CHEN FAN-CON “BEYOND THE DOOR” di Kuala Lumpur kekal dalam ingatan

Kuala Lumpur – Walaupun sudah lebih seminggu berlalu, bahang konsert solo CHEN masih dirasai peminat.

Pada 8 November 2024 yang lalu, CHEN menziarahi Malaysia bagi jelajah solo pertamanya yang dinamakan CHEN FAN-CON “BEYOND THE DOOR” yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur sempena album solo terbaharunya, “Door” yang dikeluarkan pada Mei tahun ini.

Konsert yang dihadiri oleh 3,000 peminat ini bermula pada jam 8 malam dengan lagu pembukaan “Empty” membuatkan Soondaengs teruja dan tak senang duduk. Camera phone sudah tersedia untuk merakam detik tersebut, sementara mata mula tertumpu di atas pentas, teruja mahu melihat jika CHEN akan keluar melalui pintu-pintu tersebut.

Selesai mendendangkan beberapa buah lagu, ia diteruskan dengan segmen game. Aktiviti yang engaging ini memang sangat menyeronokkan. CHEN juga kelihatan teruja melayan permintaan-permintaan Soondaengs. CHEN berjaya meneka beberapa lirik, tetapi juga gagal meneka beberapa lirik menyebabkan beliau perlu memakai kostum-kostum pelik sebagai penalti, antaranya topi kecil yang dilengkapi reben dan kostum Alien.

Kali pertama membuka kotak berisi topi kecil dan reben, muka CHEN nampak terkejut mungkin tidak menyangka isi di dalamnya. Semasa CHEN cuba memakai topi tersebut, para peminat menjerit, “COMEL!!!” Dan CHEN membalasnya dengan, “Semua, saya tahu saya comel” menyebabkan peminat ketawa besar. Selepas kalah pusingan seterusnya, CHEN perlu memakai kostum Alien pula. Walaupun agak sukar untuk dipakai pada mulanya, tapi Soondaengs boleh lihat CHEN sangat seronok ya memakai kostum Alien tersebut, sebab beliau enggan menanggalkannya dan menggelar Alien itu kawannya.

Tamat segmen game, CHEN FAN-CON diteruskan dengan CHEN mendendangkan beberapa buah lagu lain. Vokal CHEN yang jelas dan lunak benar-benar membuatkan suasana pada malam itu semakin rancak dan hangat. Soondaengs juga semakin bersemangat selepas disuntik oleh vokal CHEN yang tiada tandingannya.

Sepanjang sesi beramah mesra dengan Soondaengs, CHEN mengucapkan jutaan terima kasih kepada Soondaengs di Malaysia kerana terus menyokong kariernya sebagai penyanyi dan berjanji akan terus menghiburkan Soondaengs. CHEN juga beberapa kali menyatakan rasa terujanya dengan semangat yang ditunjukkan Soondaengs kerana bersorak dengan kuat dan turut ikut bernyanyi lagu-lagu CHEN. Kata CHEN lagi, disebabkan sambutan hangat Soondaengs di Malaysia, CHEN berjanji akan kembali ke sini lagi.

Masa benar-benar mencemburui Soondaengs.  Sudah lumrah, setiap permulaan pasti ada pengakhirannya. Konsert yang berlangsung selama dua jam itu sememangnya tidak cukup buat Soondaengs. Selepas CHEN masuk ke belakang pentas. kedengaran Soondaengs bersorak “Encore” dengan bersemangat. Tanpa menunggu lama, CHEN kembali menghangatkan pentas dengan mendendangkan lagu “Everytime”, runut bunyi bagi siri drama televisyen “Descendants of The Sun” yang meraih sorakan kuat di seluruh Mega Star Arena. Soondaengs juga turut serta menyanyikan lagu ini dengan penuh bersemangat.

CHEN menutup tirai jelajah solonya di Kuala Lumpur dengan mendendangkan lagu “Best Luck”, runut bunyi bagi siri drama televisyen “It’s Okay, That’s Love”.

Sepanjang dua jam konsert itu, CHEN juga telah mempersembahkan 14 buah lagu iaitu “Empty”, “Dandelion”, “Remember”, “I Don’t Even Mind”, “PLAYLIST”, “Fall In Love Again”, “Hold you Tight”, “Beautiful Goodbye”, “Love You”, “Don’t Remember”, “Shall We?”, “Starlight”, “Everytime” dan “Best Luck”.

Soondaengs berharap CHEN tidak akan melupakan Kuala Lumpur dalam siri jelajah konsert beliau yang akan datang dan semoga CHEN akan kembali dengan konsert berskala besar pada masa akan datang.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur, IMC Live Global dan para penaja kerana telah merealisasikan impian Soondaengs untuk bertemu dengan CHEN.

Semoga kita akan bertemu lagi pada lain masa!

Jangan lupa untuk mengikuti dan menyukai KMania di FacebookTwitterInstagramTikTok dan Youtube untuk melihat kenangan istimewa yang kami kongsikan serta mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.