahawa mereka telah tinggal bersama musuh yang paling berbahaya disatu tempat yang mereka rasakan selamat.

Shim Jae Kyeong (lakonan Kim Jung Eun) adalah seorang yang pintar, baik hati dan kaya raya. Dia telah berkahwin dengan Kim Yoon Cheol sejak enam tahun yang lalu. Shim Jae Kyeong menikmati kehidupan perkahwinan yang bahagia dengan suaminya, tetapi tiba-tiba dia terlibat dalam kes penculikan misteri dan membuatkan orang disekelilingnya merasa trauma.

Suaminya, Kim Yoon Cheol (lakonan Choi Won Young), adalah tukang masak yang terkenal. Dia mempunyai penampilan yang baik dan keperibadian yang ceria. Pada awal perkahwinan, dia merasakan kehidupannya sangat sempurna dengan kehadiran si isteri tercinta. Setelah 6 tahun; hubungan mereka kini dalam keadaan “biasa” dan mula merasakan bosan terhadap perkahwinannya.

Sementara itu, Jin Sun Mi (lakonan Choi Yu Hwa) bekerja di restoran Itali Kim Yoon Cheol. Dia dikhabarkan mempunyai  hubungan istimewa dengan Kim Yoon Cheol. Dia akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa yang dia mahukan.

“My Dangerous Wife” ditulis oleh Hwang Da Eun (Buam-dong Revenge Club) dan mendapat sentuhan PD Lee Hyung Min yang pernah mengarahkan drama seperti “Chocolate” dan “Strong Woman Do Bong-soon”. Drama ini akan mula bersiaran dirangkaian MBN mulai 5 Oktober depan bagi mengisi slot tayangan Isnin dan Selasa.

2. Do Do Sol Sol La La Sol (KBS)

“Do Do Sol Sol La La Sol” adalah sebuah drama bertemakan komedi romantik yang menceritakan tentang seorang pemain piano handalan, Goo La La (lakonan Goo Ara) dengan pekerja sambilan yang mahir bernama Sun Woo Joon (Lee Jae Wook). Keduanya menyertai akademi piano yang dipanggil “La La Land” diperkampungan terpencil dengan membawa rahsia serta parut duka yang mereka sembunyikan.

Goo La La seorang pemain piano yang memiliki personaliti yang ceria. Namun, suatu hari keluarganya diisytiharkan muflis dan menyebabkan dia tidak lagi memiliki apa-apa.

Sementara, Sun Woo Joon (Lee Jae Wook) adalah orang yang berhati dingin dan tidak peduli apa yang orang lain fikirkan mengenainya. Tetapi sebenarnya Sun Woo Joon memiliki hati yang baik namun banyak menyimpan rahsia. Demi kelangsungan hidup, dia terpaksa melakukan kerja ‘part time’.

Go Ra Ra dan Sun Woo Joon bertemu di akademi piano swasta bernama LaLa Land di sebuah desa kecil. Dalam pada itu, kehadiran Go Ra Ra yang ceria sedikit sebanyak mengubah kehidupan Sun Woo.

Pelakon lain yang akan membintangi drama ini adalah Kim Joo Heon, yang akan membawakan watak Cha Eun Seok, seorang ortopedik. Lee Soon Jae, akan mengambil peranan sebagai lelaki tua yang misteri bernama Kim Man Bok. Ye Ji Won pula akan berperan sebagai wanita aneh bernama Jin Sook Kyung, dan Shin Eun Soo melakonkan watak anak perempuannya yang bernama  Jin Ha Young, yang sangat menyukai Sun Woo Joon. Turut memeriahkan drama ini adalah kelibat seekor anjing yang akan membawakan peranan anjing peliharaan Go La La bernama Mimi.

Drama ini mendapat sentuhan pengarah Kim Min Kyung dan skripnya dihasilkan oleh Oh Ji Young yang pernah menghasilkan skrip untuk “Shopping King Louie” dan “Terius Behind Me.” “Do Do Sol Sol La La Sol” boleh ditonton menerusi Netflix mulai 7 Oktober, jam 10 malam MYT pada setiap drama Rabu – Khamis. 

3. The Tale of Gumiho (tvN)

Drama yang bergenrekan fantasi ini berkisarkan kehidupan gumiho Yi Yeon, lakonan Lee Dong Wook. Yi Yeon dulunya adalah seorang dewa dari Pegunungan Baekdudaegan tapi sekarang jadi pekerja yang merupakan perantara dunia manusia dan dunia kematian.

Tugas Gumiho ini adalah untuk membersihkan kekacauan yang mengganggu dunia manusia, dengan bersembunyi disebalik mitos yang ada. Dia mempunyai penampilan yang menakjubkan, kecerdasan tinggi, dan kebolehan olahraga yang hebat, tetapi dia mempunyai keperibadian diri yang sentiasa betul dan boleh juga menjadi ganas pada masa-masa tertentu.

Jo Bo Ah pula membawakan watak Nam Ji Ah, seorang pengarah produser yang menghasilkan satu program bertajuk “Finding Urban Lagends.” Dia kelihatan seperti pengarah yang biasa, namun rakan sekerjanya menggambarkan Nam Ji Ah sebagai wanita yang berani. Dia berani terjun ke dalam tempat-tempat pemujaan serta keagamaan, rumah berhantu, dan tidak berasa takut untuk mencari intipati programnya. Nam Ji Ah sangat kompetitif dan mempunyai bakat untuk biliard, permainan arked, menembak, dan banyak lagi.

Manakala Kim Bum akan memegang peranan Yi Rang, saudara tiri Yi Yeon yang lahir dari manusia dan gumiho. Yi Rang adalah gumiho berbahaya dengan emosi yang tidak menentu dan akan menimbulkan konflik pada penceritaan drama ini. Yi Rang akan menggoda manusia dan menipu mereka terutama mereka yang bersikap tamak. Yi Rang berjanji akan memenuhi permintaan mereka apabila mereka sanggup membayar mahal untuk itu.

“Tale of Gumiho” akan bersiaran di tvN Asia (Astro Ch 395 dan Unifi Tv Ch 211) mulai 8 Oktober bagi mengisi slot drama Khamis dan Jumaat, jam 9.50 malam. Drama ini juga boleh ditonton menerusi Astro Go. “Tale of Gumiho”  mendapat sentuhan pengarah Shin Hyo dan skripnya dihasilkan oleh Han Woo Ri, yang sebelum ini keduanya pernah bekerjasama bagi projek drama OCN “Children of a Lesser God.”

4. Private Life (JTBC)

“Private Lives” merupakan sebuah drama yang segar, di mana kisahnya disesuaikan dengan zaman sekarang. Di mana kini ramai orang berkongsi, mencuri serta mereka-reka kehidupan peribadi mereka. Drama ini lantas menceritakan tentang sekelompok penipu yang mampu mengadaptasi semua teknik untuk mendedahkan kehidupan peribadi seseorang, tidak kira siapa dan apa.

Go Jung Pyo akan membawakan watak sebagai Lee Jung Hwan, seorang pengurus disebuah syarikat besar. Lee Jung Hwan digambarkan seorang yang biasa sahaja, namun mempunyai perwatakan misteri dan menyimpan banyak rahsia. Seohyun pula melakukan transformasi yang mengejutkan apabila melakonkan watak Cha Joo Eun, seorang yang tidak tahu malu dan kurang ajar, serta seorang penipu yang melakukan penipuan demi meneruskan kehidupan. Siapa sangka Lee Jung Hwan dan Cha Joo Eun saling bercinta. Hubungan mereka nampak sempurna, namun perilaku sebenar mereka terdedah sikit demi sedikit sehinggakan akhirnya mereka menyedari bahawa mereka saling berbohong selama ini.

Manakala Kim Hyo Jin akan memainkan peranan sebagai Jung Bok Gi, seorang penipu profesional yang berpewatakan elegan dan dingin. Kim Young Min pula membawakan watak sebagai pasangan penipu Jung Bok Gi, iaitu Kim Jae Wook.  Walaupun Kim Jae Wook adalah rakan perniagaan Jung Bok Gi dalam dunia jenayah, jauh di dalam hatinya dia juga mempunyai cita-cita yang berbeza. Satu ketika, keduanya saling bermusuh sehingga menjadikan keadaan bertambah konflik.

“Private Lives” akan mula bersiaran pada 7 Oktober depan dan boleh ditonton menerusi Netflix setiap Rabu dan Khamis, jam 10 malam MYT. Drama ini telah ditunda tayangannya ekoran pandemik Covid-19. Ini merupakan drama pertama Go Jung Pyo sejak tamat khidmat tentera dan turut menjadi drama pertama dalam tempoh lapan tahun bagi Kim Hyo Jin.

5. Startup / Sandbox (tvN)

tvN “Start Up” mengambil latarbelakang di Silicon Valley fiksi Korea Selatan, yang dinamakan Sandbox, serta menceritakan kisah mereka di dunia perniagaan startup. Turut diceritakan adalah mengenai seorang wanita yang mengimpikan untuk menjadi Steve Jobs dan seorang lelaki yang menjadi tulang belakang kejayaannya, juga sebagai lelaki yang dicintainya sepenuh hati.

Suzy akan membawakan watak Seo Dal Mi, pelajar memasuki kolej tapi terpaksa menangguhkan pelajarannya kerana alasan tertentu dan akhirnya keluar kolej tanpa sebarang ijazah atau diploma kerana mahu menghasilkan sesuatu projek yang bernilai 100 juta. Dengan berbekalkan ‘Sandbox’ ibarat Silicon Valley Korea (‘Silicon Valley’ adalah merujuk kepada kawasan pengindustrian berteknologi tinggi yang terkenal di Amerika Syarikat) di mana Google dan Amazon versi Korea mungkin bakal dicetuskan, Seo Dal Mi seterusnya bersaing dalam rangkaian konglomerat generasi kedua di Korea dalam menggapai impiannya untuk menjadi seperti Steve Jobs.

Nam Joo Hyuk pula akan menjadi gek komputer bernama Nam Do San yang mahir dalam ilmu ‘coding’, yakni penggerak utama syarikat yang diusahakannya sendiri, Samsan Tech. Semenjak kecil lagi, Nam Joo Hyuk yang merupakan anak kebanggaan keluarganya Nam, pernah memenangi hadiah utama pertandingan matematik sedunia, Math Olympiad. Namun, lima belas tahun kemudian, dia seakan-akan terkapai-kapai dan menyebabkan keluarganya berasa malu seketika. Dia akhirnya berjaya menubuhkan syarikat Samsan Tech tersendiri. Pertemuan antaranya dengan Suzy pasti akan membuatkan penonton tak sabar untuk menantikan gandingan mereka.

Manakala, Kim Seon Ho pula sebagai Han Ji Pyeong, yakni merangkap ketua kumpulan senior di unit pelaburan syarikat. Beliau seorang yang sangat berjaya dengan memiliki kereta yang mahal, majalah bergambar lelaki, serta rumah agam selain bergaji besar di bawah syarikat yang mungkin dikendalikan oleh Nam Joo Hyuk.

Turut sama menyertai drama ini ialah Kang Ha Na yang akan membawakan watak CEO Won In Jae yang mempunyai pakej yang lengkap dari segala aspek, yakni pendidikan, personaliti serta penampilan dan harta benda. Dia tidak menggunakan latar belakangnya sebagai generasi kedua chaebol untuk mencipta kejayaannya. Dia mahukan kejayaan di atas hasil usahanya sendiri. Namun begitu, dia disingkirkan oleh ayahnya sendiri dan untuk membuktikan dirinya boleh berdiri sendiri, dia kemudian menyertai startup.

tvN “Start Up” bakal mendapatkan sutradara Oh Chung Hwan (“SBS Doctors”,”SBS While You Are Sleeping”,”tvN Hotel del Luna”) dan penulis skrip Park Hye Ryun (“KBS Dream High”,”SBS While You Were Sleeping”,”SBS Pinocchio”,”SBS I Hear Your Voice”). Ini merupakan projek ketiga Suzy bersama penulis skrip Park Hye Run selepas KBS “Dream High” dan SBS “While You Were Sleeping”.

“Start Up” akan mula bersiaran menerusi rangkaian tvN mulai 17 Oktober bagi mengisi slot drama hujung minggu. Drama ini turut boleh ditonton menerusi Netflix pada setiap Sabtu dan Ahad jam 10 malam MYT juga mulai 17 Oktober. 

6. Search (OCN)

“Search” adalah sebuah drama misteri ketenteraan mengenai operasi rahsia di Zon Demiliterisasi (DMZ). Ia mengisahkan tentang perjalanan serta pertarungan nyawa pasukan pencarian dalam misi menyelamat serta merungkai kebenaran disebalik pembunuhan misteri di Zon Demiliterisasi (DMZ). Kisahnya bermula apabila seorang pengendali anjing tentera yang telah dipinjamkan kepada pasukan penyelamat biarpun berbaki sebulan sahaja lagi perkhidmatannya. Ketika misi menyelamat, dia menemui raksasa di zon demiliterisasi.

Krystal akan membawakan watak Son Ye Rim, seorang pegawai tentera elit yang mempunyai rahsia di sebalik kelahirannya. selain merupkan seorang bekas ahli Kor Latihan Pegawai Simpanan, leftenan Song Ye Rim juga adalah seorang pegawai operasi kimia, biologi, dan unit peperangan radiologi di bawah kawalan langsung oleh ibu pejabat tentera bahagian barat. Kecerdasan serta stamina kuat yang dimilikinya telah memerlukanya berkhidmat dalam pasukan pencarian di DMZ bagi menyelesaikan misteri yang terjadi.

Jang Dong Yoon pula sebagai Goo Dong Jin, seoarang pengendali anjing tentera yang dipinjamkan ke rejimen komando ibu pejabat tentera bahagian barat utama. Dia bagaimanapun akan menamatkan perkhidmatan tenteranya namun perlu menyertai pasukan pencarian di DMZ. Sarjan Goo Dong Jin berharap dapat menghabiskan perkhidmatannya tanpa sebarang kerumitan. Namun, berdepan dengan perkara misteri membuatkan ianya semakin sukar. Dia hanya bergantung kepada gerak hatinya dalam membantu pasukan pencarian ini.

Moon Jung Hee pula sebagai Kim Da Jung, seorang tentera simpanan yang pernah menjadi ketua bagi satu pasukan pasukan khas yang bertanggungjawab terhadap kontroversi dan kini bekerja sebagai pemandu pelancong di Dewan Peringatan DMZ. Yoon Park akan membuat transformasi yang mengejutkan dari imej lembutnya yang biasa sebagai Song Min Kyu, seorang pegawai elit yang menjadi ketuan pasukan pencarian. Manakala Lee Hyun Wook membawakan watak sebagai Lee Joon Sung, timbalan ketua pasukan yang memiliki pemikiran seperti seorang askar sejati.

“Search” mendapatkan khidmat pengarah Im Dae Woong, yang pernah menghasilkan  “House of the Disappeared” dan “Horror Stories,” serta skripnya dinukilkan oleh Goo Mo dan Go Myung Joo, yang pernah menghasilkan skrip untuk beberapa buah filem. Drama ini akan mula ditayangkan pada 10 Oktober menerusi rangkaian OCN bagi mengisi slot drama Sabtu dan Ahad.

7. The Spy Who Loved Me (MBC)

MBC “The Spy Who Loved Me” berkisarkan tentang kisah cinta yang berputik di antara tiga orang yang dalam keadaan seolah-olah sedang mengintip dengan setiap daripada mereka sebenarnya menyimpan rahsia tersendiri.

Yoo In Na akan membawa watak sebagai Kang Ah Reum, seorang yang mempunyai impian untuk menjadi pereka fesyen kahwin yang terkenal di seluruh dunia dan mempunyai rahsia yang unik. Kang Ah Reun terperangkap dalam aktiviti pengintipan dengan bekas suaminya yang menyamar dan suami terbarunya yang juga perisik korporat, Derek Hyun.  Akhirnya dia terjerumus dalam dilema pengintipan dua penjuru.

Manakala Eric Moon akan membawakan watak Jeon Ji Hoon, bekas suami kepada Kang Ah Reum, yakni penulis blog perlancongan yang berselindung di sebalik identiti sebenarnya, agen perisik. Mereka terpaksa bercerai pada mulanya namun dipertemukan semula di dalam satu kejadian tidak diduga kemudian.

Im Joo Hwan pula memegang watak ‘Derrick Hyun’, suami terkini kepada Kang Ah Reum yang sangat menyayangi isterinya. Beliau bekerja sebagai pegawai diplomatik tetapi sebenarnya berselindung di sebalik identiti seorang perisiki juga.

MBC “The Spy Who Loved Me” akan mendapat khidmat sutradara Lee Jae Jin (MBC “The Banker”) dan penulis skrip yang baru memulakan kerjaya di dalam bidang drama, Lee Ji Min yang sebelum ini sudah pun berkarya sebagai penulis skrip untuk filem-filem hebat seperti “The Age of Shadows”, “Forbidden Dream”, dan “The Man Standing Next”. Drama ini akan mula bersiaran pada 21 Oktober depan, bagi mengisi slot drama Rabu dan Khamis menerusi saluran MBC.

8. Penthouse (SBS)

 

“Penthouse” menceritakan seorang wanita yang menempuh perjalanan sukar dalam hidupnya untuk memenuhi impian, keibuan, serta kariernya untuk membolehkannya masuk dan bertahan dalam lingkungan masyarakat kelas atas.

Sim Soo-Ryeon lakonan Lee Ji Ah adalah insan yang lahir dalam kekayaan. Kini dia menjadi seorang wanita yang elegant dan anggun dari kelas atasan dan digambarkan sebagai ratu di Apartment mewah, Penthouse. Suaminya,  Joo Dan-Tae (Uhm Ki-Joon) adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya dalam bidang hartanah.

Watak Cheon Seo-Jin akan dilakonkan oleh Kim So Yeon. seorang yang berasal daripada keluarga berada daan sombong perwatakannya. Suaminya adalah Ha Yoon-Cheol (Yoon Jong-Hoon) yang merupakan seorang ketua dibahagian pembedahan disebuah hospital. Dia seoarang yang bercita-cita tinggi dan beranggapan kuasa dan kekayaan harus dipegang oleh lelaki.

Manakala Oh Yoon-Hee (Eugene) berasal dari latar belakang keluarga yang miskin. Dia bekerja keras demi kejayaan anak-anaknya. Oh Yoon Hee melakukan segala daya untuk memasuki golongan atasan agar anaknya dapat memiliki peluang lebih baik untuk berjaya.

Drama ini disutradarai oleh Joo Dong Min dan ditulis naskahnya oleh Kim Soon Ok, di mana keduanya bertemu kembali setelah bekerja sama untuk drama terakhir mereka, “An Empress Dignity” / “The Last Empress”. “Penthouse” akan mula bersiaran pada 27 Oktober depan menerusi rangkaian Astro ONE TV Asia Ch 393 dan Astro Go. Drama ini akan mengisi slot tayangan Selasa dan Rabu bermula jam 9.10 malam.

9. Kairos (MBC)

 

“Kairos” ada sebuah drama “thriller fantasi lintas waktu” yang menceritakan kisah Kim Seo Jin (Shin Sung Rok), seorang lelaki yang telah berputus asa sejak anak perempuannya diculik dan Han Ae Ri (Lee Se Young), seorang wanita yang sedang mencari ibunya yang hilang. Pada pandangan Kim Seo Jin, kehidupan Han Ae Ri sebenarnya adalah berdasarkan sebulan yang lalu.

Daripada kembali ke masa lalu untuk mengubah masa depan, “Kairos” akan menceritakan dua kisah berbeza, di mana keduanya dalam jangka waktu yang juga berbeza. Namun setelah kedua-duanya berkomunikasi dari masa yang berlainan, mereka sepakat untuk menyelamatkan orang-oarang yang mereka sayang. Kim Seo Jin dan Han Ae Ri akan berdiri di persimpangan jalan di tengah takdir yang pada waktu yang berbeza demi menjayakan misi mereka.

Shin Sung Rok akan membawakan watak Kim Seo Jin, pengarah termuda di syarikatnya dan seringkali menjadi subjek kebencian dikalangan rakan-rakannya. Walaupun digambarkan seorang yang sempurna dengan memiliki segalanya, Kim Seo Jin seolah kehilangan segalanya dalam sekelip mata apabila anak perempuan kesayangannya diculik tanpa diduga.

Sementara itu, Lee Se Young akan memainkan peranan sebagai Han Ae Ri, seorang anak perempuan yang rajin, seti dan pandai membahagi masa antara tiga pekerjaan serta pelajarannya untuk membayar kos pembedahan ibunya. Seorang yang ramah dan baik hati sehingga membantu rakannya Im Geon Wook (lakonan Kang Seung Yoon WINNER) untuk membayar kos perubatan neneknya. Namun, tiba-tiba Han Ae Ri mendapati ibunya hilang tanpa tinggal sebarang pesanan.

Kang Seung Yoon yang membawakan watak Im Geon Wook merupakan kawan lama Han Ae Ri yang sentiasa ada untuknya. Meskipun sentiasa bertengkar, dia tetap risaukan Han Ae Ri sekaligus menjaga serta melindunginya. Ahn Bo Hyun akan memainkan peranan sebagai Seo Do Kyun, orang kanan Kim Seo Jin di Yoojoong Construction. Seo Do Kyun sangat menghargai Kim Seo Jin kerana pendekatannya yang sangat terperinci untuk bekerja dan caranya untuk terus maju ke arah hasil yang diinginkan. Manakala Nam Gyu Ri membawakan watak Kang Hyun Chae, seorang pemain biola dan juga isteri kepada Kim Seo Jin. Impiannya untuk memiliki keluarga yang bahagia hancur apabila anak perempuannya diculik. Watak Kang Hyun Chae juga akan menambahkan ketegangan dalam drama ini.

“Kairos” akan bersiaran di Astro OhK!  Ch 394 pada 27 Oktober depan bagi mengisi slot drama Selasa – Rabu mulai jam 7.50 malam. Drama ini ditayangkan dalam tempoh 24 jam selepas tayangannya di Korea.

10. Fly from Rags to Riches / Flying Gaecheonyong  (SBS)

 

“Fly from Rags to Riches” atau “Flying Gaecheonyong” menceritakan kisah dua lelaki yang mewakili suara mangsa kehakiman yang ditindas.

Kwon Sang-woo akan melakonkan watak Park Tae Yong, seorang peguam lulusan sekolah menengah. Dia menggunakan “menjadi tidak waras” dan rasa keadilan sebagai senjatanya untuk menegakkan keadilan bagi golongan yang ditindas dan tidak mampu. Dia memenangi perbicaraan semula kes jenayah untuk pertama kalinya dalam sejarah kehakiman, menandakan perubahan dalam hidupnya.

Kwon Sang Woo berkata, “Ianya suatu penghormatan untuk bertemu kembali dengan anda dengan peranan yang bermakna ini. Saya akan menjadikannya drama yang bagus dengan staf yang hebat, jadi harap anda nantikan.”

Bae Sung Woo pula membawakan watak sebagai Park Sam Soo, seorang wartawan penganggur dengan sikapnya yang lembut dan baik. Dia meninggalkan kerjaya yang baik untuk mencari cerita yang tidak dapat dilihat oleh orang lain. Dia bertemu dengan Park Tae Yong secara kebetulan dan memasuki jalan “kasar” yang tidak pernah dia hadapi sebelumnya.

“Saya teruja dan gembira dapat menjadi sebahagian daripada karya yang bermakna. Saya akan melakukan yang terbaik untuk menunjukkan drama yang hebat kepada anda. Saya mengharapkan sinergi yang hebat antara keduanya. Drama ini akan memberikan reaksi yang baik untuk realiti yang tidak masuk akal, serta menawarkan rasa empati dan kelegaan emosi” kata Bae Sung Woo.

Turut membantu drama ini adalah Kim Ju Hyeon sebagai Lee Yoo Kyung iaitu seorang wartawan baru yang bekerja untuk Park Sam Soo. Melihatkan usaha dan kerja keras Park Sam Soo dan Park Tae Yong, dia juga turut menyertai mereka dalam mencapai misi untuk membantu orang yang memerlukan.

Jung Woo In pula sebagai Jang Yoon Seok, seorang pendakwaraya yang licik dan bercita-cita tinggi. Kim Gab Soo  sebagai Kim Hyeong Chun, seorang pegawai perundangan berpangkat tinggi dan merupakan bekas pendakwaraya Korea. Manakala Kim Eung Soo sebagai watak datuk bandar yang sombong, Kang Cheol Woo dan  Jo Sung Ha sebagai Jo Ki Soo, seorang hakim mahkamah tinggi yang disegani dalam bidang perundangan.

“Fly from Rags to Riches” ditulis oleh PD Kwak Jung Hwan dan penulis skrip Park Sang Kyu, yang memperkenalkan siri “Miss Hammurabi” dan “Chief of Staff”. Drama ini akan bersiaran dirangkaian Astro ONE TV Asia Ch 393 dan Astro Go mulai 31 Oktober bagi mengisi slot drama Sabtu dan Ahad pada jam 9.45 malam. 

Jadi, buat peminat drama Korea, jangan lepaskan peluang untuk menonton drama-drama terbaru ini. Bagaimanapun, setiap siaran drama ini tertakluk kepada sebarang perubahan daripada rangkaian penyiaran yang berkaitan. Penulis akan sentiasa kemaskini untuk sebarang perubahan. Happy watching, guys! Apapun, please wearing your mask especially in the public, using hand sanitizer regularly, apply social distancing and sila patuh kepada SOP yang ditetapkan. (Keep on repeating this to spread the awareness)