Annyeong Yorobun, Chinguyaa,
June is coming! Tak lama lagi Syawal bakal menjelma. Macam mana persiapan raya korang? Harap semuanya dah ready dan korang mesti tak sabar nak beraya kan!
Seperti biasa, ini dia senarai drama baru Korea yang akan bersiaran sepanjang bulan Jun ini yang mana bakal menjadi drama pilihan hati korang. Selamat menonton, semua!
1. Asadal Chronicles (tvN) / Netflix
“Asadal Chronicles” ini ditulis bersama oleh Kim Young Hyun dan Park Sang Yeon yang sebelum ini pernah menghasilkan naskhah “The Great Queen Seon Deok,” “Tree with Deep Roots” dan “Six Flying Dragons”. Drama ini diarahkan oleh pengarah (PD) Kim Won Suk, yang pernah mengarahkan “Incomplete Life (Misaeng),” “Signal,” dan “My Ahjussi.” Drama ini dianggarkan menelan bajet produksi sebanyak 400 billion won (RM1.45 billion).
“Asadal Chronicles” adalah sebuah drama fantasi peredaran masa yang berkisarkan tentang kuasa, cinta, dan pembangunan yang berlaku di bandar Asadal, yang dikatakan sebagai ibu kota di zaman Gojoseon. Ia menceritakan, bagaimana pejuang di tanah Arth berjuang untuk melindungi suku kaum masing-masing. “Asadal Chronicles” akan disiarkan dalam tiga siri yang setiapnya mengandungi enam episode. Bahagian pertama dan kedua dinamakan “The Children of Prophecy” dan “The Sky Turning Inside Out, Rising Land,” yang mana akan bersiaran secara menerus sepanjang bulan Jun sehingga Julai. Bahagian ketiga “Arth: The Prelude to All Legends” akan disiarkan di sebelum berakhirnya tahun 2019. Dua bahagian pertama bertujuan untuk membina minat penonton dalam siri ini dengan memperkenalkan watak-watak. Manakala bahagian ketiga dan terakhir akan memberi tumpuan kepada titik perubahan kepada watak-watak utama.
Song Joong-ki sebagai Eunseom, satu watak yang gigih berlawan untuk melindungi puaknya sendiri. Dia mungkin kelihatan baik, tetapi tidak teragak-agak bertukar menjadi agresif ketika beliau cuba untuk melindungi sukunya dari musuh asing. Sementara itu, Jang Dong-gun pula memainkan watak Tagon, anak pemimpin dari Suku Saenyeok. Walaupun sangat berkarisma dan berbakat, Tagon sangat berbahaya kerana dia sebenarnya ingin menjadi raja pertama di Asadal dengan apa cara sekalipun.
Kim Ji-won dan Kim Ok-bin masing-masing membawakan watak sebagai Tanya dan Taealha. Tanya adalah tunjang utama puak Wahan yang menyedari takdirnya untuk menjadi seorang pemimpin dan melindungi dirinya sendiri. Manakala Taealha digambarkan sebagai wanita paling cantik di Arthdal dan seseorang yang mempunyai keinginan kuat untuk berkuasa.
Drama ini akan bersiaran menerusi capaian Netflix mulai 1 Jun setiap Sabtu dan Ahad pada jam 21.00 KST. Penonton di Asia boleh menonton drama ini selepas satu jam tayangannya di Korea. Antara pelakon yang membintangi drama ini adalah Song Joong Ki, Jang Dong Gun, Kim Ji Won, Kim Ok Bin, Kim Eui-sung, Jo Sung-ha, Choo Ja-hyun, Lee Do-kyung, Park Hae-joon, Park Byung-eun, Shin Joo-hwan, dan Yoo Tae-oh.
2. Perfume (KBS)
Drama yang agak bergenre fantasi ini berkisarkan tentang sebuah pewangi ajaib yang boleh mengembalikan keremajaan kepada pemakainya. Shin Sung Rok akan menjadi pereka fesyen bernama Seo Yi Do, yang sangat hebat dan teragung di kalangan penggerak dunia fesyen tapi mempunyai personaliti yang agak buruk di mata orang. Beliau dikatakan mengalami 35 alahan, dan juga memiliki 52 fobia yang tak boleh dielakkan. Akibatnya, beliau tak berani berhadapan dengan wanita yang boleh dianggap sebagai teman wanitanya.
Go Won Hee pula akan menjadi suri hati Shin Sung Rok di dalam drama ini, menjadi model sambilan bernama Min Jae Hee yang direkruit secara tak sengaja oleh Seo Yi Do sewaktu dia menyertai ‘catwalk’ di dalam program fesyen dianjurkan oleh syarikatnya. Watak Min Jae Hee ini asalnya merupakan seorang suri rumah yang telah menyerahkan hidupnya pada keluarganya sebelum dia menyesal dan menggunakan pewangi ajaib itu untuk tujuan tersebut. Seo Yi Do akan cuba memikat hati Min Jae Hee yang menjadi cantik tiba-tiba walaupun terpaksa menyembunyikan permasalahan yang dihadapinya.
Kim Min Kyu membawakan watak Yoon Min Suk, seorang idol bergelar penyanyi hebat di zamannya kerana memiliki pakej visual mengagumkan dan suara yang gemersik. Yoo Min Suk akan menjadi orang ketiga yang akan menjauhkan hubungan antara Seo Yi Do dan Min Jae Hee. Cha Ye Ryun pula akan memegang watak HanJina, seorang bekas model merangkap sebagai pengarah agensi model bakat di West Island. Lengkap dengan gaya sebagai wanita berkerjaya moden dan professional, Han Ji Na dikatakan antara orang bertanggungjawab menentukan kelangsungan Min Jae Hee di dalam industri permodelan.
KBS ‘Perfume’ yang mendapat sutradara Kim Sang Hwi (“KBS Mysterious Personal Shopper”) dan penulis skrip Choi Hyun. Drama ini akan bersiaran di KBS World Tv Ch 391 dan Ch 392 HD mulai 4 Jun ini pada jam 9 malam. ‘Perfume’ akan mengisi slot drama Selasa dam Rabu anda.
3. Investigation Couple 2 / Partners For Justice 2 (MBC)
“Investigation Couple 2” atau “Partners For Justice 2” adalah sekuel dari siri pertama yang ditayangkan sekitar Mei 2018. Musim pertama siri drama ini menceritakan kisah seorang doktor forensik, Baek Beom (Jung Jae-young) yang bekerja untuk Perkhidmatan Forensik Kebangsaan dan pendakwaraya rookie Eun Sol yang dibawakan oleh Jung Yoo-mi. Baek Beom mempunyai pengalaman luas dalam bidang forensik dan terkenal sebagai jenius eksentrik manakala Eun Sol pula punya ingatan yang luar biasa berkaitan fotografi. Keduanya bekerjasama untuk menyelesaikan kes-kes yang berlaku.
Musim kedua siri ini masih lagi menunjukkan kerjasama keduanya menyiasat kes-kes yang berlaku. Namun kali ini, mereka berjuang untuk mendedahkan kebenaran disebalik insiden ‘Oh Man-sang’ yang akan menjadi penghabisan siri pertama. Masih mengekalkan dua tunggak utama yang sama, Jae-young dan Jung Yoo-mi akan kembali memainkan peranan mereka.
“Partners For Justice 2” menampilkan No Min Woo yang memegang watak sebagai Dr Jang Chul, pakar perubatan kecemasan. Wataknya digambarkan sebagai lelaki dingin dan merupakan orang penting yang mengetahui beberapa kebenaran yang tidak didedahkan. Sementara itu, pelakon baru Kang Seung-hyun pula sebagai Sally Kim, seorang penyelidik yang menawan di jabatan perubatan.
“Partners For Justice 2” akan ditulis oleh Min Ji-eun dan diarahkan oleh No Do-cheol yang juga bekerja bersama-sama untuk musim pertama. Drama ini akan bersiaran dirangkaian MBC mulai 3 Jun ini. dalam musim 1. “Partners for Justice 2” juga akan disiarkan menerusi Oh!K Ch 394 untuk mengisi slot drama Selasa dan Rabu, jam 7.50 malam bagi menggantikan drama “Special Labor Inspector” mulai 4 Jun.
4. Search : WWW (tvN) / tvN Asia
Drama terbaru tvN “Search : WWW” ini dibintangi oleh Sunshine Boy Jang Gi-yong , Sweetheart Im Soo-jung , Lee Da-heedan Jeon Hae-jin. Ini merupakan drama ekpress terbaru tontonan ramai yang bakal bersiaran di tvN Asia bagi mengisi slot drama Khamis dan Jumaat. Selain Malaysia, drama ini boleh ditonton di Singapura serta Indonesia dalam masa 24 jam selepas tayangan di Korea.
“Search : WWW” bertemakan fantasi romantis mengisahkan kehidupan tiga wanita kerjaya yang sentiasa bercita-cita tinggi. Mereka bekerja di bahagian pengurusan tertinggi di laman portal terkemuka dalam industri IT. Kesemuanya berperang dengan kemenangan dan kekalahan dalam dunia pekerjaan untuk menuju kejayaan yang ingin digapai. Dalam mengharungi jalan itu, siapa sangka cinta hadir dalam hidup mereka. Drama ini menggambarkan kisah cinta moden dengan cara yang lebih realistik, dan pastinya akan menambat hati penonton.
Drama bakal memaparkan kehidupan tiga wanita Korea yang hidup di dunia moden. Tiga wanita besi atau ‘iron ladies’ ini adalah Bae Ta-mi (Im Soo-jung), Cha Hyun (Lee Da-hee) dan Song Ka-kyung (Jeong Hae-jin). Disebabkan gaya hidup mereka yang sentiasa memikirkan kerjaya, mereka masih lagi bersendirian tanpa teman. Kenapa? cukup mudah, kerana mereka tidak mempercayai cinta dan menganggap bercinta itu satu aktiviti yang membuang masa. Bagi mereka, dengan memberikan tumpuan penuh terhadap dunia kerja, mereka berjaya bangkit ke puncak kerjaya dan cemerlang dalam sektor teknologi.
Kadang kala, kita merasakan kita tidak memerlukan cinta. Namun tahukah korang, cinta itu akan datang biarpun tanpa kita cari? Kerana cinta itu tahu jalan menuju ke hati korang tanpa bantuan waze waima sesiapun. Cinta tidak pernah salah alamat. ( Ha.. gittew, cia cia cia). Dalam “Searching : WWW” , seorang komposer berbakat Park Mo-geon (Jang Gi-yong), percaya cinta itu menakjubkan dan sesuatu yang hebat. Lantas hatinya terpaut kepada salah seorang daripada tiga wanita besi itu, iaitu Bae Ta-mi. Mampukah cinta Park Mo Geon mengubah persepsi dan membuka hati Bae Ta Mi untuk mempercayai cinta? Jangan lupa saksikan kisah penuh drama ini.
Drama ini akan mula bersiaran bermula 6 Jun depan pada jam 9.45 malam di saluran tvN Asia Ch 395 dan Unifi TV Ch 211 bagi mengisi slot drama Khamis dan Jumaat anda.
5. The President’s Aide / Aide (JTBC)
‘The President’s Aide’ atau ‘Aide’ menceritakan kisah para penyokong dan penasihat politik yang merupakan kuasa besar disebalik perjalanan sesebuah parti politik, Ia juga akan menceritakan kisah ahli politik yang memerintah serta mengawal dunia sedangkan disebaliknya mereka terlibat dengan perjudian berbahaya dalam dunia politik bagi mereka yang menceburi bidang tersebut.
Drama ini merupakan kisah hidup penasihat politik yang paling teratas, Jung Tae Joon, lakonan Lee Jung Jae, yang sentiasa memburu untuk mendapatkan kuasa yang lebih besar dan berpengaruh. Shin Min Ah akan memegang watak sebagai Kang Sun Young, seorang ahli parlimen yang cuba untuk memcahkan tradisi sedia ada. Beliau merupakan seorang peguan yang berbakat dan pernah mengelolakan program TV berkaitan isu semasa dan kini beliau dipilih sebagai sebagai ‘YB’ baru oleh parti politik yang disertainya. Ini merupakan kemunculan semula Shin Min Ah selepas drama ‘Tomorrow With You’ untuk siaran tvN pada 2017.
Lee Elijah pula akan membawakan watak Yoon Hye Won, seorang setiausaha tahap 6 hasil usaha yang tiada henti, rajin, bersemangat sehingga berjaya mengecapi kedudukannya biarpun di usia muda. Hye Won memiliki instinct yang kuat dalam melakukan tugasannya samada ianya betul atau sebaliknya dan beliau menolak untuk mengambil jalan pintas. Hye Won bekerja dipejabat Parlimen bersama Jung Tae Joon penasihat tahap 4. Kim Dong Joon pula akan memegang watak Han Sung Kyung , seorang intern yang penuh semangat.
‘Aide’ ditulis oleh Lee Dae Il (OCN-Life on Mars) dan diarahkan oleh PD Kwang Jung Hwan (Miss Hammburabi) turut dibintangi oleh Jung Jin Young, Kim Kap Soo, Jung Woong In dan ramai lagi. Drama ini akan mengisi slot Jumaat-Sabtu dirangkaian JTBC mulai 14 Jun ini.
6. Joseon Survival (TV Chosun)
“Joseon Survival” adalah sebuah drama bertemakan fantasy, saeguk, “time travel” dan romantis. Ia mengisahkan tentang Han Jung Rok, seorang bekas pemanah kebangsaan dan seorang ‘deliveryman’ dari tahun 2019. Beliau telah mengembara ke zaman lampau yakni zaman Joseon dan bertemu Im Kkeok Jeong, seorang pencuri terkenal dari dinasti Joseon. Keduanya bekerjasama berjuang demi kelangsungan hidup, sanggup bergadai nyawa demi yang tercinta serta membina ikatan persahabatan sejati.
Kang Ji Jwan membawakan watak sebagai Han Jung Rok yang merupakan seorang bekas atlet memanah negara yang pernah mengimpikan untuk memenangi pingat Olimpik dan kini bekerja sebagai ‘deliveryman’ . Pada suatu hari, beliau bersama-sama kekasih hati dan adik perempuannya terjerumus ke zaman dinasti Joseon pada tahun 1529.
Bagi meneruskan hidup di zaman itu, Han Jung Rok bertemu dengan Im Kkeok Jeong lakonan Son Won Seok. Im Kkeok Jeong merupakan seorang tokoh sejati yang masih hidup pada tahun 1562. Beliau digambarkan seorang lelaki yang bijak, berwajah tampan dan juga seorang peniaga daging dari golongan rendah.
Kyung Soo Jin pula akan memegang watak sebagai anak chaebol merangkap doktor yang telah bekerja selama tiga tahun di unit kecemasan. Beliau adalah cinta pertama Han Jung Rok dan memiliki personaliti yang sungguh elegan.
Watak adik kepada Han Jung Rok akan dibawakan oleh Park Se Wan sebagai Han Seul Gi. Biarpun jarak usia mereka 15 tahun, Han Seul Gi dilihat lebih genius dari abangnya memandangkan beliau pernah memenangi anugerah penulisan peringkat kebangsaan dan tempat pertama akan dimainkan oleh Park Se Wan. Walaupun jurang usia 15 tahun antara Han Seul Gi dan Han Jung Rok, dia mudah mengatasi saudaranya. Beliau adalah seorang jenius yang memenangi anugerah bertulis kebangsaan dan memenangi tempat pertama dalam pertandingan matematik untuk tiga tahun berturut-turut.
TV Chosun ‘Joseon Survival’ diarahkan oleh sutradara Jang Yong Woo (“jtbc D-Day”,”MBC Hotelier”) dan Kim Sang Ji sebagai penulis skrip. Drama ini akan bersiaran dirangkaian TV Chosun mulai 8 Jun ini bagi mengisi slot drama hari Sabtu.
Vagabond (SBS) & (Netflix) – Sept 2019
“Vagabond” adalah sebuah drama yang bertemakan perisikan, mengisahkan tentang seorang lelaki yang hidup seperti biasa tetapi secara tidak semena-mena terjebak dalam kemalangan yang menyaksikan krisis rasuah sesebuah negara sehingga menyebabkan nyawanya terancam. Drama ini dilakonkan oleh Lee Seung Gi, Suzy, Shin Sung Rok, Moon Jeong Hee, Jeong Man Sik dan ramai lagi.
Lee Seung Gi akan memegang watak sebagai Cha Gun seorang stuntman. Cha Gun seorang yang sangat yakin diri, bermuka tembok dan mempunyai 18 tali pinggang hitam dalam pelbagai jenis seni mempertahankan diri. Selepas tertangkap dalam insiden kemalangan pesawat yang tidak terjangka itu, dia nekad mengharunginya untuk mencari kebenaran disebalik konspirasi mengenai kemalangan itu.
Suzy pula akan memegang peranan sebagai ejen Perisikan Kebangsaan, Go Hae Ri. Beliau memutuskan untuk menjadi pegawai awam tahap 7 selepas kematian bapanya untuk menyara ibu dan adik lelaki yang tidak mengetahui betapa kejamnya dunia ini. Walaupun Go Hae Ri ingin bekerja sebagai white agent (seseorang yang bekerja secara terbuka sebagai ejen NIS), akhirnya beliau menjadi salah seorang black agent (di mana dalam NIS mereka akan berada dalam bahagian pengintipan dan identiti mereka perlu dirahsiakan) melalui satu siri konspirasi.
Shin Sung Rok akan menjadi pengarah NIS (agen perisikan negara) bernama Kim Tae Woong yang akan menampilkanCha Gun sebagai salah seorang agen tersebut. Ditulis oleh Jang Young Cheol (“MBC Empress Ki”, “SBS History of Salaryman”) iaitu penulis skrip yang pernah berkolaborasi dengan pengarah Yu In Sik sebelum ini.
“Vagabond” menelan belanja sebanyak 20 billion won (lebih kurang RM 72 juta) yang diarahkan oleh pemenang Best Director Paeksang Art Awards 2017, Yu In Sik dan ditulis oleh Jang Young Cheol (“MBC Empress Ki”, “SBS History of Salaryman”). Yu In Sik telah diakui sebagai pengarah yang mahir dalam aksi ‘suspens’ dan mendebarkan seperti beliau lakukan di dalam drama perubatan, SBS Romantic Doctors Teacher Kim dan drama aksi kepolisan, SBS Mrs. Cop.
Drama ini bagaimanapun telah diperam agak lama dan terbaru apabila ia melibatkan penyiaran drama ini antara SBS dan Netflix.
“Vagabond” boleh ditonton menerusi rangkaian SBS dan Netflix sekitar bulan September depan. Maklumat lanjut akan dikongsi dari masa ke semasa.
RALAT
Drama “Vagabond” tidak akan disiarkan pada 1 Jun 2019 di Netflix seperti yang dikongsikan sebelum ini namun akan ditayangkan Sekitar September depan. Penulis mohon maaf di atas kekhilafan ini.
Happy watching guys and have a great yet wonderful Syawal!