Drama SBS “Buried Hearts” menutup tirainya dengan kejayaan manis!
Pada 12 April, drama popular lakonan Park Hyung Sik dan Heo Joon Ho itu menamatkan siarannya dengan rating tontonan tertinggi sepanjang tayangannya. Menurut Nielsen Korea, episod akhir “Buried Hearts” mencatatkan purata rating tontonan seluruh negara sebanyak 15%, menjadikannya drama mini paling ramai ditonton sepanjang minggu tersebut.
Episod akhir “Buried Hearts” turut menjadi rancangan paling banyak ditonton dalam kalangan penonton berusia 20 hingga 49 tahun—demografik utama penonton—dengan purata rating 4%.
Episod penutup ini juga menyajikan detik dramatik apabila Yum Jang Sun (Heo Joon Ho) muncul semula selepas sebulan menghilang untuk menyerang Seo Dong Joo (Park Hyung Sik) yang sedang tidur. Pertembungan terakhir antara dua watak utama itu digambarkan sebagai “tarian terakhir” yang penuh emosi dan ketegangan, dengan lakonan bertenaga daripada kedua-dua pelakon yang telah memukau penonton sejak episod pertama.
Sementara itu, drama terbaru tvN “Resident Playbook”—spin-off yang dinanti-nantikan daripada siri hit Hospital Playlist—memulakan tayangannya dengan memberangsangkan, mencatatkan purata rating seluruh negara sebanyak 3.7%, sekali gus menduduki tempat pertama dalam slot tayangannya di semua saluran kabel.
Drama JTBC “The Art of Negotiation”, yang hanya tinggal satu episod sebelum tamat, turut mencatatkan rating tertinggi setakat ini bagi tayangan hari Sabtu (yang lazimnya mencatat rating lebih rendah berbanding Ahad). Episod kedua terakhir drama ini meraih purata rating seluruh negara sebanyak 7.2%.
Dalam pada itu, drama romantik baharu MBC “Crushology 101” mencatatkan penurunan ke purata rating sebanyak 0.9% bagi episod keduanya.
Akhir sekali, drama KBS 2TV “For Eagle Brothers” turut mencatatkan rating tertinggi untuk tayangan hari Sabtu setakat ini. Episod terbarunya meraih purata rating 19%, menjadikannya rancangan paling ramai ditonton pada hari tersebut, merangkumi semua jenis siaran.
Nota Tontonan:
- Buried Hearts boleh ditonton di Disney+ Hotstar Malaysia
- Resident Playbook tersedia untuk tontonan global di Netflix
- The Art of Negotiation boleh ditonton di Viu Malaysia dan K-PLUS Asia menerusi Astro Ch 396 dan Astro GO
- For Eagle Brothers boleh ditonton di KBS WORLD TV menerusi Astro Ch 392 dan Astro GO
- Crushology 101 pula tersedia untuk tontonan di Viu Malaysia