[Siri 12] Charlotte Cho meramalkan 6 evolusi dunia KBeauty untuk tahun 2019

Pada bulan Disember lepas, Charlotte Cho telah mengeluarkan ramalan-ramalan beliau tentang apa yang akan berlaku dalam dunia Kbeauty pada tahun 2019 ini. Masih ingatkah siapa Charlotte Cho? Beliau adalah salah seorang pengasas syarikat SOKO Glam. Yang mana, mereka mempromosi tentang Kbeauty di Amerika Syarikat.

Bukan hanya seorang Business Woman, Charlotte Cho juga merupakan seorang pakar kulit  yang mana telah membantu menghasilkan beberapa produk kecantikan Korea yang popular seperti produk-produk Neogen dan beberapa produk tersohor yang lain. Selain itu, beliau juga mengeluarkan produk Double Cleansing beliau tersendiri yang diberi nama sebagai Then I Met You. Charlotte Cho juga pernah menulis sebuah buku yang berjudul The Little Book of Skin Care, yang menceritakan secara terperinci mengenai Kbeauty.

Beliau menjelaskan ia suatu tradisi untuk beliau memberikan ramalan-ramalan apa yang akan berlaku di dalam dunia Kbeauty. Produk-produk yang akan popular dan juga trend yang akan dibawa ke tahun seterusnya. Pada tahun 2019, ini adalah ramalan beliau.

  1. Trend 2018 yang di bawa ke 2019.

Sebelum ini penulis pernah menulis tentang rutin penjagaan wajah yang rumit oleh pengamal Kbeauty. 10 langkah rutin untuk memperoleh kulit yang cantik dan semakin ramai pengguna yang mengeluh tentang kerumitan ini. Malah, media-media di Korea turut menyentuh mengenai isu kecantikan yang remeh. Media-media Korea juga mula mengeluarkan istilah-istilah khusus seperti the Skip Care ataupun Skin Diet. Istilah-istilah ini merujuk kepada rutin yang lebih singkat dengan menggunakan produk-produk yang mempunyai pelbagai faedah dalam satu masa.

Charlotte menjelaskan, sesetengah istilah ini bukanlah merujuk kepada rutin yang baru. Malah, dalam 10 langkah rutin kecantikan terdahulu, tidak bermakna anda perlu melakukan kesemua langkah itu sekali gus dan dua kali sehari. Ia masih sama. Apa yang penting adalah pemahaman bahawa penjagaan kulit Korea ini bukanlah bermaksud menggunakan produk-produk yang berpelbagai dalam kuantiti yang banyak. Penjagaan kulit Korea ini lebih fokus kepada memiliki pengetahuan mengenai kulit wajah dan bagaimana menjaga kulit berdasarkan jenis-jenis kulit terbabit. Penggunaan produk-produk pula lebih kepada untuk membantu mencapai gol-gol pengguna berdasarkan pengetahuan dan kepuasan pengguna.

  1. Customization

Customize ataupun sesuatu yang mengikut ciri-ciri khusus dan bukan lagi untuk penggunaan secara am. Ini khas untuk penggemar-penggemar Sheet Mask. Pada tahun 2019, Charlotte menerangkan akan ada lebih banyak pilihan-pilihan Sheet Mask berbanding tahun-tahun sebelum ini. Pilihan-pilihan ini akan lebih khusus dan bersifat customize terhadap jenis-jenis kulit dan kerisauan pengguna.

Sebagai contoh, Mamonde, telah melancarkan siri Sheet Mask bernama Mix and Match, yang membolehkan pengguna memilih sepasang Sheet Mask yang berbeza-beza pada bahagian atas wajah dan bahagian bawah wajah. Sebagai contoh, pengguna boleh memilih bahagian atas untuk penjagaan liang pori ataupun melembutkan wajah dan bahagian bawah pula untuk firming atau menyegarkan kulit. Bagi penulis, Sheet Mask jenis ini amat bersesuaian juga mereka yang memiliki kulit wajah jenis Combination. Charlotte berkata, akan ada Sheet Mask khusus untuk apa juga matlamat pengguna.

  1. Clean Beauty

Clean Beauty ini bukanlah hanya memfokuskan kepada keadaan wajah yang bersih tetapi lebih kepada produk-produk yang dihasilkan ini bersifat vegan, mesra alam sekitar dan bebas pewangi serta bahan kimia yang berbahaya. Walaupun terma ini selalu digunakan untuk teknik penjualan yang wujud dari kesedaran terhadap peningkatan pencemaran alam.

Namun, Charlotte melihat fokus terhadap produk-produk mesra kulit sensitif adalah suatu pergerakan yang di ambil serious oleh jenama-jenama Kbeauty. Tahun ini, dijangka akan wujud lebih banyak produk-produk yang bersifat Clean beauty dan lebih lembut dan mesra kulit wajah.

  1. Hanbang

Tahun ni akan lebih banyak produk-produk yang terhasil daripada “Hanbang”. Hanbang merujuk kepada bahan-bahan yang diinspirasikan oleh herbal-herbal tradisional Korea dan salah satu bahan penting adalah ginseng. Ginseng adalah salah satu bahan penting di Korea. Ia sering digunakan sama ada di minum di dalam teh ataupun minuman kesihatan. Ginseng bukan hanya bagus untuk kesihatan tubuh badan malah ia juga bagus untuk mencerahkan dan menyegarkan kulit.

Selain itu, ia juga merupakan satu bahan penting dalam produk-produk anti-penuaan.  Ia banyak digunakan oleh jenama Sulwhasoo untuk tujuan mengurangkan sembap dan garis hitam di bawah mata. Selain itu, pelbagai serum dan krim di bawah jenama mewah ini yang berasaskan ginseng. Charlotte meramalkan lebih banyak produk yang akan dihasilkan oleh jenama-jenama besar Kbeauty pada tahun ini berlandaskan menu-menu Hanbang.

  1. Asid

 

Asid di sini merujuk kepada penggunaan Alpha Hydroxy Acid (AHA) dan Poly Hydroxy Acid (PHA) iaitu sejenis kumpulan asid yang mempunyai kesan pengelupasan pada lapisan epidermis kulit. Kedengaran agak menakutkan ya. Namun, penggunaan AHA adalah baik untuk semua jenis kulit. PHA pula mempunyai fungsi yang sama seperti AHA tetapi sifatnya lebih lembut dan bersesuaian untuk kulit sensitif. Bukan hanya mengelupas tapi kedua-dua bahan ini memberikan kelembapan kepada kulit wajah.

Menurut Charlotte, kebanyakan jenama-jenama Korea banyak mengelakkan penggunaan asid-asid ini tetapi produk-produk ini mendapat permintaan yang banyak dari pengguna. Charlotte meramalkan akan lebih banyak jenama-jenama Kbeauty akan terlibat dalam proses inovasi untuk menghasilkan produk dengan penggunaan cara yang betul. Buat masa ini, jenama The Ordinary dan yang pernah viral sebelum ini, produk AHA. BHA. PHA 30 Day Miracle Toner. Nampaknya mereka akan mendapat persaingan sengit pada masa akan datang.

  1. Tekstur Velvet

Yang terakhir ramalan Charlotte adalah produk yang menghasilkan tekstur velvet. Beliau berkata tekstur unik ini akan meningkat dan menjadi satu bahagian yang besar dalam pengalaman penjagaan kulit. Beliau juga menyatakan, beliau berpengalaman mencuba beberapa produk  yang akan dipasarkan pada tahun 2019 termasuklah pencuci muka seperti awan, Sheet Mask yang akan cair ketika penggunaan dan produk-produk tekstur velvet yang akan membuatkan pengalaman penjagaan kulit wajah anda begitu lain dari sebelum ini, menyeronokkan dan suatu pengalaman yang mewah.

Sumber; The Klog