Penulis “Flex x Cop 2” Kongsi Sebab Ahn Bo Hyun, Jung Eun Chae dan Yoo Seung Ho Pilihan Tepat untuk Watak Mereka

Menjelang tayangan perdana “Flex x Cop 2”, penulis Kim Ba Da berkongsi pengalamannya kembali menghasilkan musim kedua serta menjelaskan mengapa Ahn Bo Hyun, Jung Eun Chae dan Yoo Seung Ho merupakan pilihan terbaik untuk menghidupkan watak masing-masing.

Dalam “Flex x Cop 2”, Ahn Bo Hyun kembali sebagai Jin Yi Soo, pewaris chaebol generasi ketiga yang bertukar menjadi detektif dan sering menggunakan kekayaan serta rangkaian pengaruhnya bagi menyelesaikan kes-kes yang menemui jalan buntu. Sementara itu, Jung Eun Chae membawakan watak Joo Hye Ra, detektif berpengalaman yang menjadi rakan baharu Jin Yi Soo.

Mengimbas peluang menghasilkan musim kedua selepas dua tahun, Kim Ba Da menyifatkannya sebagai satu penghormatan besar.

Penulis skrip – Kim Ba Da

“Musim kedua hanya dapat dihasilkan kerana sokongan penonton. Jadi saya mahu membalas kepercayaan itu dengan cerita yang lebih menyeronokkan dan menghiburkan,” katanya.

Musim pertama berjaya mencatat rating tertinggi sebanyak 11 peratus, sekali gus membina kelompok peminat setia sehingga drama itu menerima lampu hijau untuk musim kedua.

Menurut Kim Ba Da, watak Jin Yi Soo sentiasa menjadi nadi utama drama ini.

“Idea tentang seorang pewaris chaebol generasi ketiga yang tiba-tiba menjadi detektif dan menyiasat kes pembunuhan memang menarik, tetapi bukan mudah untuk direalisasikan. Saya mahu mencipta watak yang kelihatan menonjol, berani dan selamba, tetapi pada masa sama mempunyai sisi yang baik hati.”

Beliau turut memuji Ahn Bo Hyun kerana berjaya menghidupkan watak tersebut.

“Jin Yi Soo ialah watak yang sangat unik dan tidak mudah dilakonkan, tetapi Ahn Bo Hyun benar-benar menjadi Jin Yi Soo. Dia sentiasa hadir dengan idea baharu dan banyak dialog ikonik lahir daripada improvisasinya sendiri. Saya dapat menulis sisi paling ceria Yi Soo kerana saya percaya pada kebolehannya. Saya bersyukur dapat bekerjasama dengannya sekali lagi untuk musim kedua.”

Kim Ba Da turut menyifatkan Jung Eun Chae sebagai satu-satunya pelakon yang sesuai membawakan watak Joo Hye Ra.

“Saya tidak dapat membayangkan pelakon lain yang mampu menampilkan seorang detektif yang tegas tetapi memiliki kekuatan yang tenang seperti Jung Eun Chae. Dia mempunyai gabungan karisma dan keanggunan yang unik, dan saya semakin mengaguminya selepas bekerja bersama.”

Beliau turut mendedahkan bahawa keserasian antara Jin Yi Soo dan Joo Hye Ra akan menjadi antara tarikan utama musim kedua.

“Joo Hye Ra sentiasa selangkah di hadapan Jin Yi Soo. Dia tahu bagaimana untuk mengeluarkan potensi terbaik Yi Soo dan memanfaatkannya ketika menyelesaikan sesuatu kes. Pada masa sama, Yi Soo akhirnya sedar dia sebenarnya mengikut rentak Hye Ra walaupun cuba berlagak yakin.”

Selain itu, penonton turut akan diperkenalkan dengan watak baharu Yoo Sung Won, yang dilakonkan oleh Yoo Seung Ho.

Watak tersebut merupakan pewaris chaebol generasi ketiga dan seorang pengukir yang mengagumi Jin Yi Soo sejak kecil seperti seorang abang. Namun, dia juga merupakan individu yang sentiasa menimbulkan rasa curiga dalam diri Joo Hye Ra.

Kim Ba Da mendedahkan bahawa Yoo Seung Ho merupakan pelakon pertama yang terlintas di fikirannya ketika mencipta watak tersebut.

“Watak ini bukan mudah untuk dilakonkan, jadi saya amat bersyukur dia menerimanya. Lakonannya benar-benar meninggalkan impak dan saya percaya penonton pasti menantikan kemunculannya.”

Bercakap mengenai skala musim kedua yang lebih besar, Kim Ba Da berkata “flex” yang menjadi identiti Jin Yi Soo kini tiada batasan.

Beliau mendedahkan episod pembukaan akan memaparkan sekumpulan pengganas yang menyasarkan Jin Yi Soo, sebelum detektif itu bertindak menggunakan gaya penyiasatan luar biasanya untuk menumpaskan mereka. Musim ini turut menampilkan pelbagai kes pembunuhan melibatkan kumpulan gangster, ahli silap mata, penari tradisional Korea dan banyak lagi.

Tanpa mahu mendedahkan terlalu banyak, Kim Ba Da turut memberi bayangan mengenai salah satu kes terbesar musim ini yang berkait dengan syarikat produksi filem milik Jin Yi Soo.

“Saya tidak boleh berkongsi lebih lanjut kerana ia akan menjadi spoiler. Tetapi cuba bayangkan apa yang boleh dilakukan oleh seseorang yang memiliki sebuah syarikat produksi filem, dan bagaimana ia boleh dikaitkan dengan sesuatu kes. Itu antara perkara yang menyeronokkan dalam musim ini.”

Mengakhiri temu bual, Kim Ba Da berharap penonton akan terus menikmati kisah Jin Yi Soo yang menggunakan cara tersendiri untuk menumpaskan penjenayah.

“Saya harap penonton seronok menyaksikan Jin Yi Soo, detektif chaebol yang mampu melakukan hampir apa sahaja, menumpaskan penjenayah dengan caranya sendiri sambil menikmati setiap penyiasatan penuh ‘flex’ yang dibawakannya.”

“Flex x Cop 2” dijadualkan menemui penonton pada 7 Ogos, jam 9.50 malam (KST) dan boleh distrim di Disney+.


Sumber : 1