Kuala Lumpur: Pada 29 Julai 2026 yang lalu, TGV Cinemas Sunway Pyramid menjadi lokasi berlangsungnya Majlis Gala Premiere filem Tiket Sehala, sebuah filem bergenre survival thriller yang diterbitkan oleh Key Billions Sdn. Bhd. Majlis berprestij ini menyatukan empat negara Asia iaitu Malaysia, Korea Selatan, Indonesia dan Thailand menerusi sebuah naskhah yang sarat dengan mesej kemanusiaan.
Majlis tersebut menghimpunkan barisan pelakon, tenaga produksi, rakan kerjasama, tetamu jemputan serta pengamal media bagi menyaksikan tayangan perdana filem arahan dan terbitan pengarah berwibawa, Puan Rahila Ali. Beliau membuktikan kemampuannya menghasilkan karya berkualiti tinggi yang bertaraf antarabangsa.

Diinspirasikan daripada kisah benar, Tiket Sehala mengangkat isu penipuan pekerjaan (job scam) dan pemerdagangan manusia melalui sebuah penceritaan yang mendebarkan. Filem ini bukan sahaja mengetengahkan perjuangan untuk terus hidup, malah menyampaikan mesej tentang harapan, pengorbanan dan nilai sebuah kebebasan.
Keistimewaan majlis gala ini turut diserikan dengan kehadiran barisan pelakon tempatan dan antarabangsa yang membintangi filem tersebut. Selain menghimpunkan pelakon dari Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, filem ini turut menjalani penggambaran di Malaysia dan Korea Selatan, sekali gus menampilkan kerjasama erat antara industri perfileman serantau.

Dalam ucapannya, Pengarah dan Penerbit, Puan Rahila Ali menyifatkan penganjuran majlis gala ini sebagai detik yang amat bermakna selepas hampir setahun melalui proses pembikinan filem tersebut.
“Selepas melalui perjalanan yang panjang untuk menyiapkan Tiket Sehala, akhirnya kami dapat berkongsi filem ini bersama penonton. Hari ini sangat bermakna buat kami kerana ia merupakan hasil usaha dan komitmen seluruh pasukan yang terlibat sejak awal pembikinan.
Filem ini diinspirasikan daripada isu yang benar-benar berlaku dan kami cuba mengangkatnya dalam bentuk penceritaan yang mendebarkan. Di sebalik debaran yang dipaparkan, ia juga membawa kisah tentang harapan, pengorbanan dan nilai sebuah kebebasan.
Kami berharap filem ini dapat membuka mata penonton terhadap realiti yang mungkin tidak ramai sedari. Jika penonton keluar dari pawagam dengan rasa lebih peka dan lebih berhati-hati terhadap isu ini, itu sudah cukup bermakna buat kami.”
Puan Rahila turut mengakui bahawa pembikinan Tiket Sehala bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan sebahagian besar penggambaran dijalankan di Korea Selatan. Antara cabaran yang dihadapi termasuk urusan permit, logistik, faktor cuaca serta penyelarasan antara pasukan produksi Malaysia dan Korea Selatan yang mempunyai budaya kerja yang berbeza.
“Sudah tentu ada perkara yang tidak berjalan seperti yang dirancang dan ada masanya kami terpaksa membuat keputusan dalam tempoh yang singkat. Namun, bagi saya, setiap cabaran adalah sebahagian daripada proses menghasilkan sesebuah filem.
Apa yang paling saya syukuri ialah komitmen seluruh pasukan produksi. Tanpa usaha dan kerjasama mereka, filem ini tidak mungkin dapat disiapkan sehingga berjaya dipersembahkan kepada penonton hari ini.”
Sementara itu, Penerbit Eksekutif, Eddie Yap berkata isu penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia masih berlaku di banyak negara, termasuk membabitkan rakyat Malaysia. Beliau berharap filem ini dapat menjadi medium untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko sindiket penipuan pekerjaan.
“Kita sering melihat laporan mengenai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara. Menerusi Tiket Sehala, kami berharap masyarakat akan lebih berwaspada dan membuat semakan sewajarnya sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan.
Kami juga berharap filem ini bukan sahaja memberikan pengalaman menonton yang mendebarkan, malah meninggalkan kesedaran bahawa setiap keputusan yang dibuat boleh membawa kesan yang besar terhadap kehidupan seseorang.”
Tiket Sehala dibintangi oleh Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Sharifah Sakinah, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Hasnul Rahmat, Zaki Yamani, Ainee Mustafa dan Saha Champ, selain menampilkan barisan pelakon antarabangsa dari Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.

Dengan gabungan pelakon tempatan dan antarabangsa, lokasi penggambaran di Malaysia dan Korea Selatan, serta kisah yang diinspirasikan daripada isu semasa, Tiket Sehala dijangka memberi impak besar kepada penonton apabila mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos 2026.

Sinopsis
Tiket Sehala mengisahkan sekumpulan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan ketika mencari rezeki di Korea Selatan. Alif, Putri dan Taqy pada mulanya dijanjikan peluang pekerjaan dengan gaji lumayan. Namun, sebaik tiba di Korea Selatan, mereka mendapati tiada kilang, tiada gaji seperti yang dijanjikan dan tiada jalan untuk melarikan diri.
Sebaliknya, mereka dipaksa bekerja sebagai buruh kasar di sebuah ladang bawang terpencil di bawah kawalan dua beradik, Jae Soo dan Ha Joon. Dalam usaha membebaskan diri, mereka terperangkap dalam situasi yang mengubah kehidupan mereka, sekali gus memaksa mereka membuat pilihan yang tidak pernah terlintas demi melepaskan diri daripada cengkaman sindiket yang kejam.
Tonton trailer rasmi Tiket Sehala di bawah:
Ucapan terima kasih kepada Key Billions Sdn. Bhd. atas jemputan media ini.




