Dapat sambutan yang hangat, “Culinary Class Wars” kembali dengan musim kedua yang menjanjikan persaingan yang lebih sengit dan mendebarkan!

Netflix telah rasmi mengumumkan pengeluaran musim kedua Culinary Class Wars selepas musim pertamanya mencipta sejarah sebagai rancangan tanpa skrip Netflix Korea pertama yang berjaya mencapai No. 1 dalam senarai Global Top 10 TV (Bukan Bahasa Inggeris) selama tiga minggu berturut-turut. Musim baharu ini dijangka membawa persaingan yang lebih intens dalam pertarungan kemahiran memasak.

Sejak ditayangkan pada bulan September, *Culinary Class Wars* telah berjaya memikat hati penonton di seluruh dunia dengan gabungan persaingan sengit ala sukan dan cabaran unik yang tidak pernah ditampilkan sebelum ini. Pertandingan antara chef-chef berbakat, ditambah dengan skala rancangan yang besar dan kejutan-kejutan yang tidak dijangka, mencipta pengalaman yang benar-benar mendebarkan.

Peranan juri seperti Paik Jong-won, pengusaha restoran terkenal Korea, dan Chef Anh Sung-jae dari Mosu Seoul—satu-satunya restoran di Korea yang meraih tiga bintang Michelin—telah meningkatkan lagi standard rancangan kulinari Korea dalam pencarian mereka untuk “rasa yang sempurna.” Kepakaran kulinari Baek Jong-won yang luas, serta penilaian tepat Ahn Sung-jae yang menitikberatkan masakan sayuran, perasa halus, dan niat di sebalik hidangan, dipuji kerana menetapkan piawaian baru dalam rancangan survival memasak. Gabungan kedua-dua mereka telah memberikan impak yang besar dalam usaha mencari “rasa yang sempurna” dalam dunia kulinari Korea.

Pengarah Kandungan Netflix Korea, KiHwan Yoo, menyatakan, “Kami sangat teruja untuk mengumumkan bahawa Culinary Class Wars Musim 2 sedang dalam pengeluaran, terima kasih kepada sokongan luar biasa daripada peminat di Korea dan di seluruh dunia. Menghasilkan rancangan sebesar ini memerlukan banyak usaha, dan kami amat bangga dengan pencapaian yang kami raih bersama pasukan yang berdedikasi. Kami akan terus mengembangkan lebih banyak rancangan tanpa skrip dan tidak sabar untuk berkongsi lebih banyak rancangan unik dan menarik dengan anda semua tidak lama lagi.”

Untuk penerbitan Culinary Class Wars Musim 2, penerbit Kim Hak-min dan Kim Eun-ji, bersama penulis Mo Eun-sol dari Studio Slam, akan bekerjasama sekali lagi. Mereka mengungkapkan, “Kami sangat bersyukur kepada semua penonton. Dengan sokongan anda, kami dapat kembali dengan Musim 2. Kami akan melakukan yang terbaik untuk membalas cinta anda dan memenuhi jangkaan.”

Saksikan Culinary Class Wars, di mana 100 chef berbakat beraksi dalam pertarungan kulinari yang mendebarkan, hanya di Netflix.

loading...