‘The Fiery Priest 2″ bersedia untuk kembali dengan penuh aksi yang mendebarkan!

Drama baru “The Fiery Priest 2” telahpun berkongsikan poster terkini!

Siri SBS “The Fiery Priest,” mengisahkan seorang paderi Katolik yang mudah marah dan seorang detektif penakut yang bekerjasama menyiasat kes pembunuhan. Kim Nam Gil, Honey Lee, Kim Sung Kyun, dan pelakon lain dari Musim 1 akan kembali dengan watak mereka dalam musim baru ini. Siri ini yang mula ditayangkan pada tahun 2019 pernah mencatatkan rating penonton tertinggi iaitu sebanyak 22%.

Poster utama yang mencuri perhatian ini menampilkan barisan pelakon seperti Kim Nam Gil, Honey Lee, Kim Sung Kyun, Sung Joon, Seo Hyun Woo, dan BIBI, yang kelihatan penuh semangat. Di tengah, watak utama paderi Kim Hae Il (Kim Nam Gil) memegang rantai rosario dengan pandangan penuh tekad. Di sebelah kiri, pendakwa ceria Park Kyung Sun (Honey Lee) muncul dengan senyuman lebar, sementara di sebelah kanan, detektif berdedikasi Goo Dae Young (Kim Sung Kyun) berdiri dengan wajah serius dan tegas.

Di sebelah Kim Hae Il, pengasas kartel dadah, Kim Hong Sik (Sung Joon), ditarik tali lehernya oleh pendakwa Park Kyung Sun, menampilkan dirinya sebagai watak jahat yang kuat. Di sisinya, ketua pendakwa Nam Du Heon (Seo Hyun Woo) memegang beg bimbit dengan raut wajah penuh curiga, dikawal oleh detektif Goo Dae Young. Di belakang Nam Du Heon, detektif Goo Ja Young (BIBI) dari Unit Siasatan Dadah Polis Busan menunjukkan ekspresi tekad yang jelas.

Dalam Musim 2, Go Dok Seong (Kim Won Hae) akan menjadi sekutu yang dipercayai. Anggota Balai Polis Gudam iaitu Oh Yo Han (Go Kyu Pil), Ssong Sak (Ahn Chang Hwan), Nun Kim (Baek Ji Won), dan Father Han (Jeon Seong Woo)—ditampilkan dengan ekspresi penuh ketegasan dalam perjalanan mereka ke Busan, memberi bayangan bahawa pertembungan yang menarik bakal berlaku.

Poster ini turut memperkenalkan beberapa watak baru yang akan bekerjasama dengan Kim Hae Il dan pasukan Gudam. Yang Hyun Min, dengan gaya gangster yang lucu, tampil memakai cermin mata retro dan berambut kerinting. Lee Dae Yeon sebagai paderi memegang rosario sambil menarik rambut seorang gangster, manakala Seo Bum June menampilkan gaya bertenaga yang mencerminkan semangat muda seorang paderi baru. Semua elemen ini menambah keterujaan untuk kisah segar di Musim 2, yang kali ini berlatarkan di Busan.

Poster ini juga menampilkan Oh Man Seok yang tenang sambil memegang Bible, dan Choi Soo Min yang berdoa dalam pakaian biarawati, membuat kita tertanya-tanya sumbangan apa yang akan mereka bawa dalam cerita ini.

Pihak produksi berkata, “Kami berterima kasih kepada keberanian semua 20 pelakon utama dalam poster ini, yang membolehkan kami menggambarkan emosi mendebarkan dalam drama penyiasatan yang penuh aksi ini.” Mereka menambah, “Dalam ‘The Fiery Priest 2,’ pasukan Gudam Avengers yang baharu ini akan berdepan dengan kartel dadah besar yang melibatkan pendakwa raya, polis, dan kumpulan jenayah terancang. Nantikan kisah mereka yang penuh dengan cabaran dan aksi!”

“The Fiery Priest 2” akan mula ditayangkan pada 8 November sebagai pengganti drama “The Judge from Hell.” Siri ini boleh distrim melalui Disney+ Hotstar. Mampukah siri ini mengulangi lagenda yang direkodkan pada musim pertama? Jangan lupa untuk saksikannya.

Sumber : 1