7 Drama Korea Terbaru yang Bakal Memeriahkan Januari 2025!

Annyeong, chinguyaa~~

Tahun 2024 hampir berakhir, dan kami ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2025! Tahun baru, babak baru, dan drama baru yang pastinya lebih menarik. Seperti biasa, kami akan terus mengemas kini anda dengan drama Korea terbaru setiap bulan, dan ini adalah senarai drama pertama yang bakal memeriahkan tahun 2025!

Pada Januari 2025, tujuh drama Korea terbaru menanti anda. Dari kisah cinta yang menyentuh hati hingga thriller yang mendebarkan, lengkap dengan barisan pelakon berbakat dan jalan cerita yang pasti membuatkan anda ketagih. Jadi, sediakan kudapan dan pastikan anda tidak terlepas drama-drama hebat ini yang bakal ditayangkan di pelbagai platform kegemaran anda!

1. Love Scout

  • Tarikh Tayangan: 3 Januari 2025
  • Penyiar: SBS
  • Barisan Pelakon: Lee Joon Hyuk, Han Ji Min, Kang Do Hoon, Kim Yoon Hye

Love Scout mengisahkan Kang Ji Yun (Han Ji Min), seorang CEO berjaya dan penuh keyakinan di sebuah syarikat pencarian bakat, bersama setiausahanya yang cekap dan baik hati, Yoo Eun Ho (Lee Joon Hyuk). Ji Yun begitu fokus pada kerjayanya sehingga kurang mahir dalam urusan kehidupan harian, manakala Eun Ho, seorang bapa tunggal, bijak mengimbangi kerja dan kehidupan peribadinya. Hubungan mereka yang semakin rapat mencetuskan ikatan unik dan menyentuh hati. Perbezaan personaliti dan gaya hidup mereka mencipta situasi lucu serta membawa kehangatan yang tidak dijangka.

2. When The Stars Gossip

  • Tarikh Tayangan: 4 Januari 2025
  • Penyiar: tvN | Netflix
  • Barisan Pelakon: Lee Min Ho, Gong Hye Jin, Oh Jung Se, Han Ji Eun

When the Stars Gossip ialah drama romantik fantasi yang dinanti-nantikan. Kisah cinta bertemakan angkasa lepas ini mengisahkan pertemuan antara seorang komander angkasa lepas dan seorang pelancong dengan misi misteri.

Gong Hyo Jin berperanan sebagai Komander Eve Kim, seorang saintis angkasa yang tegas dan bertanggungjawab, menghadapi cabaran besar dalam memimpin misi di stesen angkasa. Lee Min Ho pula memainkan watak Gong Ryong, seorang pakar sakit puan yang menyertai misi sebagai pelancong angkasa, dengan misi rahsia yang mencurigakan.. Dalam perjalanan hidup dan kerjaya mereka, percintaan unik yang penuh keajaiban mula berkembang.

3. The Queen Who Crowns

  • Tarikh Tayangan: 7 Januari 2025
  • Penyiar: tvN Asia [Astro Ch395 & Astro Go], Unifi TV Ch211 & unifi playTV, tonton – Setiap Selasa & Rabu, 9.15PM
  • Barisan Pelakon: Lee Hyun Wook, Cha Joo Young, Lee Yi Dam, Lee Si Ah

The Queen Who Crowns adalah drama sejarah epik yang mengisahkan kehidupan Ratu Wongyeong (lakonan Cha Joo-Young), seorang wanita berpengaruh dalam sejarah Korea pada zaman Dinasti Goryeo. Drama ini menceritakan perjalanan Ratu Wongyeong yang menghadapi pelbagai cabaran di istana diraja, termasuk konspirasi politik dan isu peribadi.

Dalam usahanya untuk melindungi keluarganya dan memastikan kedudukannya, Ratu Wongyeong turut memulakan kisah cinta yang penuh emosi. Drama ini bukan sahaja menonjolkan sisi peribadi Ratu Wongyeong, malah menggambarkan hubungan dinamik antara raja dan ratu di sebalik pengkhianatan dan cabaran politik.

Dengan latar belakang sejarah yang menarik dan jalan cerita yang mendalam, The Queen Who Crowns dijangka akan memukau penonton melalui plot yang rumit dan lakonan yang penuh kuasa.

4. Motel California

  • Tarikh Tayangan: 10 Januari 2025
  • Penyiar: KBS
  • Barisan Pelakon: Na In Woo, Lee Se Young, Kim Tae Hyung, Choi Min Soo

Berdasarkan novel popular karya Shim Yoon-seo (Home, Bitter Home), Motel California adalah sebuah kisah romantik yang mengharukan. Drama ini mengisahkan perjalanan Ji Kang Hee (Lee Se Young), seorang wanita yang membesar di tengah kesibukan tetamu motel keluarganya, Motel California, di sebuah bandar luar bandar. Setelah melarikan diri dari kehidupan kampung halamannya 12 tahun lalu, takdir membawanya kembali ke tempat yang tidak pernah dijangkakan.

Kembali ke tempat asalnya, Kang Hee bertemu semula dengan cinta pertamanya, Cheon Yeon Soo (Na In Woo), yang seolah-olah menunggu tanpa perubahan, seperti waktu yang terhenti. Drama ini menggali tema cinta pertama, peluang kedua, dan kekuatan kenangan zaman kanak-kanak yang abadi, di mana pertemuan semula dengan Yeon Soo membawa Kang Hee melalui perjalanan nostalgia yang penuh emosi.

5. Unmasked

  • Tarikh Tayangan: 15 Januari 2025
  • Penyiar: Disney+ Hotstar
  • Barisan Pelakon: Kim Hye Soo, Joo Jong Hyuk, Jung Sung Il

Unmasked adalah drama penyiasatan yang berlatarbelakangkan Biro Kewartawanan Penyiasatan pertama di Korea, memaparkan misi paling genting sepanjang kerjaya mereka. Drama ini mengisahkan sekumpulan wartawan penyiasat yang berdedikasi, diketuai oleh wartawan berani dan tidak kenal takut, Oh So-Ryong (Kim Hye-Soo). Mereka menyelidiki sudut-sudut tersembunyi dalam masyarakat, membongkar kebenaran dan mendedahkan rasuah.

Dalam usaha mereka, pasukan ini berhadapan dengan cabaran besar, termasuk berhadapan dengan individu berkuasa yang sanggup melindungi rahsia mereka dengan apa cara sekalipun. “Unmasked” membawa penonton meneroka tema kuasa, ketamakan, dan sejauh mana orang sanggup berbuat demi melindungi rahsia gelap mereka. Dengan plot yang mendebarkan, liku-liku penuh suspens, dan watak yang kompleks, drama ini pasti memberikan pengalaman menonton yang mendalam dan penuh teka-teki.

6. Study Group

  • Tarikh Tayangan: 23 Januari 2025
  • Penyiar: TVING
  • Barisan Pelakon: Hwang Min Hyun, Han Ji Eun, Lee Jong Hyun, Shin Soo Hyun

Study Group adalah siri drama komedi yang diadaptasi daripada webtoon popular dengan nama yang sama.

Drama ini mengisahkan Yoon Ga Min (lakonan Hwang Min Hyun), seorang pelajar sekolah menengah biasa yang memiliki bakat tersembunyi dalam pertarungan. Walaupun menghadapi kesukaran dalam pelajaran, Ga Min bertekad untuk memperbaiki gred dan melanjutkan pengajian ke kolej. Bagi mencapai matlamat tersebut, dia membentuk sebuah kumpulan belajar bersama sekumpulan rakan sekelas yang berbeza latar belakang. Bersama-sama, mereka mengharungi cabaran kehidupan sekolah menengah, termasuk tekanan akademik, buli, dan perkembangan peribadi. Melalui sesi belajar mereka, mereka membina persahabatan yang tidak dijangka dan mempelajari pengajaran berharga mengenai kerja berpasukan, ketabahan, dan pentingnya persahabatan.

Dengan gabungan humor, drama, dan aksi yang unik, Study Group menjanjikan kisah pembangunan diri yang menggembirakan dan menyentuh hati.

7. The Trauma Code: Heroes on Call

  • Tarikh Tayangan: 24 Januari 2025
  • Penyiar: Netflix
  • Barisan Pelakon: Ju Ji Hoon, Choo Young Woo, Yoon Kyung Ho, Shin Ha Young, Jeong Jae Kwang
The Trauma Code: Heroes On Call adalah sebuah drama perubatan yang mengisahkan sebuah pasukan elit di hospital universiti terkemuka yang berusaha mengubah peraturan dalam perubatan kecemasan – walaupun ia mungkin memusnahkan hospital yang mereka cuba selamatkan.

Di tengah-tengah siri penuh ketegangan ini adalah Dr. Baek Kang Hyuk (Ju Ji Hoon), seorang pakar bedah trauma berpengalaman di medan perang, di mana pisau bedahnya sering kali menjadi penentu antara hidup dan mati di zon konflik paling berbahaya di dunia. Cemerlang, tidak mudah berkompromi, dan memiliki personaliti yang kuat, beliau melihat kes-kes mustahil sebagai cabaran peribadi. Namun, pertarungan terbesarnya adalah untuk mengubah jabatan trauma yang hanya menguruskan kertas kerja menjadi unit penyelamat elit yang berlumba dengan masa untuk menyelamatkan nyawa.

Romance Is A Bonus Book Kdrama Review | Lindsey Reads

Jadi, untuk peminat drama Korea, jangan lepaskan peluang untuk menonton drama-drama terbaru ini! Namun, perlu diingat bahawa setiap siaran drama ini mungkin tertakluk kepada sebarang perubahan oleh rangkaian penyiaran yang berkaitan. Penulis akan sentiasa mengemaskini jika terdapat sebarang perubahan. Happy watching, gais!