Cenel KBS belum lagi mampu mencipta kegemilangan kembali seperti pernah dirasai oleh drama yang pernah ditayangkan cenel itu sebelum ini iaitu ‘When the Camellia Blooms’ lakonan Gong Hyo Jin dan Kang Ha Neul.
Tahun 2019 merupakan kebangkitan semula buat KBS apabila dua hingga tiga drama keluarannya berjaya meraih ‘ratings’ yang tinggi setelah berhadapan dengan kerugian kerana persaingan ketat dengan drama-drama yang disiarkan daripada cenel lain pada waktu yang sama sehingga mendesak cenel tersebut mengambil langkah ‘penjimatan’ untuk programnya, antaranya menghentikan tayangan drama untuk slot Isnin-Selasa buat sementara waktu.
KBS Mother of Mine berjaya memperolehi rating sebanyak 35.9%, dan disusuli dengan KBS When the Camellia Blooms yang berakhir dengan rating yang dikecapi sebanyak 22.7%. Dengan perolehan ‘ratings’ sebesar ini, KBS When the Camellia Blooms menjadi drama mingguan terbitan KBS paling popular pada tahun 2019 (tak termasuk drama hujung minggu) dan juga drama lakonan Gong Hyo Jin paling popular sejak SBS Master’s Sun yang pernah disiarkan pada tahun 2013. Kegemilangan KBS ‘When the Camellia Blooms’ itu juga telah menghadiahkan ‘daesang’ buat Gong Hyo Jin, anugerah yang tak pernah dirangkulnya sejak mula berkecimpung di dalam dunia lakonan pada tahun 1999.
Namun, sejak ‘When the Camellia Blooms’ berakhir, KBS gagal mencipta momentum lebih besar selanjutnya dengan drama-drama seperti ‘Woman of 9.9 Billion’ yang dibintangi oleh pelakon utama filem Parasite, Cho Yeo Jung dan ‘Forest’ lakonan Park Hae Jin. Kedua-dua drama berkenaan sukar untuk melepasi dua digit ‘ratings’, malah ‘rating’nya pula merekodkan penurunan bagi setiap episod ditayangkan. Bahkan prestasi yang lebih teruk dikecapi menerusi drama ‘Meow, the Secret Boy’ lakonan L Kim Myung Soo dan Shin Ye Eun kemudiannya, seakan-akan membayangkan usaha KBS untuk menghidupkan semula program-programnya nanti, bakal terbantut sekali lagi. ‘Meow, the Secret Boy’ telah merekodkan ‘ratings’ terburuk pernah dilalui oleh KBS sejak dua tahun lalu apabila mendekati paras di bawah 1%.
KBS cuba tuah menerusi tayangan drama ‘Born Again’ lakonan Jang Ki Yong dan Ji Se Yeon pula dan ‘Soul Mechanic’ lakonan Shin Ha Kyun yang akan disiarkan mulai bulan Mei depan. Walaupun ‘Born Again’ mencatat penurunan ‘ratings’ dikit demi dikit untuk empat episod yang telah disiarkan, namun prestasi drama itu tidak seteruk pernah dialami oleh ‘Meow, the Secret Boy’. “Born Again” adalah sebuah karya bertemakan melodrama dan misteri tentang dua lelaki dan seorang wanita yang mana nasib mereka saling berkaitan melalui satu kejadian dramatik pada tahun 1980-an.
Dalam meneruskan penerajuannya sebagai pengeluar utama drama-drama Korea, KBS memikul tanggungjawab bagi memastikan penonton drama tidak ketinggalan dengannya meskipun terpaksa berhadapan dengan kerugian. Dipetik daripada seorang jurucakap pihak produksi drama, “KBS cuba sedaya-upaya untuk memahami kehendak penonton. Saya berharap penonton dapat menghayati mesej simpati yang cuba ditonjolkan buat mereka yang melalui zaman ini menerusi karya kami selanjutnya, ‘Soul Mechanics’.”
Sumber: sport seoul ,newsen