Persaraan Mengejut Pelakon Jang Dong Ju Cetus Kontroversi, Agensi Tampil Bersuara

Kontroversi melibatkan pelakon Jang Dong Ju terus menjadi perhatian selepas keputusan mengejutnya untuk bersara disusuli pendedahan hutang besar, kenyataan balas daripada agensi serta perubahan pada profil portal yang mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat.

Pada 15 Mei, Jang Dong Ju mengumumkan persaraannya daripada dunia lakonan menerusi media sosial peribadi dengan menulis, “Mulai hari ini, saya akan menamatkan kehidupan saya sebagai pelakon Jang Dong Ju.”

Pengumuman itu hadir tidak lama selepas beliau mendedahkan dirinya menjadi mangsa penggodaman telefon bimbit dan menanggung hutang mencecah berbilion won.

Menerusi siaran langsung selepas itu, Jang Dong Ju menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat kerana tidak mahu memberi kesan kepada pelakon dan staf lain.

“Jika ada peluang suatu hari nanti, mungkin saya akan kembali. Tetapi buat masa ini, saya rasa memberi fokus kepada melangsaikan hutang adalah jalan yang betul,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa lebih 3 bilion won hutang berjaya dijelaskan dengan bantuan individu terdekat, namun masih mempunyai baki sekitar 700 hingga 800 juta won. Jang Dong Ju juga menegaskan beliau tidak bercadang menggunakan bantuan undang-undang seperti muflis atau program pemulihan kewangan.

Tahun lalu, Jang Dong Ju pernah mencetuskan kebimbangan selepas meninggalkan kenyataan maaf ringkas sebelum memutuskan hubungan dengan orang sekeliling. Pada Januari lalu pula, beliau mendedahkan bahawa dirinya menerima ugutan daripada penggodam serta mengalami kerugian kewangan mencecah puluhan bilion won.

Namun pada 17 Mei, agensinya Management W tampil mengeluarkan kenyataan rasmi menjelaskan bahawa keputusan persaraan itu dibuat secara unilateral tanpa sebarang perbincangan terlebih dahulu dengan syarikat.

Menurut pihak agensi, mereka hanya mengetahui perkara tersebut selepas pengumuman dibuat kepada umum.

Management W turut menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan melanggar kepercayaan serta komitmen seorang pelakon yang masih terikat kontrak. Mereka juga memaklumkan bahawa hubungan kepercayaan antara kedua-dua pihak kini dianggap sukar dipulihkan dan sedang mempertimbangkan status kontrak eksklusif pelakon tersebut.

Dalam masa sama, netizen turut menyedari perubahan pada profil Jang Dong Ju di beberapa portal carian, termasuk maklumat pekerjaan yang dilihat berbeza daripada profil lamanya sebagai pelakon.

Walaupun belum dipastikan sama ada perubahan tersebut berpunca daripada ralat sistem atau kemas kini sebenar, situasi itu menambahkan lagi kekeliruan dan spekulasi dalam kalangan peminat.

Setakat ini, beberapa dakwaan berkaitan kewangan dan privasi yang timbul di media sosial masih belum disahkan secara rasmi oleh Jang Dong Ju mahupun pihak berkuasa.

Dilahirkan pada tahun 1994, Jang Dong Ju memulakan kerjaya lakonan menerusi drama “School 2017” dan terbaru muncul dalam drama “No Tail to Tell”.

Terdahulu pada 1 Mei, beliau turut mengumumkan penyertaannya dalam filem baharu OUR NEXT, namun dua minggu kemudian beliau sekali lagi menjadi perhatian apabila tiba-tiba mengumumkan persaraan daripada industri hiburan.

Sumber : 1 | 2 | 3