3 Sebab Untuk Mula Menonton “My Bias, My Boss”, Kini Distrim di HBO Max Malaysia

Drama romantik terbaharu tvN, “My Bias, My Boss”, kini rasmi menemui penonton dan boleh distrim menerusi HBO Max Malaysia.

Diadaptasi daripada webtoon popular dengan judul sama, drama ini mengisahkan Nam Da Reum (Kim Hye Joon), yang menyertai sebuah syarikat fesyen demi mendekati idola yang diminatinya sejak sekian lama, Lee Chan (Cha Woo Min). Namun, tanpa diduga, kehidupannya mula berubah apabila dia terjerat dalam hubungan yang semakin rapat dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Kang Ha Gi (Kang Hoon).

Berikut tiga sebab mengapa drama ini wajar dimasukkan dalam senarai tontonan anda.

1. Cinta tiga segi yang menjanjikan banyak momen mendebarkan

Nam Da Reum merupakan peminat tegar Lee Chan, anggota kumpulan idola D.N.X.. Demi merealisasikan impiannya untuk bekerja bersama idola kesayangannya, dia berjaya mendapatkan pekerjaan di Apello, sebuah syarikat fesyen yang diasaskan oleh Lee Chan dan Kang Ha Gi.

Namun, sebelum sempat bertemu Lee Chan, Da Reum terlebih dahulu terpaksa berdepan pelbagai cabaran ketika bekerja di bawah Kang Ha Gi.

Lama-kelamaan, hubungan mereka berkembang menjadi cinta tiga segi apabila Kang Ha Gi dan Lee Chan sama-sama mula menyimpan perasaan terhadap Da Reum. Seorang merupakan CEO yang cemerlang dalam kerjaya tetapi kekok dalam soal cinta, manakala seorang lagi ialah idola yang sentiasa disayangi peminat tetapi tidak pernah benar-benar merasai cinta. Situasi ini pastinya membuatkan penonton sukar memilih siapakah yang paling layak memenangi hati Da Reum.

2. Rom-com pertama buat Kang Hoon, Kim Hye Joon dan Cha Woo Min

Walaupun ketiga-tiga pelakon utama telah membuktikan kemampuan mereka menerusi pelbagai naskhah sebelum ini, “My Bias, My Boss” menjadi drama komedi romantik pertama buat Kang Hoon, Kim Hye Joon dan Cha Woo Min.

Drama ini turut diperkuatkan dengan barisan pelakon sokongan menarik seperti Yuna daripada ITZY, bekas anggota OH MY GIRL, Gong Jiho, serta Kim Ah Young, yang dijangka mencuri perhatian menerusi watak masing-masing.

3. Kisah mengejar impian dan menemui jati diri

Selain kisah percintaan, drama ini turut mengetengahkan perjalanan Nam Da Reum dalam mengejar impian dan mengenali dirinya sendiri.

Berinspirasikan Lee Chan, Da Reum sanggup menolak tawaran kerja di sebuah syarikat besar demi mengejar cita-citanya sebagai pemasar fesyen. Keputusannya untuk mengikut kata hati, berani mencuba sesuatu yang baharu dan tidak tunduk kepada jangkaan orang lain menjadikan kisahnya dekat dengan realiti yang dihadapi ramai anak muda hari ini.

“My Bias, My Boss” kini boleh distrim di HBO Max Malaysia.


Sumber : 1