Kim Jong Kook Tamatkan Zaman Bujang! Bakal Berkahwin September Ini

Akhirnya rasmi—Kim Jong Kook bakal menamatkan zaman bujangnya! Penyanyi Kim Jong Kook akhirnya temui cinta sejati. Selepas sekian lama menghiburkan penonton dengan ‘love line’ dalam pelbagai rancangan TV, kini beliau bakal membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila benar-benar bertemu pasangan yang serasi.

Pada 18 Ogos, Kim Jong Kook mengumumkan berita gembira mengenai perkahwinannya yang akan diadakan secara tertutup bersama keluarga terdekat dan rakan-rakan di Seoul.

Sumber dari agensinya, TURBO.JK COMPANY berkongsi, “Lebih bermakna untuk memulakan langkah baharu ini pada tahun istimewa ulang tahun ke-30 debutnya.” Mereka menambah, “Alangkah baiknya jika ramai yang dapat memberi sokongan hangat dan ucapan tahniah.”

Kim Jong Kook turut memuat naik sepucuk surat tulisan tangan untuk mengumumkan berita ini:

Halo, saya Kim Jong Kook.

Walaupun saya sudah lama mempersiapkan hati bahawa akan tiba satu hari di mana saya sendiri akan menulis surat ini, hakikatnya saya rasa lebih gementar daripada yang saya bayangkan ketika menulis sekarang.

Saya menulis surat ini terlebih dahulu untuk memaklumkan kepada peminat yang sentiasa percaya dan menyokong saya, yang sudah lama berada di sisi “Kim Jong Kook sebagai seorang insan.”

Saya akan berkahwin.

Sejujurnya, saya ada cuba berikan sedikit petunjuk di sana sini… tapi saya pasti ramai juga yang rasa pengumuman ini agak mengejutkan.

Ini adalah ulang tahun ke-30 debut saya, dan bukannya menghasilkan album yang saya inginkan, saya bertemu “separuh jiwa” saya sebaliknya… Jadi, harap anda semua dapat mengucapkan tahniah dan memberi sokongan kepada saya.

Memang agak lewat, tapi saya lega kerana dapat melangkah ke fasa ini… betul, kan?

Saya akan berusaha untuk hidup dengan baik.

Majlis perkahwinan akan berlangsung tidak lama lagi dalam skala yang sederhana, hanya bersama keluarga, rakan karib, dan beberapa kenalan.

Berkat sokongan para peminat yang menjadi kekuatan terbesar saya sekian lama, saya kini melangkah ke fasa baharu dalam hidup dengan mendirikan rumah tangga.

Saya berjanji akan terus bekerja keras dan hidup dengan penuh dedikasi sebagai Kim Jong Kook.

Tahniah diucapkan buat Kim Jong Kook! 🎉