“Moving” Musim 2 Mula Produksi, Ryu Seung Ryong, Han Hyo Joo, Zo In Sung & Go Youn Jung Sah Kembali

Ryu Seung Ryong, Han Hyo Joo, Zo In Sung dan Go Youn Jung Kembali; Pengarah Kim Seong Hun & Penulis Kangfull Turut Disahkan

Disney+ hari ini mengumumkan bahawa produksi untuk “Moving” Musim 2 telah bermula secara rasmi, sekali gus menggembirakan peminat di seluruh dunia. Pelakon utama seperti Ryu Seung Ryong, Han Hyo Joo, Zo In Sung dan Go Youn Jung disahkan kembali untuk musim kedua siri popular tersebut.

Musim baharu ini akan menyambung kisah selepas Insiden Sekolah Tinggi Jeongwon, apabila para watak cuba kembali menjalani kehidupan normal. Namun, ancaman lama dan baharu mula muncul dan sekali lagi membahayakan orang tersayang mereka.

Barisan pelakon musim pertama turut kembali termasuk Ryu Seung Bum sebagai pembunuh upahan Frank, selain Kim Do Hoon dan Shim Dal Gi. Pelakon baharu Won Gyu Bin juga diumumkan akan membawa watak Kim Bong Seok.

“Moving” Musim 2 turut meneruskan dunia penceritaan karya Kangfull yang bermula menerusi musim pertama “Moving” dan kemudian diperluaskan melalui Light Shop. Musim kedua ini bakal diarahkan oleh pengarah Kingdom, Kim Seong Hun, bersama penulis asal Kangfull.

Menurut Kangfull, pencipta webtoon asal dan penulis untuk kedua-dua musim:

“Musim pertama ‘Moving’ bertujuan memperkenalkan standard baharu untuk kisah adiwira Korea. Untuk musim kedua, saya mahu membawa siri ini ke tahap yang lebih tinggi.”

Bersempena pengumuman tersebut, Disney+ turut melancarkan video teaser khas yang memaparkan suasana di sebalik tabir sesi pembacaan skrip pertama serta ucapan daripada para pelakon musim kedua.

Naib Presiden Eksekutif Strategi Kandungan Original APAC The Walt Disney Company, Carol Choi berkata:

“‘Moving’ membuktikan bahawa penceritaan Korea berkualiti tinggi yang dipenuhi emosi dan skala sinematik mampu menyentuh penonton di seluruh dunia.”

Sejak ditayangkan pada Ogos 2023, Moving menjadi siri original Korea paling banyak ditonton di Disney+ pada tahun tersebut. Drama ini turut menerima pelbagai anugerah termasuk di Asia Content Awards & Global OTT Awards serta Daejong International Film Awards.

Musim pertama mengisahkan sekumpulan ejen khas Korea Selatan yang cuba melindungi anak-anak mereka yang memiliki kuasa luar biasa daripada dieksploitasi pihak tertentu. Namun apabila pembunuh misteri mula memburu individu berkuasa istimewa, mereka terpaksa kembali menjadi “raksasa” yang pernah mereka tinggalkan.

Peminat kini boleh menonton musim pertama “Moving” serta “Light Shop” di Disney+ Hotstar Malaysia sementara menantikan maklumat lanjut mengenai musim kedua. Sebelum itu, jom saksikan video teaser khas sesi pembacaan skrip.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Disney+ MY (@disneyplusmy)