[Drama Review] IU & Byeon Woo Seok Hidupkan Kisah Cinta & Kuasa Diraja dalam ‘Perfect Crown’

Bagi peminat Princess Hours, Perfect Crown hadir dengan konsep serupa — monarki moden dan perkahwinan kontrak — tetapi dengan pendekatan lebih matang dan mendalam.

Berlatar di Korea dalam dunia alternatif sebagai monarki perlembagaan, drama ini mengikuti Sung Hui Ju, pewaris chaebol yang memiliki segalanya kecuali status, dan Putera Agung Ian, seorang putera bergelar tetapi tanpa kuasa sebenar. Pertemuan mereka membawa kepada satu keputusan berani yang bakal mengubah perjalanan hidup kedua-duanya.

Dua episod pertama cukup untuk menetapkan tone cerita dengan baik. Ia bukan sekadar rom-com ringan, tetapi turut menyelitkan konflik kelas sosial, politik istana, dan tekanan golongan elit. Fokus awal episod menunjukkan babak Hui Ju yang berani membuat proposal perkahwinan kontrak kepada Putera Ian, menjadikan hubungan mereka satu perikatan strategik yang membuka jalan kepada konflik dan emosi yang lebih mendalam.

Hui Ju tampil sebagai heroin yang berani, bercita-cita tinggi, dan sedikit kompleks dari segi moral. Sebagai CEO Castle Group yang proaktif, dia menggabungkan penampilan menawan dengan tekad kuat, tidak takut mengambil langkah berani demi mencapai matlamat, termasuk strategi untuk mendekati Putera Ian walaupun beberapa percubaan gagal. Putera Ian pula digambarkan sebagai “Powerless Prince” — anak kedua keluarga diraja tanpa hak istimewa tradisional. Dualiti emosinya menarik: mesra dan penyayang kepada sesetengah orang, tetapi dingin dan tajam kepada yang lain. Kontras antara sisi rapuh dan aura dingin ini menjadikan interaksi mereka lebih natural, memberi depth kepada hubungan slow burn yang menjadi kekuatan utama drama.

Keserasian IU dan Byeon Woo Seok menjadi titik kekuatan utama, membuat penonton benar-benar merasakan perkembangan emosi watak utama. Momen-momen seperti usaha gigih Hui Ju untuk mendekati Ian terasa hidup dan bersahaja, bukan sekadar klise rom-com biasa. Ini mungkin kali kedua mereka digandingkan selepas Scarlet Heart sepuluh tahun lalu.

Watak sampingan juga menambah lapisan konflik dan warna naratif. Perdana Menteri Min Jeong Woo (Noh Sang Hyun) sebagai figura politik yang sukar dijangka, serta Permaisuri Balu (Gong Seung Yeon) dalam mengawal institusi diraja, memperkayakan cerita. Hubungan lama Jeong Woo dengan Hui Ju dan Ian dari Akademi Diraja menambah dinamika perasaan dan strategi tersembunyi. Pembantu Putera Ian, Choi Hyun (Yoo Su Bin), membawa elemen bromance yang ceria, manakala pembantu Hui Ju, Do Hye Jong (Lee Yeon), menambah womance, humor, serta menunjukkan kesetiaan dan keikhlasan sambil menjadi tempat curahan hati kedua-dua watak utama. Setiap watak terasa dicipta khas untuk pelakon masing-masing, menjadikan dunia Perfect Crown lebih hidup dan meyakinkan.

Dari sudut produksi, drama ini menyerlah dengan gabungan elemen tradisional dan moden yang kemas — daripada seni bina istana hinggalah kepada kostum watak. Permaisuri memakai hanbok tradisional penuh simbolik, Putera Ian memadukan unsur klasik dan moden menonjolkan konflik dirinya antara dua dunia, manakala Hui Ju tampil sepenuhnya moden, menekankan identitinya sebagai orang luar dalam dunia diraja. Sinematografi yang memukau dan elemen ‘addictive’ membuat setiap episod terasa seperti pengalaman wayang.

Walaupun sering dikaitkan dengan Princess Hours, Perfect Crown berdiri dengan identiti tersendiri. Persamaan konsep hanyalah pada permukaan; penceritaan, emosi, dan konflik jauh lebih moden dan kompleks serta mungkin diproduksi dirangkaian yang sama.

Penonton pasti tertanya-tanya cabaran yang menanti Hui Ju sebagai isteri Putera Ian, putera idaman ramai; reaksi Permaisuri Balu yang nampaknya sudah mempunyai calon untuk Ian (EP1); serta bagaimana Perdana Menteri melihat perkahwinan kontrak ini dan impaknya terhadap institusi diraja. Selain itu, apa yang bakal diperoleh Ian daripada perkahwinan ini juga menjadi tanda tanya. Segalanya bermula dengan satu perjanjian, tetapi tidak mustahil berakhir dengan perasaan tulus.

Kesimpulannya, Perfect Crown bukan sekadar kisah cinta, tetapi tentang kuasa, status, dan identiti. Dengan permulaan yang kuat dan pelaksanaan meyakinkan, drama ini berpotensi menjadi antara naskhah paling hangat. Jangan lupa saksikan di Disney+ mulai 10 April.