Ulasan Episode 1 & 2 ‘Gangnam B-Side’: Thriller Gelap yang Membongkar Sisi Gelap Gangnam

Gangnam B-Side adalah sebuah drama jenayah yang mengangkat sisi gelap kawasan Gangnam di Seoul, yang biasanya dikenali dengan kemewahannya. Drama terbaru dari Disney+ Hotstar ini membawa penonton ke daerah yang glamor namun berbahaya, di mana jenayah, kekerasan jenayah terancang, dan rasuah dah menjadi perkara biasa. Ia mengisahkan Jae Hui, seorang pekerja seks yang terjebak dalam permainan pertaruhan nyawa, dan Yun Gil Ho, bapa ayamnya yang penuh kontroversi tetapi setia. Walaupun siri ini menawarkan suasana thriller gelap moden yang penuh dengan misteri, ia kadang-kadang terkeliru dengan tujuannya, meninggalkan penonton dengan perasaan bercampur baur.

Sinopsis Plot

Gangnam B-Side berfokus kepada Jae Hee (lakonan BIBI), seorang pekerja seks yang secara tidak sengaja terjumpa maklumat berbahaya dalam telefon seorang lelaki, yang mengandungi bukti tentang aktiviti jenayah. Akibatnya, dia menjadi sasaran geng jenayah dan pegawai yang korup. Gil Ho (Ji Chang Wook), bapa ayam atau broker gadis-gadis kelab berusaha mencari Jae Hui. Selepas salah seorang gadisnya dibunuh oleh kumpulan tersebut, Gil Ho memulakan misi untuk membalas dendam. Dalam situasi yang tegang ini, Detektif Kang Dong Woo turut terlibat, menjalin satu pakatan tak dijangka untuk menuntut keadilan dan menyelamatkan nyawa. Apabila Jae Hui melarikan diri, dia terus dikejar oleh geng-geng jenayah dan majikannya, Gil Ho, membuka jalan untuk permainan kucing dan tikus yang berbahaya

Ulasan Episod 1 & 2

Kang Dong Woo (Jo Woo Jin) adalah detektif polis utama di Daerah Gangnam yang sering melakukan serbuan tanpa kebenaran ketua polisnya. Dalam satu serbuan, dia menangkap seorang penyeludup dadah terkenal yang melibatkan ramai pegawai polis, termasuk ketuanya. Bukannya membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja, dia menahan pegawai-pegawai tersebut dan kemudian dipindahkan ke daerah luar bandar.

Tiga tahun kemudian, kehidupan di Gangnam kembali terdedah dengan kejadian yang lebih serius apabila Kim Jae Hee (BiBi), seorang gadis kelab, bangun dalam keadaan mabuk dan menyedari dia dalam bahaya kerana memiliki video yang sangat membahayakan. Dia melarikan diri dari kelab dan cuba mengelak samseng yang dihantar oleh bos kelab. Sementara itu, Yoon Gil Ho (Ji Chang Wook), seorang ‘broker’ gadis kelab  yang bersikap melindungi pekerjanya, mula mencari Jae Hee dan rakannya yang hilang, serta membalas dendam terhadap mereka yang menzalimi gadis-gadis kelabnya.

Kisah ini bertambah rumit apabila Dong Woo dipujuk oleh ketua polis untuk kembali ke Gangnam dan menyiasat kes gadis kelab yang hilang, di mana anak perempuannya, Kang Ye Seo (Oh Ye Ju), yang kesihatan mentalnya terganggu akibat dibuli oleh gadis kelab, turut terlibat. Walaupun pernah bertemu dengan Jae Hee setahun sebelumnya dan Gil Ho tiga tahun lalu, kedua-duanya yang nampaknya berada di pihak yang bertentangan, kini terpaksa bekerjasama untuk memastikan keselamatan gadis-gadis ini, termasuk Jae Hee yang kini berdepan dengan ancaman yang lebih besar.

Episod pembukaan memperkenalkan Detektif Kang Dong Woo, seorang yang berpegang teguh pada prinsip keadilan, hingga kadang kala membuat dirinya tersisih dari rakan sekerja. Sementara itu, kesetiaan Gil Ho yang teguh serta sikapnya yang kasar menjadikan wataknya menarik sebagai “anti-hero.” Ini mengingatkan penulis kepada drama Disney+ Hotstar Vigilante yang mempunyai sedikit persamaan. Penceritaan bermula dengan penuh aksi, namun beberapa adegan terasa agak mudah dijangka dan terlalu dramatik. Gambaran suasana malam di Gangnam yang penuh tipu daya menambahkan daya tarikan, meskipun kompleksiti plotnya kadang kala membuat cerita ini agak sukar untuk diikuti.

Persembahan Lakonan

Lakonan Ji Chang Wook sebagai Gil Ho mempamerkan gabungan tarikan dan keberanian yang unik, menambah kedalaman pada watak yang keras namun tetap mengambil berat tentang “anak-anak” di bawah jagaannya. Pendek kata, Gil Ho sebenarnya membawakan dua karakter yang berbeza — serius dalam menjalankan sindiket perdagangan seks, tetapi pada masa yang sama bersifat sebagai pelindung kepada “anak-anaknya” dalam segala aspek. Jo Woo Jin sebagai Detektif Kang Dong Woo berjaya membawakan watak yang kelihatan keras tetapi penuh emosi, membuatkan penonton mudah menyukainya. Watak pendakwa raya Min Seo Jin, lakonan Ha Yoon Kyung, walaupun muncul sekejap sahaja, memberi bayangan subplot yang menarik dan berpotensi menambah kepelbagaian pada cerita ini.

Pandangan Penulis Sebagai Penonton

Gangnam B-Side menonjolkan lakonan yang hebat dan suasana yang sangat realistik, namun kadang-kadang ia cuba menyatukan terlalu banyak plot sehingga cerita jadi agak rumit dan mengelirukan. Cerita yang beralih dari satu perspektif ke perspektif lain – dari geng dan pengedar dadah ke pihak polis dan pendakwa – kadang kala membuatkan ia terasa berlebihan dan menyukarkan penonton untuk fokus pada tema utama. Walaupun gaya penceritaan yang kompleks ini boleh dipuji, ada beberapa tema yang seolah-olah kurang dibangunkan, seperti isu keadilan dan moral dalam dunia gelap Gangnam.

Kesimpulan

Walaupun Gangnam B-Side mempunyai kualiti produksi yang bagus dan barisan pelakon yang hebat, cerita dalam siri ini agak kelam-kabut dan tema moralnya terasa agak mudah. Bagi peminat drama jenayah yang penuh ketegangan, siri ini tetap menarik untuk ditonton, dengan banyak ruang untuk berkembang dan diperbaiki seiring jalan ceritanya. Jangan lupa untuk strim siri ini setiap Rabu dan Khamis di Disney+ Hotstar.