Hanya pasal balas dendam terhadap kecurangan suami, ratings drama jtbc ‘The World Of The Married’ kini sudah cecah 20%, sikit lagi atasi ‘Sky Castle’

Kemunculan Kim Hee Ae ke dalam arena drama semula selepas empat tahun, tampaknya telah membuahkan hasil.

Kim Hee Ae sekali lagi membuktikan karismanya sebagai ratu kdrama dan juga pemenang Best Actress Paeksang Art Awards ini bukan boleh dipandang enteng. Dahulu, penonton terpesona dengan lakonannya sebagai isteri yang curang menerusi jtbc Secret Love Affair gara-gara kerana terjatuh hati dengan pemain piano muda di dalam drama tersebut. Kali ini, lakonannya yang mewakili para isteri yang tertindas sehingga mendesaknya untuk melakukan sesuatu di luar jangkaan demi membalas dendam terhadap kecurangan suami yang pernah ditatang dengan penuh kasih sayang dan pernah setia padanya selama ini, betul-betul membuatkan netizen tidak senang duduk sehingga menyebabkan ramai terpaku untuk menonton drama jtbc ‘The World Of The Married’ ini pula saban minggu.

 

Dalam episod keenam ditayangkan semalam, Ji Sun Woo (lakonan Kim Hee Ae) berjaya merampas hak jagaan ke atas anak mereka daripada suaminya, Lee Tae O (lakonan Park Hae Jun) dengan perancangan dibuat begitu rapi. Perancangan tersebut merupakan salah satu siri balasan dendam dibuatnya ke atas suaminya memandangkan suaminya itu kini sudah merelakan dirinya diperakukan oleh Ye Da Kyung (lakonan Han So Hee) dan begitu berani menayangkan skandalnya itu di depannya.

Episod keenam tersebut telah berjaya meraih rating sebanyak 18.8% dan 21%, masing-masing di seluruh Korea dan Seoul, sekaligus mencatatkan lonjakan terbesar daripada 6% yang dikecapi menerusi episod pertama. Ia menjadikan ‘The World Of The Married’, drama kedua jtbc tertinggi ‘rating’-nya selepas ‘Sky Castle’. Malah, beberapa episod akan datang membayangkan jtbc ‘The World Of The Married’ akan memintas rekod yang pernah disandang oleh ‘Sky Castle’ itu tak lama lagi berdasarkan prestasi menakjubkan daripada hanya enam episod saja baru ditayangkan, sekaligus bakal mencipta sejarah sebagai drama kabel pertama dengan rekod ‘ratings’ tertinggi.

jtbc ‘The World Of The Married’ adalah mengenai kehidupan pasangan suami isteri yang musnah kerana pengkhianatan dan akibat dilanda badai cemburu, cinta dan benci. Kim Hee Ae membawakan watak Ji Sun Woo, seorang doktor keluarga, dan menjalani kehidupan yang sempurna dengan dikurniakan keluarga yang bahagia, suami yang setia serta seorang anak yang baik. Apabila keretakan perhubungan terjadi dalam kehidupan yang dirasakan bahagia, hidupnya mula berubah. Mendapat sentuhan pengarah yang pernah tercalon Best Director 7th CARI Kdrama Awards menerusi drama JTBC “Misty”, iaitu Mo Wan Il, jtbc ‘The World Of The Married’ boleh ditonton menerusi VIU.

Sumber: xsportnews, OSEN