Di kala sibuk dengan tugasan mencabar di dalam Mnet Road To Kingdom, VeriVery tetap memenuhi undangan Youtuber Blimey bagi berkongsi pengalaman mereka merasai makanan tradisional rakyat Malaysia. Sememangnya ia meninggalkan kenangan manis buat peminat Verrer di Malaysia kerana menyaksikan mereka mencuba makanan Malaysia sendiri adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama.
VeriVery diminta untuk meneka nama artis yang tertera di depan mereka setiap seorang mengikut giliran dalam masa yang ditetapkan. Sekiranya mereka memberikan jawapan yang salah atau gagal menjawab di dalam masa ditetapkan, peneka tersebut tidak boleh mencuba makanan yang terhidang di depan mereka. Empat jenis makanan yang dihidangkan ialah satay daging, laksa, nasi lemak, dan ayam goreng berempah.
Dalam misi pertama, mereka berjaya menjawab kesemua soalan dan melantak satay tersebut dengan penuh rakus sekali. Antaranya yang menyamakan tektur satay dengan Galbi Jim (daging panggang rebus) walaupun mengakui rasanya yang ternyata berbeza.
Namun, suasana bertambah menggelikan hati apabila KangMin, ahli VeriVery paling jambu di antara mereka, terkandas di dalam sesi kedua (merasai laksa pula) apabila terlupa untuk menyebut nama penyanyi yang sangat terkenal di Korea itu. Nama penyanyi itu ialah Lee Seung Gi yang juga seorang pelakon drama dan program realiti tv SBS Master of The House. Begitu juga, untuk sesi seterusnya, ketika VeriVery diberi tugasan untuk mencuba ayam goreng berempah serta set makanan Malaysia, KangMin juga gagal memberikan jawapan dalam masa ditetapkan dan dengan begitu yakin sekali, menamakan artis tersebut ialah Dua Lipa berbanding Billie Ellish sehingga menjadi bahan sindiran oleh rakan-rakannya.
“VeriVery sebenarnya ada 5 orang ahli saja,” kata lima orang ahli VeriVeri lain sepakat dengan nada bergurau setelah KangMin dan Minchan tersungkur kerana gagal memberikan jawapan yang dikehendaki.
Dalam mengakhiri sesi mereka bersama Blimey, Hoyoung dan DongHeon berhasrat untuk melantak satay dengan lebih banyak sekiranya mereka menjejaki Malaysia di masa hadapan manakala Yongseung pula menyatakan sokongan terhadap rakyat Malaysia terhimpit akibat wabak Covid-19 supaya dapat melaluinya dengan jaya.
Video penuh boleh ditonton di Youtube Blimey.
Sumber: Blimey