Kuala Lumpur, 12 April 2025 – Suasana di Zepp, Kuala Lumpur bertukar menjadi lautan biru mutiara apabila ribuan peminat setia membanjiri dewan untuk menyaksikan konsert solo pertama Yesung di Malaysia, 2025 YESUNG CONCERT [It’s Complicated]. Vokalis utama kumpulan legenda K-pop Super Junior itu membuktikan bahawa kehadirannya di pentas bukan sekadar persembahan biasa, tetapi sebuah pengalaman yang penuh emosi, karisma, dan kehangatan bersama peminat yang sudah menanti bertahun-tahun lamanya. Konsert ini dianjurkan oleh iMe Malaysia, salah satu penganjur acara hiburan terkemuka di Asia Tenggara,
Konsert dimulakan dengan tiga lagu pembuka iaitu “Small Things”, diikuti “Between” dan “Like Us (Sensory Flows)”, Yesung benar-benar membuat penonton hanyut dalam keindahan suaranya. Tidak kurang juga, momen-momen mesra bersama peminat menambah lagi kemanisan malam tersebut. Yesung turut menyatakan bahawa beliau sangat merindui Kuala Lumpur, dan gembira akhirnya dapat kembali semula untuk bertemu peminat secara lebih dekat. Katanya, lapan bulan lalu beliau pernah melawat Malaysia bersama Super Junior, namun kali ini lebih istimewa kerana dapat berdiri sendiri sebagai artis solo di hadapan peminat Malaysia.Yesung juga sempat berkongsi perasaannya ketika melihat peminat di zon berdiri (standing area). Beliau berkata bahawa dirinya berasa sangat dekat dengan mereka, sehingga boleh melihat wajah peminat satu persatu secara face to face, sesuatu yang membuatkan pengalaman malam itu lebih bermakna dan peribadi baginya.
Nyanyian diteruskan dengan “Scented Things” dan “A Letter in The Wind”, dua lagu balada yang menyentuh hati dan mengekalkan suasana emosional dalam dewan. Selepas itu, Yesung menyanyikan lagu “Like Us”, sebelum menghidupkan suasana dengan “Beautiful Night” dan lagu penuh warna, “Pink Magic”. Persembahan diteruskan dengan lagu balada popular “Paper Umbrella”, diikuti “It Has To Be You” yang sentiasa dinanti peminat, dan lagu ceria “Eat’s OK” yang menambahkan variasi dalam persembahan malam itu.
Dengan tampil berbaju putih, Yesung meneruskan persembahan dengan rangkaian lagu penuh emosi seperti “My Dear”, “4 Seasons”, “There She Goes Again”, “Curtain”, dan “Floral Sense”. Suasana menjadi lebih intim apabila beliau menyampaikan “Parallel Lines”, “Beautiful Paradox”, dan “Fly”, sebelum melanjutkan dengan lagu “Easy”.
Dalam momen penuh mesra, Yesung sempat mengajak peminat menyanyi bersama, mencipta detik hangat yang menghubungkan dirinya dan ELF Malaysia secara lebih dekat. Lagu “Bear Hug” dan “It’s Complicated” kemudian menyusul, sebagai antara kemuncak emosi malam tersebut. Namun persembahan belum berakhir di situ, kerana peminat sudah menjangkakan encore yang bakal menyusul.
Walaupun persembahan utama telah tamat, laungan “encore! encore!” bergema kuat di seluruh dewan, memanggil Yesung untuk kembali ke pentas. Tidak menghampakan, beliau muncul semula dengan senyuman dan melanjutkan persembahan dengan dua lagu encore yang indah “Silhouette” dan “Slide Away”.
Kedua-dua lagu ini menjadi penutup sempurna untuk malam yang penuh emosi dan cinta, menyaksikan Yesung memberikan segala-galanya buat peminat Malaysia. Sorakan, nyanyian bersama dan lambaian terakhir menjadikan malam itu sebuah memori yang sukar dilupakan oleh setiap yang hadir.
Terima kasih kepada iMe Malaysia yang telah merealisasikan impian peminatYesung di Malaysia. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih atas peluang kepada KMania untuk merakamkan momen indah bersama Yesung.
Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di Facebook, Twitter, Instagram , TikTok dan Youtube untuk tonton lebih banyak lagi video 2025 YESUNG CONCERT [It’s Complicated] di Kuala Lumpur dan untuk mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.