Konsert 2024 Kim Sung Kyu [LV3: Let’s Vacay] Asia Tour di Kuala Lumpur yang berlangsung selama 2 hari berturut-turut telah pun melabuhkan tirainya. Konsert anjuran D-SHOW bersama Offbeat dan 43 sebagai Promoter telah pun diadakan pada 10 dan 11 Ogos bertempat di Zepp Kuala Lumpur. Bahkan Kim Sung Kyu juga telah berlepas pulang ke Korea setelah menjayakan persembahan hari keduanya pada 11 Ogos.
Konsert yang dihadiri oleh peminat K-pop terutamanya INSPIRIT (kelab peminat INFINITE) disambut dengan sorakan saat Kim Sung Kyu muncul di atas pentas. Rata-rata teruja untuk menyaksikan persembahannya. Kim Sung Kyu memulakan persembahan dengan menyampaikan lagu DIVIN’, ‘Shine’ dan ‘Ready to Go’. Kehebatan vokalnya tidak perlu dipertikaikan lagi kerana setiap kali Kim Sung Kyu memulakan nyanyian membuatkan peminat begitu terpesona menikmati persembahannya. Dia tampak bersahaja di atas pentas, tapi suaranya saja sudah cukup untuk memukau semua hadirin. Kim Sung Kyu menyanyi untuk rakaman dan secara langsung adalah sama seperti dia menelan kesemua cd-cdnya.
I heart you Abang #KimSungKyu. Memang power la stage presence dia. His voice also is so great! Macam telan cd bulat-bulat
🎶 DIVING#金聖圭 #김성규 #LV3_LetsVacay_IN_KL #LV3_LetsVacay_IN_MY #KIMSUNGKYUinKL #KIMSUNGKYUINMY #LetsVacayinKL #43_ENT #DoubleHTNE #DSHOWTAIWAN #OFFBEAT pic.twitter.com/TJU4BQLcu0— Kmania (@kmaniamy) August 10, 2024
Usai tamat tiga lagu pertama, Kim Sung Kyu menyapa para peminat dalam Bahasa Malaysia sambil berkata: “Apa khabar semua, saya Kim Sung Kyu!”
Untuk pengetahuan, konsert ini merupakan konsert solo sulung Kim Sung Kyu di Malaysia, dan dia sempat berkongsi:
Sudah lama sejak INFINITE mengadakan persembahan di Malaysia beberapa tahun lalu, saya amat gembira akhirnya dapat bertemu peminat saya semula! Saya sangat berterima kasih kepada anda semua kerana telah meluangkan masa berharga dengan saya pada hari ini.
– Kim Sung Kyu
Dia juga berkongsi bahawa dia mempunyai malam yang tenang sebelum pertunjukan serta sempat mencuba nasi goreng.
Biarpun kelihatan malu-malu berinteraksi dengan penonton pada mulanya, melihatkan respon yang cukup positif, Kim Sung Kyu berjaya mendapat rentak untuk lebih santai sepanjang konsert berlangsung. Biarpun lagu-lagu yang didendangkan adalah pertama kali dipersembahkan di Malaysia, peminat tidak merasa janggal malah cukup terhibur. Pendek kata, kerisauan Sung Kyu tentang penerimaan peminat adalah sia-sia kerana peminat di Malaysia adalah antara yang terbaik. Biarpun berbeza bahasa, itu tidak bermakna kita tidak dapat bersama. Sung Kyu kelihatan teruja apabila peminat ikut serta bernyanyi dan turut memuji kehebatan peminatnya yang berjaya menyanyikan lagunya dengan baik serta menyatakan ‘Malaysia Boleh’.
Dalam pada itu, Kim Sung Kyu turut menyatakan bahawa dia sangat berpuas hati dengan sistem audio di Zepp KL sehinggakan dia rasa selesa untuk menyanyi dan dapat memberikan persembahan yang baik. Seperti yang penulis pernah katakan sebelum ini, sistem audio dan bunyi yang disediakan di Zepp KL adalah antara yang terbaik dan ia membuatkan hadirin benar-benar menikmati keseluruhan persembahan yang dipersembahkan.
Kim Sung Kyu turut menyanyikan lagu solo pertamanya, “41th”, yang dirakamkan pada tahun 2013. Rata-rata peminat bersorak menyatakan mereka menyukai lagu itu. Alunan suara merdunya kembali memukau peminat dengan menyanyikan lagu hitsnya yang lain seperti “Climax”, “It Will Be”, “Jump”, “Go Again”, “Sometimes” dan “Sorry”. Ketika Sung Kyu menghiburkan peminat di atas pentas, para hadirin di bawah juga turut mengikuti rentak lagunya dengan mengangkat banner dan light stick Kim Sung Kyu serta INFINITE.
Semasa Sung Kyu menyanyikan lagu “Small Talk” dan “60sec”, peminat ikut menyertai korus dua lagu ini, sekaligus membuatnya menjadi lebih bertenaga. Menambahkan lagi istimewa konsert Kim Sung Kyu ini, dia mempersembahkan lagu “Fog” dan “Like A Dream” dalam versi akustik. Baik berdiri mahupun duduk skala vokal Kim Sung Kyu tidak berubah malah sentuhan akustik itu menyerlahkan lagi kekuatan vokalnya.
Dalam pada itu, Kim Sung Kyu telah membintangi beberapa drama muzikal dan sempat bertanya peminat sama ada mereka telah melihat persembahannya, beberapa peminat terus menjawab, “Ya!” dan mengatakan bahawa mereka turut pergi ke Korea Selatan semata-mata untuk menyokongnya. Sung Kyu juga sempat berkongsi mengenai drama muzikalnya yang akan datang “Kinky Boots”. Ini merupakan kali ketiga muzikal ini dipersembahkan selepas tahun 2020 dan 2022 dan sekali lagi Kim Sung Kyu akan membawakan watak Charlie. Antara mesej yang dikongsikan Sung Kyu daripada drama muzikal itu adalah, dalam dunia ini kita tidak berseorangan. Kita perlu menerima diri sendiri dan menerima orang lain seadanya: kepentingan kebaikan, persefahaman dan persahabatan. Seperti yang diperkatakan Sung Kyu, drama muzikal ini banyak bermain dengan emosi.
Tatkala sesi penantian encore-ment, peminat menyanyikan korus lagu “Kontrol” beramai-ramai dan Kim Sung Kyu kemudian keluar semula ke pentas serta mempersembahkan lagu tersebut. Mendengarkan peminat menyanyikan lagu itu secara harmoni, Kim Sung Kyu sempat bergurau dengan mengatakan apakah mereka semua berlatih bersama-sama. Tampak kelihatan Kim Sung Kyu bbenar-benar terharu dengan sokongan yang diberikan oleh peminatnya di Malaysia.
Apabila peminat berulang kali meminta INFINITE untuk kembali ke Malaysia dan membuat persembahan di Malaysia, Kim Sung Kyu berjanji untuk kembali ke Kuala Lumpur bersama kumpulan itu sekaligus mencetuskan sorakan penuh semangat dari peminat. Sung Kyu bahkan berulang kali menyatakan ingin kembali secara kerap ke Malaysia. Masakan tidak, aura peminat K-Pop di Malaysia memang luar biasa dan boleh membuatkan ramai selebriti dari Korea Selatan jatuh hati.
Sebaik sahaja Sung Kyu mengumumkan, “Ini adalah lagu terakhir untuk hari ini,” peminat membalas dengan teriakan “Tidak!” Dengan emosi yang mendalam, dia berkata, “Sudah lebih 10 tahun sejak kali terakhir saya datang ke Malaysia, tetapi anda tahu, saya sentiasa bersama anda. Begitu banyak berlaku dalam tempoh 10 tahun ini – saya menangis dan ketawa. Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya. I love you!” Konsert itu diakhiri dengan lagu encore “Kontrol”, “My Everyday Is You”, “Reply (답가)” dan “Stuck On (끌림)“.
Keseluruhannya, semua peminat sangat berpuas hati sepanjang dua hari konsert 2024 Kim Sung Kyu [LV3: Let’s Vacay] Asia Tour di Kuala Lumpur. Persembahan memukau dan vokal matap Sung Kyu akan tetap menjadi kenangan manis kami. Jutaan terima kasih diucapkan kepada penganjur D-SHOW bersama Offbeat dan 43 sebagai Promoter kerana telah merealisasikan impian kami terutamanya INSPIRIT untuk bertemu dengan Kim Sung Kyu.
Semoga kita bertemu lagi di lain masa.
Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di Facebook, Twitter, Instagram , TikTok dan Youtube untuk mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.