Ryeowook Super Junior akan menikahi Ari (bekas ahli TAHITI) Mei ini selepas hampir 4 tahun menyulam cinta

Berita gembira buat semua peminat Ryeowook khasnya dan Super Junior umumnya. Ryeowook telah mengumumkan rancangannya untuk berkahwin dengan Ari, bekas ahli kumpulan TAHITI menerusi akaun Instagram peribadinya pada 29 Mac.

Perkahwinan mereka dirancang akan berlangsung pada penghujung Mei 2024 dan kini mereka berdua dalam perancangan untuk majlis istimewa mereka ini bersama keluarga dan rakan terdekat.

Surat bertulisan tangan itu berbunyi seperti berikut:

Kepada ELF kami yang kewujudannya seperti cahaya bintang biru

Hello. Ini Ryeowook Super Junior.

ELF yang sentiasa menyokong dan menghantar kasih sayang dengan sekuat tenaga, ada berita yang ingin saya sampaikan secara peribadi kepada rakan-rakan yang dikasihi. Ini adalah surat yang saya tulis dengan harapan agar keikhlasan saya dapat disampaikan kepada anda.

Saya pertama kali bertemu ELF pada awal musim sejuk di usia 19 tahun pada 6 November 2005
Dan kini saya Kim Ryeowook berada di tahun ke-20 dalam kerjaya saya pada usia 38 tahun.

Sama ada dahulu atau sekarang, ELF kami sentiasa teguh berdiri di sisi kami. Saya rasa kami telah menjadi lebih kuat, setelah mengalami detik-detik gembira dan sedih bersama.

Itulah sebabnya saya ingin memberitahu anda berita ini dahulu, tetapi dalam masa yang sama saya menjadi gementar.

Seperti yang anda semua tahu bahawa saya telah bercinta dengan seseorang. Setelah menghabiskan banyak masa bersama, perasaan ingin membina sebuah keluarga itu datang dengan sendirinya.

Ini bukan keputusan yang mengejut tetapi keputusan yang telah lama saya pertimbangkan, dan selepas perbincangan panjang dengan ahli dan agensi, saya memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan saya pada musim bunga ini iaitu pada penghujung Mei.

Saya sentiasa berterima kasih kepada ELF yang menyokong saya walaupun kekurangan dan ketidaksempurnaan saya sehingga kini, tetapi sebaliknya saya berasa kesal apabila memikirkan bagaimana sesetengah daripada anda mungkin terkejut dengan berita ini.

Saya akan terus bekerja keras sebagai Ryeowook Super Junior dan sebagai penyanyi Ryeowook untuk anda semua.
Selain itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada ahli kumpulan saya dan kakitangan SM Entertainment yang telah menyokong keputusan saya dan memberi saya kekuatan.

ELF! Cuaca masih agak sejuk. Sentiasa berpakaian hangat, dan berhati-hati agar tidak diserang selsema. Terima kasih dan sayang awak selalu.

Untuk pengetahuan anda, Ryeowook dan Ari (Kim Sun Young, lahir 1994) mula bercinta secara terbuka pada September 2020. Ari memulakan kerjaya sebagai ahli TAHITI pada 2012 dan telah mengadakan pelbagai promosi di arena K-Pop sehingga kumpulan itu dibubarkan pada 2018. Selain itu, Ryeowook akan menjadi ahli kedua Super Junior yang berkahwin setelah Sungmin.

Tahniah diucapkan kepada Ryeowook dan Ari!

Sumber : 1

loading...