Drama baharu lakonan Jinyoung GOT7 dan Roh Jeong Eui, “The Witch”, akan mula bersiaran malam ini!
Diadaptasi daripada webtoon karya Kang Full, penulis ‘Moving’, drama ini mengisahkan percintaan misteri antara seorang wanita yang dikatakan membawa malapetaka kepada sesiapa yang mencintainya, namun menjauhkan diri daripada dunia akibat suatu tragedi, dan seorang lelaki yang menolak kepercayaan itu serta enggan menyerah untuk mendekatinya.
Dengan episod pertamanya bakal ditayangkan, berikut tiga sebab kenapa drama ini harus ditonton:
1. Takdir Buruk & Cinta Yang Tidak Kesampaian
Seperti hukum Murphy, drama ini memperkenalkan watak yang bukan sahaja ditakdirkan mengalami kemalangan, tetapi juga tragedi. Park Mi Jeong (Roh Jeong Eui) ialah seorang wanita yang terperangkap dalam pola aneh di mana sesiapa yang jatuh cinta padanya akan cedera atau meninggal dunia.
Ketika di sekolah menengah, Mi Jeong sentiasa bersendirian akibat khabar angin yang menggelarnya “ahli sihir”. Keadaan bertambah buruk apabila beberapa insiden pelik berlaku di sekelilingnya – dikatakan sesiapa yang jatuh cinta padanya akan menemui ajal. Perkara itu membuatkan dia akhirnya memilih untuk meninggalkan sekolah dan kampung halamannya pada usia 19 tahun (mengikut kiraan Korea). Lee Dong Jin (Jinyoung), rakan sekolah yang menyimpan perasaan terhadapnya, hanya mampu melihatnya pergi tanpa pernah berpeluang berbicara dengannya.
2. Pertemuan Semula & Misteri Yang Perlu Dirungkai
Selepas 10 tahun, Dong Jin secara tidak sengaja bertemu Mi Jeong semula—dan dia yakin pertemuan itu bukan kebetulan, tetapi takdir.
Kini, Dong Jin berjaya dalam kerjayanya sebagai seorang penganalisis data yang mengutamakan fakta dan logik. Tidak terpengaruh dengan khabar angin, dia enggan mempercayai sumpahan Mi Jeong dan ingin membuktikan bahawa semua kejadian aneh di sekelilingnya hanyalah kebetulan. Sejak dulu, Dong Jin berimpian untuk bertemu semula dengan Mi Jeong agar dia dapat menyiasat “hukum kemalangan” ini, mencari kebenaran, dan meyakinkannya bahawa “Kamu bukan ahli sihir.”
Namun, dalam pencariannya, Dong Jin turut mengambil risiko besar—mengumpulkan data, menguji pelbagai teori, dan akhirnya mempertaruhkan nyawanya sendiri demi mencari jawapan.
3. Gabungan Misteri, Cinta & Penebusan Diri
Selain kisah percintaan pertama yang penuh duka, “The Witch” juga menjanjikan elemen thriller yang mendebarkan. Setiap kali seseorang jatuh cinta atau meluangkan masa dengan Mi Jeong, mereka akan mengalami kecederaan atau kematian.
Konsep ‘ahli sihir’ dalam drama ini timbul daripada emosi melampau, terutamanya kebencian, tetapi penebusan hanya akan berlaku melalui kebenaran. Walaupun sedar bahawa mencintai Mi Jeong mungkin membawa maut, Dong Jin tidak gentar. Dia nekad merungkai rahsia sumpahan ini dan sanggup mempertaruhkan nyawanya dalam pencarian tersebut.
“Kami berharap penonton akan mengikuti setiap episod dan sama-sama menyelidiki misteri tentang ‘takdir buruk’ yang ditemui oleh Dong Jin,” kata pihak produksi. “Dia segera mengenali Mi Jeong apabila bertemu semula selepas 10 tahun. Jangan lupa saksikan episod pertama untuk mengetahui apa yang bakal terjadi kepada mereka berdua!”
“The Witch” akan mula ditayangkan pada 15 Februari jam 9:10 malam KST dan boleh ditonton di Viu Malaysia serta Viki.