Drama IU dan Byeon Woo Seok Umum Barisan Pelakon dan Rancangan Siaran

Sah! Drama terbaru lakonan IU dan Byeon Woo Seok berjudul Wife of a 21st Century Prince (tajuk sementara) akan menemui penonton pada tahun 2026!

Pada 21 April, pihak produksi mengesahkan bahawa drama ini akan disiarkan menerusi slot Jumaat-Sabtu di saluran MBC pada tahun 2026. Barisan pelakon utama turut diumumkan, iaitu IU, Byeon Woo Seok, Noh Sang Hyun dan Gong Seung Yeon.

Wife of a 21st Century Prince merupakan drama romantik berlatarbelakangkan Korea versi alternatif yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja berperlembagaan. Cerita ini mengisahkan percintaan antara Sung Hee Joo (lakonan IU), seorang pewaris keluarga kaya yang memiliki segalanya kecuali status bangsawan, dan Lee Wan (lakonan Byeon Woo Seok), seorang putera raja yang tidak memiliki apa-apa walaupun merupakan anak raja.

IU akan membawakan watak Sung Hee Joo, anak kedua kepada keluarga pemilik konglomerat terbesar di Korea. Dia dilahirkan dengan rupa paras menarik, bijak dan sangat berdaya saing. Namun, statusnya sebagai orang biasa menjadi penghalang dalam kehidupannya yang serba sempurna. Demi mendapatkan status bangsawan yang diimpikannya, dia terlibat dalam perkahwinan kontrak dengan Putera Lee Wan.

Byeon Woo Seok pula akan melakonkan watak Lee Wan, seorang putera yang hidup dalam kesepian dan hanya mempunyai gelaran diraja sebagai kebanggaan. Selama ini dia menyembunyikan diri daripada dunia luar, tetapi segalanya mula berubah selepas dia bertemu dengan Sung Hee Joo.

Noh Sang Hyun akan memainkan watak Min Jung Woo, seorang perdana menteri muda yang berasal dari keluarga politik terkenal dan juga sahabat baik Lee Wan. Mengikuti jejak datuk dan ayahnya, dia berjaya menjadi perdana menteri. Dengan latar belakang yang kukuh, kepintaran, dan rupa yang menawan, dia dianggap lelaki idaman ramai. Dia juga merupakan rakan zaman kanak-kanak kepada Lee Wan dan senior kepada Hee Joo di akademi diraja, dan emosinya mula terganggu selepas mengetahui tentang perkahwinan kontrak antara putera dan Hee Joo.

Gong Seung Yeon pula membawakan watak Yoon Yi Rang, seorang wanita yang dilahirkan dengan ‘takdir untuk menjadi ratu’. Berasal daripada keluarga yang telah melahirkan empat orang ratu sebelum ini, dia yakin bahawa dirinya memang ditakdirkan untuk memegang gelaran itu. Demi mempertahankan kedudukannya, dia sanggup melakukan apa sahaja walau dalam apa jua keadaan.

Drama ini akan diarahkan oleh Park Joon Hwa, pengarah berbakat di sebalik beberapa karya popular seperti Rude Miss Young Ae, Let’s Eat 1 & 2, What’s Wrong With Secretary Kim, Alchemy of Souls dan banyak lagi.

Sumber : 1