Kentaro Sakaguchi mula percaya pada takdir lepas bertemu semula dengan Lee Se Young dalam “What Comes After Love”

Drama baharu Lee Se Young dan Kentaro Sakaguchi, “What Comes After Love” kini siap sedia untuk ditayangkan pada September ini.

Berdasarkan novel terlaris oleh penulis Korea Gong Ji Young dan penulis Jepun Tsuji Hitonari, “What Comes After Love” mengisahkan kisah cinta antara seorang wanita Korea bernama Hong (Lee Se Young) dan seorang lelaki Jepun bernama Jungo (Kentaro Sakaguchi) , yang bertemu dan jatuh cinta antara satu sama lain di Jepun dan bertemu semula di Korea lima tahun kemudian selepas perpisahan mereka.

Poster drama yang telah dikongsikan merakamkan detik sedih Hong dan Jungo bersedia untuk perpisahan yang menyakitkan. Mereka berdua yang jatuh cinta sejak pertemuan pertama dilihat saling berpandangan penuh pilu kerana terpaksa berpisah.

Manakala pratonton yang baru dikeluarkan menunjukkan pertemuan semula yang penuh emosi antara Jungo dan Hong selepas keduanya menyesali perpisahan mereka. Pratonton itu menunjukkan Jungo bertemu Hong secara tidak dijangka di lapangan terbang, yang membuatkan dia sedar bahawa pertemuan semula mereka telah ditakdirkan dan bukannya kebetulan. Dengan linangan air mata, Jungo memandang Hong, mencetuskan gelombang kenangan bersama. Momen yang menyentuh hati ini bukan sahaja meningkatkan kedalaman emosi cerita, tetapi juga menimbulkan rasa ingin tahu tentang masa lalu mereka.

“What Comes After Love” akan memulakan tayangannya pada 27 September dan siri ini boleh ditonton menerusi platform Viu Malaysia.

Sumber : 1

loading...