Psycho Red Relvet dahului 5 lagu Kpop Paling Menyengat & Popular di Malaysia sepanjang pertengahan tahun 2020

Image may contain: 17 people

Sukar untuk bayangkan lagu kpop mana paling popular di Malaysia tanpa data yang sah dan boleh dipercayai. Masing-masing akan pertahankan bahawasanya kumpulan bias mereka paling hebat bertahan di kedudukan no.1 dalam carta muzik, memperoleh jualan single atau album paling banyak serta bilangan tontonan Youtube terbanyak, misalnya. Tapi, data diperolehi RIM Malaysia, satu-satunya agensi paling dipercayai di Malaysia, memberikan kejutan yang mungkin tak disedari oleh peminat Kpop selama ini. Data ini telah di’compile’ oleh Kmania dengan penuh tekun sekali berdasarkan jumlah bilangan ‘impressions’ dan kedudukannya di dalam carta RIM setiap minggu.

Apapun, mari kita kaji satu persatu 5 lagu Kpop paling popular di Malaysia yang dikeluarkan sepanjang pertengahan tahun 2020 (January-Jun).

5. Black Swan – BTS

Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana pula dengan lagu ‘ON’ oleh BTS menerusi album Map of Soul 7? Sebenarnya, ‘ON’ berada di kedudukan no.6 menyebabkannya terkeluar daripada senarai top 5 ini. ‘ON’ hanya mampu mengekalkan keberadaannya di dalam carta RIM selama tiga minggu saja walaupun lagu ini debut no.1 dalam minggu pertama. Berbanding dengan ‘ON’, Black Swan yang juga debut di tangga no.1, kekal berada di dalam carta selama 5 minggu berturut-turut selama terkeluar pada minggu keenam. Mungkin ada sesuatu yang membuatkan Black Swan lebih menangkap gegendang pendengar berbanding ON, sama ada daripada sudut tarian akrobatik berseni dipaparkan mahupun lagunya yang lebih seronok untuk dijadikan ‘cover’, misalnya.

4. Any Song – Zico

Zico, bukanlah sesiapa malah kumpulan kpop yang dianggotainya, Block B bukan sangat dikenali di serata Asia termasuklah Malaysia. Namun, lagunya berentak hip hop dengan gabungan irama reggae ini agak sesuai untuk dijadikan sebagai ‘cover’ nyanyian termasuklah cabaran TikTok beramai-ramai ketika penjarakan sosial mula diperketatkan di seluruh Malaysia bermula Mac lalu. Beberapa artis Malaysia iaitu Ara Johari, Wawa Zainal, dan Putri Aishah turut serta menyertainya menyebabkan lagu ini agak popular dan menjadi siulan dalam kalangan rakyat Malaysia. Jangka hayat lagu ini agak panjang di dalam carta RIM, kekal berada selama 8 minggu berturut-turut dengan kedudukan tertinggi dicapai pada posisi no. 4.

 3. Wannabe – ITZY

Kumpulan kpop yang disebut-sebut sebagai ‘killer rookie’ ini, semakin mendapat perhatian peminatnya di Malaysia. Berlainan dengan TWICE daripada agensi yang sama, ITZY lebih ‘garang’ dalam menonjolkan muzik mereka dengan lagu kali ini sangat memaparkan ciri-ciri keperibadian seorang wanita. ‘Wannabe’, single dikeluarkan menerusi album mini kedua ITZY, It’z Me ini berjaya berada di dalam carta RIM selama 7 minggu berturut-turut dengan kedudukan tertinggi dicapai pada no.1 di dalam minggu ke-2. Wannabe bukan saja digemari peminat Kpop, tetapi juga dijadikan sebagai muzik selingan untuk tarian berentakkan moden.

2. Eight – IU ft. Suga

Keputusan IU untuk mengadakan konsert jelajah di Malaysia tampaknya membuahkan hasil dan memberikan kesan dari segi promosi lagu Eight nyanyiannya. Eight merupakan lagu berirama pop rock dengan saduran EDM yang memaparkan Suga BTS sebagai penyanyi rap di sebaliknya. Bercakap tentang lagu ini, IU berkata, “Saya tak begitu pasti samada ianya lahir daripada perasaan sendiri atau suasana sosial daripada kecelakaan yang dialami, umur 28 ini akan dikenang sebagai pemulihan daripada tubuh yang tak bermaya dan meraba-raba dalam mencari-cari ‘pulau jingga’ untuk merasai sendiri kebebasan berbanding kesedihan.”

Eight agak popular di Malaysia apabila masih lagi kekal berada di dalam carta RIM selepas enam minggu berturut-turut dengan ‘debut’ di posisi pertama sewaktu pertama kali diperdengarkan. Malah, pencapaiannya yang berada di dalam lingkungan top 10 selama enam minggu membuktikan populariti lagu tersebut.

1. Psycho – Red Velvet

Terkejut bukan? Siapa sangka kumpulan Red Velvet mampu memintas penangan terhebat beberapa single keluaran BTS dan lain-lain pada pertengahan tahun 2020 ini dengan single Red Velvet saja. Psycho debut pada posisi no.4 sebelum melangkah naik ke posisi no.2 pada minggu ke-2. Tapi yang membuatkannya sangat menakjubkan apabila berada dalam top 10 carta RIM selama lebih 6 minggu berturut-turut, dan kekal berada di dalam carta RIM selama 9 minggu.

Psycho yang berentakkan balada dramatik ini, sememangnya berbeda daripada mana-mana gubahan lagu Kpop lain menyebabkannya kedengaran agak mesra dalam kalangan rakyat Malaysia. Paduan suara yang hebat dan penuh dinamik daripada Wendy dan Seulgi pada permulaan lagu juga akan menaikkan bulu roma setiap kali mendengar lagu ini, seolah-olah diri ini terasa dijampi dengan irama ‘psycho’ dan sentuhan gothic yang cuba diketengahkan oleh lima orang jelitawan – Yerin, Joy, Irene, Wendy dan Seulgi daripada kumpulan Red Velvet ini.

Kalau ‘Psycho’ pun sudah popular, maka apa yang perlu Red Velvet lakukan sekarang ialah melakukan persembahan buat kali kedua di Malaysia. Sudah pasti ribuan peminat Kpop akan berpusu-pusu untuk menikmati Psycho daripada tangan Red Velvet sendiri.

Apakah antara lima lagu ini menjadi kegemaran anda? Jom kongsikan dengan kami Top 5 Lagu Kpop pilihan anda pula.

loading...