10 Lagu Kpop ini Paling Menyengat & Popular di Malaysia sepanjang tahun 2018

Sukar untuk bayangkan lagu kpop mana paling popular di Malaysia tanpa data yang sah dan boleh dipercayai. Masing-masing akan pertahankan bahawasanya kumpulan bias mereka paling hebat bertahan di kedudukan no.1 dalam carta muzik, memperoleh jualan single atau album paling banyak serta bilangan tontonan Youtube terbanyak, misalnya. Tapi, data diperolehi RIM Malaysia, satu-satunya agensi paling dipercayai di Malaysia, memberikan kejutan yang mungkin tak disedari oleh peminat Kpop selama ini. Data ini telah di’compile’ oleh Kmania dengan penuh tekun sekali berdasarkan jumlah bilangan ‘impressions’ dan kedudukannya di dalam carta RIM setiap minggu.

Apapun, mari kita kaji satu persatu 10 lagu Kpop paling popular di Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 2018.

10. Killing Me – Ikon

Mungkin peminat kpop terpinga-pinga, bagaimana pula dengan lagu ‘Love Scenario’ – Ikon yang dinobatkan sebagai Song of The Year dalam Melon Music Awards 2018 baru-baru ini? ‘Love Scenario’ sebenarnya telah melonjakkan nama Ikon yang tak dikenali sebelum ini di Malaysia sehingga menyebabkan Killing Me kemudiannya jua terkena tempias. Barangkali, rakyat Malaysia belum lagi merasa kehebatan lagu ‘Love Scenario’ sewaktu dilancarkan pada awal tahun 2018 tapi lama-kelamaan mereka jatuh cinta dan turut terpengaruh sama. Maka, apabila ‘Killing Me’ mula dikeluarkan sebagai single serta-merta, lagu ini terus mendapat bilangan ‘impressions’ agak tinggi buat Ikon di Malaysia. Mungkin muziknya yang ‘funky’ dan ‘catchy’ berjaya menarik perhatian pendengar. Dengan suntikan elemen EDM, ia menjadikan lagu ini sesuatu yang luar biasa dan menangkap gegendang pendengar.

9. What Is Love? – Twice

Twice yang digelar sebagai kumpulan kpop girl tersohor selepas Girl Generation, tak menghampakan dengan single mereka paling laku tahun 2018 ini, yakni berjudul ‘What Is Love?’ . Penangannya juga terasa di Malaysia apabila meraih jumlah tontonan agak tinggi selain kekal dalam carta RIM selama 3 minggu berturut-turut dalam top 20.

Bukan sahaja di Malaysia, lagu Twice in turut menjadi pilihan pendengar dan pernah menguasai beberapa carta lagu di Korea. Bahkan muzik video ‘What Is Love’ juga nerupakan muzik video ke-7 Twice yang mencapai 200 juta tontonan di YouTube. Terbaru, lagi ini juga telah dipilih sebagai ‘Song of the year’ di MAMA 2018 yang telah diadakan dilokasi terakhir, Hong Kong pada 14 Disember.

8. The Truth Untold – BTS ft. Steve Aoki

Single kolaborasi ke-2 BTS bersama Steve Aoki ini tak lah sehebat Mic Drop, tapi tetap mendapat perhatian di kalangan peminat mereka di Malaysia. Lagu ini debut pada tangga no.2 di dalam carta RIM sebelum menjunam ke tangga 10 dan terkeluar pada minggu seterusnya. Namun, disebabkan bilangan ‘impressions’ agak besar, ‘The Truth Untold’ mampu berdiri gah di Malaysia walaupun ianya mungkin sendu di peringkat antarabangsa secara keseluruhannya dengan hanya tontonan setakat 4 juta saja di Youtube.

7. Forever Young – Blackpink

Lagu ‘Forever Young’ , single selingan kumpulan ini , antara single yang berjaya menempatkan Blackpink sebagai kumpulan kpop girl paling cepat menaik di Malaysia malah di dunia sekalipun pada tahun 2018. Lagu ini debut pada posisi no.5, sebelum turun mendadak ke no. 15 dan kekal selama tiga minggu berturut-turut di dalam carta top20 RIM.

6. Kiss & Make Up – Dua Lipa duet Blackpink

Kolaborasi yang tak disangka-sangka antara Blackpink dan Dua Lipa telah memastikan kesinambungan populariti kumpulan kpop girl ini selepas single ‘DDU-DU DDU-DU’ mereka dilancarkan. Kiss & Make Up debut pada posisi no.3 di carta dan kekal dalam posisi tersebut sehingga tiga minggu berturut-turut. Setakat ini, lagu ini belum terkeluar dalam carta RIM.

5. Waste It On Me – BTS f. Steve Aoki

Kolaborasi ketiga BTS bersama Steve Aoki kali ini nampaknya membuahkan hasil. ‘Waste It On Me’ debut pada tangga no.1 sebelum menurun ke tangga ke-4 pada minggu seterusnya dan kekal dalam top20 carta RIM selama enam minggu berturut-turut.

4. Solo – Jennie Blackpink

Satu-satunya single yang dinyanyikan tanpa berkumpulan, kehebatan Jennie seharusnya tak perlu dipertikaikan lagi. Lagu ini debut pada tangga no.2 dan masih kekal di posisi sama selama empat minggu berturut-turut. Setakat ini, lagu ‘Solo’ tetap mendominasi di carta RIM.

3. Idol – BTS

Siapa sangka lagu berentakkan muzik tradisional Korea ini mampu mendapat tempat di hati peminat-peminat mereka. Di Malaysia juga tak kurang hebatnya. ‘Idol’ debut pada kedudukan no.1 dan kekal dalam posisi tersebut selama tiga minggu berturut-turut. Pada minggu ke-4, barulah single ini menurun ke tangga no.3. ‘Idol’ hanya terkeluar dari carta RIM selepas minggu ke-8. Muzik video ini juga telah mencecah 300 juta tontonan di YouTube.

2. Fake Love – BTS

Single membuatkan kembalinya BTS di persada industri kpop ini bukan saja popular di Korea dan Amerika Syarikat, malah ia turut mendunia di Malaysia. ‘Fake Love’ , single pertama yang dipetik daripada album ‘Love Yourself’ debut di kedudukan no.1 dan kekal selama lebih dua minggu. Kemudian, ia menurun ke posisi no. 3 pada minggu ke-5 dan berada dalam top20 carta RIM selama 13 minggu berturut-turut.

Dek kerana penangan lagu BTS yang ini juga, penulis turut menjumpai sebuah video ‘Fake Love’ versi Malaysia yang dinyanyikan oleh Eleena Haris. Biarpun melodinya lebih kepada sentimental, namun ia masih lagi lagu ‘Fake Love’. Nampaknya lagu Kpop dan BTS tidak dapat dipisahkan dengan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong kumpulan bertaraf antarabangsan ini. Oklah, jom dengarkan ‘Fake Love’ versi kita.

Usah risau, buat Army, penulis hidangkan juga persembahan terkini lagu ‘Fake Love’ oleh BTS di MAMA 2018 yang diadakan pada 12 Disember lalu di Jepun .  Untuk makluman juga, ‘Fake Love’ merupakan muzik video ke-4 BTS yang telah mendapat 400 juta tontonan di Youtube.

1. DDU-DU DDU-DU – Blackpink

Terkejut bukan? Siapa sangka kumpulan Blackpink mampu memintas penangan terhebat beberapa single keluaran BTS pada tahun 2018 ini dengan single DDU-DU DDU-DU saja. DDU-DU DDU-DU debut pada posisi no.1 sebelum menurun sedikit ke no.2 pada minggu ke-2. Tapi yang membuatkannya sangat menakjubkan apabila berada dalam top 5 carta RIM selama lebih 11 minggu berturut-turut, dan kekal berada dalam top 10 selama 16 minggu. ‘DDU-DU DDU-DU’ tetap berada dalam top20 carta RIM lebih 18 minggu. Bayangkan! Minggu ke-20, barulah lagu ini terkeluar carta menunjukkan DDU-DU DDU-DU bukan calang-calang hebat. Kalau tanya rakyat Malaysia tentang kpop secara rawak, pasti mereka ‘familiar’ dengan lagu DDU-DU DDU-DU ini berbanding Blackpink. Muzik video mereka ini juga telah mendapat 500 juta tontonan di YouTube.

DDU-DU DDU-DU ini kemudian mendapat perhatian di Malaysia apabila penyanyi merangkap juara program realiti Big Stage, Sarah Suhairi menyanyikan lagu ini dan mendapat response yang positif dari juri serta penonton. Bahkan, video persembahannya tular di laman sosial sehingga mendapat perhatian Blackpink sendiri. Jom ikuti video DDU-DU DDU-DU yang menjadi lagu Kpop pilihan rakyat Malaysia dengan versi Sarah Suhairi.

Lagu ini sekali lagi meniti dibibir pendengar apabila Blackpink dipilih sebagai Duta Pusat Jualan atas talian Shopee yang menampilkan lagu DDU-DU DDU-DU sebagai lagu tema. Tambahan, Blackpink juga bakal berkunjung ke Malaysia pada 23 Februari 2019 sempena siri jelajah BLACKPINK 2019 WORLD TOUR [IN YOUR AREA]. Pasti ramai peminat tidak sabar untuk menyanyikan lagu ini bersama Blackpink kerana khabarnya tiket konsert begitu laris dijual.

Apakah antara sepuluh lagu ini menjadi kegemaran anda? Jom kongsikan dengan kami Top 10 Lagu Kpop pilihan anda pula.

 


Sumber: RIM Malaysia