/Seo Ye Ji & Park Jin Joo bakal sertai tvN Psycho But It’s Okay sebagai pesakit jiwa di bawah jagaan Kim Soo Hyun

Seo Ye Ji & Park Jin Joo bakal sertai tvN Psycho But It’s Okay sebagai pesakit jiwa di bawah jagaan Kim Soo Hyun

Kim Soo Hyun sudah pun menyatakan persetujuannya untuk membintangi drama terbitan tvN, ‘Psycho But It’s Okay’. Turut sama bakal menyertai drama berkenaan ialah Seo Ye Ji dan Park Jin Joo, dengan Park Jin Joo saja sudah mengesahkan penglibatannya setakat ini.

tvN Psycho But It’s Okay berkisarkan tentang seorang pekerja kesihatan yang ditugaskan menjaga wad pesakit jiwa dengan tawaran gaji lumayan sebanyak 1.8 juta won (~RM 6,354.00) menjalinkan hubungan cinta dengan salah seorang pesakit di bawah jagaannya yang merupakan seorang penulis novel fiksyen kanak-kanak yang menghidapi penyakit kecelaruan personaliti pinggiran (“Antisocial Personality Disorder”) dengan perangai yang kurang ajar serta mementingkan diri sendiri. Premis drama ini akan membayangkan seorang lelaki yang tak percaya akan cinta tapi akhirnya terjatuh hati kepada wanita yang tak sedar pun dirinya sedang dilamun cinta.

Kim Soo Hyun akan memegang watak Moon Kang Tae, seorang pekerja wad pesakit jiwa yang dikurniakan dengan kelebihan menakjubkan seperti memiliki tubuh yang sasa, otak yang pintar, mudah bersimpati dengan orang lain, kesabaran yang tiada had, dan kemahiran untuk bertindak dengan pantas apabila berlakunya kejadian tak diingini. Keputusan Moon Kang Tae untuk  bekerja di tempat tersebut barangkali kerana mahu menjaga abangnya yang lebih tujuh tahun tua daripadanya dan seringkali menunjukkan tanda-tanda autism. Tiada lagi maklumat lanjut tentang garapan watak lakonan Seo Ye Ji dan Park Jin Joo.

Kim Soo Hyun yang tercalon sebanyak dua kali Best Actor di dalam CARI Kdrama Awards sebelum ini, akan kembali semula menerajui drama sejak lebih lima tahun yang lalu selepas kali terakhir muncul menerusi KBS The Producers. Kim Soo Hyun pernah melakukan ‘cameo’ sekejap di akhir episod drama tvN Hotel del Luna dan tvN Crash Landing With Love yang masing-masing disiarkan pada tahun 2019 dan 2020. Manakala, Seo Ye Ji juga bakal kembali menerajui drama ini selepas dua tahun tidak beraksi, kali terakhir menerusi drama tvN Lawless Lawyer. Park Jin Joo pula lebih banyak membintangi drama sebagai pelakon pembantu, dan beliau pernah menjadi jururawat di dalam drama SBS Jealousy Incarnate arahan pengarah drama ini juga.

tvN Psycho But It’s Okay akan mendapatkan khidmat pengarah yang tercalon Best Director CARI Kdrama Awards, Park Shin Woo (“SBS Jealousy Incarnate”) dan juga penulis skrip, Jo Yong (“KBS Jugglers”). Ia akan disiarkan pada pertengahan tahun 2020.

Sumber: mk stars, kmania

Komentar

comments

loading...