Kim Moo Yeol, Lee Sung Min, Jin Ki Joo dan P.O Terajui Pasukan Khas Pendidikan Dalam Drama Baharu “Teach You A Lesson”

Drama terbaru Netflix, “Teach You A Lesson”, telah berkongsi imej stills baharu yang menampilkan barisan pelakon utamanya!

“Teach You A Lesson” ialah siri penuh sindiran dan kepuasan emosi yang memfokuskan kepada biro fiksyen dikenali sebagai Educational Rights Protection Bureau (ERPB), sebuah pasukan khas kerajaan yang diwujudkan bagi mengembalikan autoriti guru dalam era pelajar bermasalah, ibu bapa yang terlalu mendesak dan sistem sekolah yang semakin goyah.

Drama ini diarahkan oleh Hong Jong Chan, pengarah di sebalik “Juvenile Justice”, manakala skrip pula ditulis oleh Lee Nam Kyu yang sebelum ini menghasilkan “Daily Dose of Sunshine”.

Imej stills yang didedahkan memperlihatkan pasukan ERPB mula bergerak bagi menangani sistem pendidikan yang semakin bermasalah, sekali gus meningkatkan jangkaan terhadap tindakan mereka dalam drama ini.

Kim Moo Yeol membawakan watak Na Hwa Jin, bekas anggota pasukan khas tentera yang kini bertugas sebagai penyiasat ERPB. Sentiasa tampil dengan sut hitam, Na Hwa Jin mungkin kelihatan kasar dan terus terang, namun dia sentiasa berpihak kepada mangsa. Wataknya dijangka menjadi individu yang mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengancam persekitaran sekolah.

Lee Sung Min pula memainkan watak Choi Gang Seok, Menteri Pendidikan yang menubuhkan ERPB. Dia tampil mempertahankan kewujudan biro tersebut daripada pihak yang mahu menentang atau membubarkannya, sambil menekankan kepentingan sistem itu dalam memperbaiki dunia pendidikan yang semakin bermasalah.

Jin Ki Joo membawa watak Im Han Rim, penyelia junior ERPB dan rakan seperjuangan Na Hwa Jin ketika dalam pasukan khas dahulu. Walaupun memberi impresi pertama yang kemas dan tenang, dia sebenarnya memiliki personaliti berani dan tindakan yang sukar dijangka. Im Han Rim dijangka bergerak tanpa teragak-agak demi melindungi persekitaran pendidikan.

Sementara itu, P.O memegang watak Bong Geun Dae, pegawai genius ERPB yang memiliki kemahiran hebat dalam analisis data. Walaupun kelihatan sedikit naif, dia memainkan peranan penting dalam membantu pasukan menyelesaikan pelbagai masalah sambil perlahan-lahan berkembang sepanjang cerita.

Pengarah Hong Jong Chan turut berkongsi, “Saya masih ingat babak pertama apabila pasukan ERPB akhirnya bergerak sebagai satu unit lengkap. Melihat personaliti empat watak utama bergabung dalam satu adegan membuatkan saya sendiri bertepuk tangan di lokasi penggambaran.”

“Teach You A Lesson” dijadualkan menemui penonton bermula 5 Jun ini.

Sumber : 1