Suzy Jadi Tuan Baru Kim Woo Bin dalam Romantik Fantasi “Genie, Make A Wish”

Bersiap sedia untuk menyaksikan chemistry terbaik antara Kim Woo Bin dan Suzy dalam siri original Netflix yang akan datang, “Genie, Make A Wish”!

“Genie, Make A Wish” mengisahkan Jinn (Kim Woo Bin), seorang jin yang terbangun selepas seribu tahun. Terputus dari kehidupannya sebelum ini, dia bertemu dengan Ka Young (Suzy), seorang wanita yang bergelut dengan kesukaran untuk meluahkan emosi dan terperangkap dalam kehidupan yang dikawal oleh peraturan neneknya serta rutin hariannya sendiri. Drama ini membawakan komedi romantik yang berpusat pada konflik mereka mengenai tiga permintaan.

Ditulis oleh Kim Eun Sook, penulis terkenal di sebalik kejayaan “Heirs” dan “The Glory”, siri ini telah menarik perhatian ramai peminat. Ia juga menjadi projek yang sangat dinantikan kerana mempertemukan semula Kim Woo Bin dan Suzy selepas kali terakhir mereka berganding dalam drama “Uncontrollably Fond” pada tahun 2016. Kim Woo Bin membawa watak Jinn, manakala Suzy memainkan peranan sebagai Ka Young, tuan baru yang dingin terhadapnya.

Barisan pelakon turut menampilkan Ahn Eun Jin sebagai Mi Joo, seorang wanita misteri, serta Noh Sang Hyun sebagai Soo Hyun, pemilik bangunan kaya yang mempunyai agenda mencurigakan. Go Kyu Pil pula memainkan watak Sayyid, rakan setia Jinn dalam bentuk seekor jaguar hitam. Lee Joo Young melengkapkan barisan pelakon sebagai Min Ji, satu-satunya kawan Ka Young. Kesemua watak ini menambah kedalaman dan keterujaan kepada siri ini.

“Genie, Make A Wish” dijadualkan tayang pada suku keempat tahun 2025 diplatform Netflix.

Sumber : 1