Suspek pembunuhan bersiri Hwaseong yang paling teruk dalam sejarah Korea, akhirnya berjaya ditemui setelah 30 tahun

Polis Korea telah menemui suspek yang melakukan lebih sepuluh pembunuhan bersiri menggerunkan di Hwaseong, Seoul sehingga telah menggemparkan rakyat Korea pada sekitar tahun 1980-an.

Menurut pegawai polis Gyonggi Nambu yang ditemubual tadi, mereka telah menghadkan suspek utama kes pembunuhan bersiri itu kepada seorang lelaki yang berusia 50-an dan sedang menjalani hukuman penjara kerana merogol dan membunuh untuk kes tak berkenaan.

Gambar suspek yang dipetik daripada Yonhap News.

“Pada sekitar Julai tahun ini, kami telah hantar bukti kepada Jabatan Forensik Negara, dan keputusannya menunjukkan DNA suspek menyamai dua daripada 10 orang mangsa,” kata pihak polis itu. Sebaik saja diberitahu bukti DNA itu positif, polis membuka semula kes penyiasatan dan menghantar bukti lain kepada Jabatan Forensik Negara untuk dianalisis.

Kes pembunuhan bersiri Hwaseong, Seoul ini bukan saja gagal diselesaikan selama hampir tiga puluh tahun, malah pembunuhannya dilakukan secara sadis dengan kesan perkosa dan jerutan pada leher jelas kelihatan pada mangsa. Kebanyakan mangsa-mangsanya diserang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dan mayat mereka akan dicampak ke dalam lorong gelap ataupun sawah padi. Kes pembunuh bersiri berkenaan telah menjadi sumber inspirasi kepada pembikinan filem Korea berjudul Memories of Murders yang diarahkan oleh Bong Joon Ho lakonan Song Kang Ho pada tahun 2003 dan juga disebut di dalam drama popular tvN Signal pada tahun 2016, yang dinobatkan sebagai Drama of The Year dalam 5th CARI Kdrama Awards.

Beberapa kes pembunuhan di seluruh dunia yang ditakrifkan sebagai “dingin” telah berjaya diselesaikan dengan bantuan teknologi DNA yang kian berkembang serta data strata profil DNA yang telah berjaya diperluaskan. Salah satu kes pembunuhan bersiri “dingin” lain yang boleh menjadi rujukan ialah “Golden State Killer” di Amerika Syarikat dengan suspek akhirnya berjaya dikesan.

Walaubagaimanapun, berdasarkan Kod Prosedur Jenayah sewaktu pembunuhan bersiri Hwaseong itu dilakukan, had tempoh penyiasatan (“statute of limitations”) dibenarkan adalah sehingga tahun 2006 saja mengikut tarikh mangsa yang terakhir ditemui. Polis cuba memanjangkan penyiasatan untuk menyelesaikan kes pembunuhan bersiri tersebut tetapi gagal untuk berbuat demikian. Sekiranya tertuduh dibuktikan sebagai suspek, beliau mungkin tidak akan menghadapi perbicaraan di mahkamah melainkan parlimen di Korea bersidang untuk menggubalkan undang-undang bagi melewatkan tempoh had penyiasatan tersebut.

Sumber: koreaherald , sportbiz, hankookilbo

loading...