CDrama terbaik 2023 pilihan editor, dari drama kostum hingga drama moden

Ni hao péngyou~~ Kami pasti selain daripada drama Korea, Thailand, Jepun mahupun drama-drama yang baik, pasti korang juga suka menonton drama China (selepas ini disebut Cdrama), kan. Kami juga adalah penggemar Cdrama yang agak tegar.

Kali ini kami ingin kongsikan beberapa Cdrama 2023 pilihan kami yang berjaya menarik perhatian kami dari awal sehingga akhir. Kami sediakan persembahan pilihan kami untuk anda dari drama kostum sehingga drama percintaan era moden. 

Jom Semak senarai Cdrama 2023 pilihan KMania

(Nota : kesemua drama pilihan ini telahpun kami tonton)

Drama Kostum

1. Till the End of the Moon

  • Penyiar: Netflix | Youku  | 8TV
  • Barisan Pelakon: Luo Yunxi, Bai Lu, Deng Wei, Chen Du Ling, Sun Zen Ni, Eddy Geng

“Till the End of the Moon” adalah sebuah gabungan percintaan dan fantasi yang diadaptasi daripada novel web ‘Hei Yue Guang Na Wen Be Ju Ben’ oleh Teng Luo Wei Zhi. 

Untuk menyelamatkan dunia dari Devil God (Dewa Kejahatan) Tantai Jin (Luo Yunxi), Li Su Su (Bai Lu) anak kepada ketua puak suci Hengyang mengembara ke 500 tahun sebelumnya dan menjadi Ye Xiwu anak perempuan ketiga Jeneral Ye yang bertemu dan mengahwini Tantai Jin. Pada masa ini Tantai Jin hanyalah seorang putera tebusan kerajaan Dinasti Sheng yang sentiasa bernasib malang dan dibuli oleh putera-putera kerajaan tersebut.

Misi utama Li Su Su adalah untuk memusnahkan Tantai Jin sebelum dia menjadi Devil God yang memusnahkan alam namun dalam proses itu, mereka berdua saling jatuh cinta. Li Su Su juga sanggup menukarkan tulang keabadian miliknya untuk Tantai Jin supaya dia tidak berubah menjadi Devil God. Kematian Li Su Su pada masa itu telah mengubah Tantai Jin. Dia patah hati dan merayau di alam roh untuk mencari jiwa Li Su Su selama 500 tahun. 

Tantai Jin diselamatkan oleh puak suci 500 tahun kemudian dan dia belajar ilmu pertapaan. Pada ketika ini dia berjumpa semula dengan Li Su Su. Walau bagaimanapun, takdir kejam Tantai Jin untuk menjadi Devil God tetap tidak berubah, namun dia berusaha untuk mengubah pengakirannya supaya alam tidak musnah.

2. Lost You Forever S1

  • Penyiar: WeTV | iQIYI | 8TV
  • Barisan Pelakon: Yang Zi, Zhang Wanyi, Tan Jianci, Deng Wei, Wang Hongyi, Dai Lu Wa

Dunia Dahuang pernah dibahagikan kepada tiga kerajaan: Xiyan, Chenrong, dan Haoling. Xiyan dan Chenrong sedang berperang, dan Jeneral Chi Chen mengetuai pasukan Chenrong. Pada saat-saat akhir, anak perempuan Maharaja Xiyan telah dipanggil untuk mengetuai pasukan Xiyan sebagai Puteri Jeneral. Dia mengalahkan Jeneral Chi Chen dengan mengorbankan nyawanya sendiri, dan berjaya mengubah arus perang. Chenrong kehilangan momentumnya dan ditakluki oleh Xiyan.

Sebelum kematiannya, Puteri Jeneral mempunyai dua orang anak dalam jagaannya: anak perempuannya yang digelar Xiao Yao (YangZi), dan anak saudaranya Cang Xuan. Selepas kematiannya, Xiao Yao dan Cang Xuan ditinggalkan sendirian tanpa sesiapa untuk bergantung kecuali satu sama lain. Tetapi Xiao Yao dihantar ke Gunung Jade, dan kedua-duanya dipisahkan. Xiao Yao berdepan dengan pelbagai kesusahan, tetapi 300 tahun kemudian dia telah menukar jantina dan penampilannya, serta menjalankan sebuah klinik kecil di bandar Qing Shui dengan nama Wen Xiao Liu (YangZi).

Di bandar Qing Shui, takdir membawanya untuk menyelamatkan seorang lelaki yang tidak dikenali yang cedera. Dia merawat lelaki sehingga kembali sihat dan memberinya nama Ye Shiqi (Deng Wei). Tanpa disedarinya, Ye Shiqi juga menyembunyikan identiti sebenarnya, yang mana dia adalah Tu Shan Jing, seorang bangsawan dari klan Tu Shan yang kaya.

Dalam kehidupannya di bandar Qing Shui, dia juga secara tidak sengaja bertemu dengan Xiang Liu (Tan Jianci), syaitan berkepala sembilan yang terkenal dan kejam. Bertemu dengan Xiang Liu menjadikan mereka yang pada mulanya membenci antara satu sama lain menjadi lebih rapat dan Xiang Liu sering membantu Xiao Liu ketika dia dalam bahaya. Bukan itu sahaja, dia juga bertemu semula dengan Putera Cang Xuan (Zhang Wanyi), sepupunya yang lebih tua daripadanya. Cang Xuan telah mencarinya selama 300 tahun. Malangnya, mereka berdua tidak mengenali antara satu sama lain. Setelah beberapa insiden, dia akhirnya mengenali Cang Xuan dan memulihkan identiti sebenarnya.

Pertemuan ini mengubah banyak perkara termasuk hubungan mereka yang asalnya penuh dengan permusuhan dan kini bermati-matian berjuang untuk mencari cinta serta kebahagiaan mereka. Mereka menemui semua kebaikan itu dalam diri Xiao Yao. Drama ini juga mengisahkan kisah cinta yang rumit antara Xiao Yao dan empat lelaki yang menyayanginya. Tetapi pada akhirnya, siapa yang akan dipilih Xiao Yao untuk menemaninya sehingga akhir. Dalam pada itu juga, pertemuan mereka di bandar Qing Shui, yang terletak di luar Kerajaan Xiyan dan kawalan Kerajaan Haoling ini, akan mengubah masa depan semua di Dahuang.

3. My Journey to You

  • Penyiar: IQIYI | Astro Go
  • Barisan Pelakon: Yu Shu Xin, Zhang Linghe, Ryan Cheng, Lu Yu Xiao, Jolin Jin, Sun Chen Jun

“My Journey to You” mengisahkan Yun Weishan, seorang perisik untuk organisasi gelap, Wufeng, yang menjalankan misi rahsia. Yun Weishan, yang mendambakan kebebasan, mesti melakukan misi terakhir yang agak berbahaya agar dapat menyelinap ke dalam Keluarga Gong.

Keluarga Gong dikenali sebagai satu-satunya keluarga yang masih berdiri teguh dalam dunia seni mempertahankan diri, serta musuh utama organisasi Wufeng. Apabila anak sulung Keluarga Gong sedang mencari pengantin perempuan, Yun Weishan dihantar untuk menyamar dan menyelinap masuk.

Bukan itu sahaja, dia ditemani oleh Shangguan Qian, yang juga seorang pengintip Wufeng, tetapi dengan misi yang berbeza. Kedua-dua mereka bersaing antara satu sama lain dengan licik dan kepintaran masing-masing untuk masuk dan memberi maklumat tentang Keluarga Gong.

Sebaliknya, tuan muda keempat, Gong Ziyu terkenal dengan keperibadiannya yang naif dan suka menghabiskan masa di rumah pelacuran. Pada suatu hari, dia dipilih sebagai tuan pedang Keluarga Gong kerana bapa dan abangnya telah dibunuh oleh racun yang mematikan. Gong Ziyu yang naif terpaksa menjadi pengganti dan menjalankan perniagaan besar Keluarga Gong.

Jadi bagaimana misi Yun Weishan akan diteruskan? Bolehkah dia menakluki Keluarga Gong di bawah kepimpinan Gong Zhiyu?

4. Scent of Time

  • Penyiar: HBO Asia | Astro Go
  • Barisan Pelakon: Zhou Ye, Wang Xing Yue, Peng Chu Yue, Zhang Yi Ji, Zhao Qing

Hua Qian (Zhou Ye), anak perempuan dari keluarga pembuat ubat terkemuka telah melakukan kesilapan yang sangat teruk kerana tergila-gilakan Zhong Ye Lan (Peng Chu Yue). Sedangkan Zhong Ye Lan tidak menyintainya dan hal tersebut membawa kepada kejatuhan Hua Qian dan keluarganya. Seluruh keluarganya mati terbunuh dan dia turut dijual sebagai hamba.

Nasibnya berubah tiba-tiba, apabila terjaga dari tidurnya telah kembali ke 2 tahun sebelumnya iaitu pada malam perkahwinannya dengan Zhong Ye Lan. Setelah mengalami pengalaman dan keperitan mati dan hidup semula, Hua Qian berazam untuk mengubah nasib yang dilaluinya. Dia ingin menjadi lebih baik serta memperbetulkan semua kesilapan yang pernah dia lalui. Kali ini Hua Qian lebih menghargai keluarga dan sahabatnya serta membantu Zhong Ye Lan untuk bersatu semula dengan kekasihnya Mu Yao (Zhao Qing). 

Dalam usaha untuk membawa kembali keluarganya ke jalan yang benar, barulah terungkai sedikit demi sedikit misteri masa lalu. Ketika itu barulah Hua Qian menyedari kehadiran Zhong Xi Wu (Wang Xing Yue) yang sentiasa melindunginya dalam diam serta bertemu Hua Rong Zhou (Zhang Yi Jie) yang mengutamakan keselamatan Hua Qian melebihi segala-galanya.

Setelah semua ini berubah, apakah yang berlaku sebenarnya? Adakah Hua Qian berjaya menebus dirinya dan rakan-rakan?

5. Mysterious Lotus Casebook

  • Penyiar: iQIYI | Astro Go
  • Barisan Pelakon: Cheng Yi, Zeng Shun Xi, Xiao Shun Yao, Chen Du Ling, Estelle Chen, Rain Wang

Drama Wuxia misteri “Mysterious Lotus Casebook” adalah adaptasi daripada novel “Auspicious Pattern Lotus House” karya Teng Ping.

Li Xiang Yi, seorang ketua Mazhab Sigu mempunyai kemahiran pedang yang unggul dan menjadi simbol cahaya dalam dunia seni mempertahankan diri. Namun, dia tiba-tiba hilang bersama Di Fei Sheng, ketua Mazhab Jinyuan. Kedua mereka kemudian hilang selepas mereka menjadualkan pertempuran di Laut Timur.

Sepuluh tahun berlalu, seorang doktor luar bandar muncul yang mengembara dengan menyeret menara teratai, bernama Li Lian Hua. Dia secara tidak sengaja menjadi ‘terkenal’ dan ditarik ke dunia seni mempertahankan diri yang mana dia tidak mahu ada kaitan lagi. Li Lian Hua dipercayai Li Xiang Yi yang pernah mendominasi dunia seni mempertahan diri dengan ilmu pedang yang unggul. 

Fang Duo Bing, seorang pemuda yang bercita-cita menjadi wira, cuba mendedahkan identiti sebenar  Li Lian Hua kerana merasakan figura itu bukanlah seorang pemuda biasa. Dalam pada itu, Di Fei Sheng juga muncul semula dalam dunia seni mempertahankan diri dan menyedari bahawa Li Lian Hua tidak lain adalah Li Xiang Yi.

Li Xiang Yi, Di Fei Sheng, dan Fang Duo Bing turut terperangkap dalam pelbagai kes yang membuatkan mereka bertiga terlibat antara satu sama lain. Namun, akhirnya mereka bertiga menjadi akrab dan berkawan demi menegakkan keadilan bersama.

6. Wonderland of Love

  • Penyiar: WeTV | iQIYI
  • Barisan Pelakon: Xukai, Jing Tian, Gao Han, Zheng He Hui Zi, Liu Dong Qin, Zhao Jia Min, He Feng Tian

“Wonderland of Love” adalah percintaan sejarah yang berkait dengan peperangan dan politik istana. Ia bermula apabila cucu Maharaja yang tidak mempunyai keinginan untuk merebut takhta, tetapi kerana situasi tertentu dan demi keamanan negara dia terpaksa memperjuangkannya.

Li Ni (Xukai) adalah cucu kandung maharaja yang terpaksa menjaga sempadan dan memikul tanggungjawab untuk menghapuskan pemberontakan yang sedang kritikal ketika itu. Walaupun dia merupakan cucu kandung maharaja, sebenarnya dia tidak pernah disayangi oleh ayahandanya serta kedua-dua abangnya.

Li Ni kemudian menyembunyikan identitinya dan berpuas hati menjadi jeneral yang menjaga keamanan di sempadan, tanpa memperdulikan perebutan kuasa di istana, walaupun dia berpotensi untuk menjadi maharaja seterusnya. Kehidupannya banyak dihabiskan di medan peperangan. Semasa bertarung menentang pemberontakan, Li Ni bertemu Cui Lin (Jing Tian). sebagai pihak lawan. Malah, kedua-duanya mempunyai perancangan tersendiri untuk menghadapi musuh.

Cui Lin adalah seorang yang bercita-cita tinggi dan satu-satunya anak perempuan Jeneral Cui Yi, komander tentera keluarga Cui. Rupa-rupanya Cui Lin adalah seorang wanita yang menyembunyikan identitinya, menggunakan nama Leftenan He.

Mereka kemudian bersama-sama menumpaskan pemberontak di sempadan. Li Ni dan Cui Lin sering bertemu di medan perang dengan keduanya berbeza karakter. Li Ni mempunyai sifat cerdik dan licik, manakala Cui Lin mempunyai sifat licik tetapi jujur. Seringkali bertemu membuatkan hubungan yang bermula dari musuh menjadi pasangan yang bercinta.

7. Destined

  • Penyiar: iQIYI | Astro Go
  • Barisan Pelakon: Bai Jing Ting, Song Yi, Liu Xue Yi, Zhang Hao Wei, Ray Chang, Zhao Zi Qi

“Destined” adalah sebuah drama yang mengangkat tema percintaan, sejarah, komedi, politik dan perniagaan diarahkan oleh Yin Tao yang pernah menggarap drama “The Blood of Youth” dan “Who Rules the World”.

Drama ini mengisahkan Liu Yu Ru (Song Yi), anak seorang saudagar yang hanya mempunyai satu harapan dalam hidup. Harapannya untuk mencari suami yang baik dan berkahwin dengan keluarga yang baik supaya dia dapat melarikan diri dari keluarga sendiri.

Liu Yu Ru bukan suka-suka mahu lari daripada keluarganya. Dia punya alasan dek kerana ibunya sakit, ibu tirinya kejam dan bapanya yang lalai. Oleh itu, dia berlatih bersungguh-sungguh untuk menjadi wanita sempurna yang diidamkan oleh sesiapa sahaja sebagai isteri dan menantu.

Yu Ru fikir pada akhirnya akan berjaya apabila dia berkahwin dengan tuan muda kaya Gu Jiu Si (Bai JingTing). Tetapi Yu Ru menyedari bahawa si suami membencinya dan menganggap dirinya hanya mata duitan. Gu Jiu Si juga lebih suka menghabiskan masanya di rumah pelacuran daripada bersama isterinya.

Yu Ru akhirnya faham bahawa dia mesti menentukan nasibnya sendiri dan tidak boleh bergantung kepada orang lain untuk terus hidup. Dia belajar selok-belok tentang perniagaan dengan ibu mertuanya sehingga akhirnya mendapat tempat dalam keluarga suaminya.

Dia juga berjaya menjinakkan suaminya, dapat melawannya dan mengubahnya daripada playboy yang mabuk menjadi lelaki yang berani dan jujur. Bagaimanakah kesinambungan cerita Liu Yu Ru dalam drama Destined?

8. Love You Seven Times

  • Penyiar: iQIYI  |  Astro Go
  • Barisan Pelakon: Ding Yu Xi, Yang Chao Yue, Zhang Xiao Chen, Xing Ze, Lin Bo Rui, Zhai Xiang Yang

Drama bersiri ini diadaptasi daripada novel Yi Shi Chong Dong, Qi Shi Bu Xiang oleh Jiu Lu Fei Xiang. “Love You Seven Times” mengisahkan tentang seorang gadis bernama Xiang Yun (Chao Yue) yang asalnya awan tetapi bertukar menjadi bidadari selepas Lao Dian menukarnya supaya Xiang Yun boleh bekerja di Yue Lao Pavilion, yang mengurusan aktiviti perjodohan.

Pada suatu hari, Chu Kong (Ding Yuxi), Dewa Perang sesat ke Pavilion Yue Lao dan disalah anggap sebagai penjenayah oleh Xiang Yun. Chu Kong secara tidak sengaja merosakkan kipas Xiang Yun. Mereka berdua bergaduh dan secara tidak sengaja menganggu benang nasib  merah yang menyebabkan kekacauan perkahwinan di tiga dunia.

Sebagai hukuman atas tindakan mereka, maharaja langit menghukum Xiang Yun dan Chu Kong ke dunia fana, dan mereka terpaksa mengalami halangan cinta selama tujuh kitaran hayat, sebelum akhirnya dapat kembali ke syurga.

Jadi, bagaimanakah ujian cinta antara Xiang Yun dan Chu Kong di dunia fana?

10. The Last Immortal

  • Penyiar: WeTV | iQIYI  | Astro QJ Ch308 | Astro Go
  • Barisan Pelakon: Wang An Yu, Zhao Lu Si, Li Yun Rui, Cao Fei Ran, Jia Nai,

“The Last Immortal” adalah sebuah drama yang diadaptasi daripada novel popular karya Xing Ling berjudul ‘Hidden God’. Gu Jin (Wang An Yu) atau identiti sebenarnya adalah Yuan Qi Dewa asli sebenar yang kuasanya telah dimeterai. Dia menjadi anak murid Gunung Daze sebelum kebangkitan kuasa Dewa Asli.

Tanpa sengaja Gujin telah menggangu kelahiran Phoenix Api Feng Yin (Zhao Lu Si) kerana kuasa camuk yang ada dalam dirinya mengakibatkan Roh/Jiwa Pheonix Api tersebut telah bertebaran ke seluruh alam. Jadi Gu Jin telah membuat perjanjian dengan Batu Tanya Dewa untuk mengumpul semula jiwa Pheonix Api tersebut. Semasa dalam tempoh hukuman di Taman Larangan belakang Gunung Daze, Gu Jin menemui telur haiwan unsur air. Dia menjaga telur tersebut sehingga lahir menjadi bentuk haiwan unsur air. Kemudian haiwan unsur air itu bertukar menjadi manusia yang dinamakan Ayin (Zhao Lu Si). Walau bagaimanapun, Ayin merupakan malapetaka cinta Gu Jin yang membawa kematian. Untuk mengelak risiko tersebut, Pertua Gunung Daze mengikat keduanya dalam kontrak Tuan dan Hamba supaya Ayin tak boleh mendatangkan kecederaan kepada Gu Jin.

Gu Jin dan Ayin meneruskan misi mencari dan mengumpul Jiwa Pheonix Api Feng Yin. Semasa pengembaraan ini mereka berkenalan dan bersahabat dengan Hong Yi dari Demon Clan dan Yang Shuang dari Eagle Clan. Dalam proses ini juga Gu Jin dan Ayin jatuh cinta, sekaligus kontrak tuan dan hamba juga terlerai.

Iblis yang disekat di alam lain membuat percaturan untuk melepaskan diri dan telah menyebabkan huru hara melalui proksinya di alam Demon dan juga alam Dewa. Seluruh Gunung Daze telah musnah dan Hong Yi dituduh, manakala Ayin pula dituduh subahat. Untuk mengekalkan keamanan Gu Jin yang ketika ini jiwa Dewa Aslinya telah terbuka, Gu Jin telah menjatuhkan hukuman ke atas Ayin. Rancangannya adalah untuk menyelamatkan Ayin tetapi tidak berjaya kerana Hua Shu puteri puak Merak  lebih dahulu telah menghukum Ayin.

Ayin jatuh ke Alam Roh untuk kelahiran semula berulang kali selama 1000 tahun di Alam Fana / Manusia. Gu Jin atau Yuan Qi menunggu kelahiran semula Ayin tanpa menyedari Ayin adalah salah satu jiwa Pheonix Api Feng Yin yang dicari. Jadi, apabila tamatnya ujian alam fana tersebut, jiwa Pheonix Api Feng Yin bersatu dan dilahirkan sebagai Feng Yin Ratu Phoenix Api. 

Bagaimanakah Yuan Qi dapat bersatu semula dengan Feng Yin setelah apa yang berlaku?

10. The Starry Love

  • Penyiar: Youku  | Astro Go
  • Barisan Pelakon: Chen Xing Xu, Li Lan Di, Chen Hai Liang, He Xuan Lin, Cao Jie

“The Starry of Love” adalah drama adaptasi dari novel ‘Xing Lou Ning Cheng Tang’  oleh Yi Dung Jun Hua. Drama  ini mengisahkan seorang ratu dari suku manusia yang melahirkan sepasang kembar perempuan. Qing Kui (He Xuan Lin), kakak yang bersifat lembut dan baik serta disayangi semua orang. Ye Tan (Li Lan Di), si adik yang bersifat licik tetapi bijak dan panjang akal tapi tidak disukai oleh semua orang. Dia dikatakan jahat (evil) dan pembawa malang kerana bondanya mati ketika melahirkannya.

Untuk keseimbangan 4 alam iaitu Alam Dewa, Alam Demon, Alam Manusia dan Alam Haiwan, Raja Alam Manusia menjodohkan puteri kembar tersebut iaitu Qing Kui (kakak) dengan Alam Dewa dan Ye Tan (adik) dengan Alam Demon. Manakala Alam Haiwan memilih untuk berkecuali dan tidak terlibat dengan peperangan antara alam.

Putera Alam Dewa Shoudian Youqin (Chen Xing Xu) yang ditunangkan dengan si kakak, bertapa ribuan tahun untuk membuang emosi kerana dia mempunyai tubuh badan emas yang boleh dibuat meterai perlindungan alam dari makhluk Iblis. Manakala 3 orang Putera Alam Demon belum ditentukan siapa yang akan ditunangkan dengan si adik. Tiga orang putera tersebut perlu bertanding untuk menjadi pewaris takhta baru dapat ditentukan siapakah yang layak. 

Putera Dewa turun awal ke Alam Manusia kerana dirinya dapat mengesan unsur Iblis. Putera Ketiga Demon turut turun awal ke Alam Manusia kerana dia merancang untuk membunuh Putera Sulong. Puteri Ye Tan (adik) turut merayau-rayau dikalangan rakyat jelata dengan tujuan untuk mencari pembunuh upahan yang boleh membunuh Putera Dewa kerana dia kasihankan kakaknya yang harus berkahwin dengan Putera yang tiada emosi. Tanpa disengajakan, orang yang ditangkap untuk tugas tersebut adalah Putera Dewa. YeTan turut memperkenalkan dirinya sebagai si Kakak iaitu Puteri Qing Kui. 

Pada keesokkan hari, ketika tandu di bawa untuk diserahkan kepada rombongan Alam Dewa dan Alam Demon, Putera Ketiga Demon telah menukar puteri-puteri di dalam tandu Dewa dan tandu Demon tersebut. Ini kerana dia menyangka Puteri Yetan adalah Puteri Qing Kui yang menjadi saksi percubaan pembunuhan yang gagal tersebut. Putera Dewa pula menyangka bahawa orang yang dilindunginya pula adalah si kakak dan ini menyebabkan pengantin perempuan tertukar. Si adik, Ye Tan terus menyamar sebagai Qing Kui dan mengahwini Putera Dewa Shoudian Youqin. Kerana sifat Ye Tan yang nakal seluruh istana kayangan menjadi meriah dan dia juga berjaya menyentuh emosi Shoudian Youqin. Mereka jatuh cinta walaupun Shoudian Youqin sedar yang itu adalah si adik. Mereka merahsiakannya.

Walau bagaimanapun Shoudian Youqin mempunyai misi untuk memeterai alam dengan tubuh emas miliknya. Dia berjaya dalam usaha untuk meterai, tetapi jiwa/rohnya telah bertebaran ke seluruh alam menjadi 3 individu berbeza. Walaupun misi mencari 3 individu tersebut adalah sesuatu yang dilarang, Ye Tan tetap mencarinya. Ye Tan perlu membuatkan 3 individu tersebut jatuh cinta dengan dirinya untuk mengumpul jiwa/roh Shoudian Youqin dan bergabung menjadi satu kerana hanya itu persamaan yang ada.

Ye Tan dibantu oleh kakaknya yang terus menyamar menjadi dirinya di Alam Demon dengan Putera Ketiga Demon dan juga sahabat baiknya dari Alam Haiwan. Tiga individu atau bahagian tersebut adalah Lamu, seorang yang polos tetapi memiliki tenaga api yang sukar dikawal, kedua Mei YouQing; pemilik agensi pembunuh upahan dan ketiga Wenren; pemilik Pavilion Warna-Warni di mana tempat orang berhibur dengan tarian-tarian dan menghayati sastera dan seni. Dia juga merupakan seorang yang romantik.

Bagaimanakah usaha Ye Tan, kakaknya serta kawan-kawan mereka untuk memastikan 3 individu tersebut jatuh cinta dengan Ye Tan?

11. Back From The Brinks

  • Penyiar: Viu | Youku
  • Barisan Pelakon: Neo Hou, Zhou Ye, Yang Rong, Riley Wang, Chen Xin Yu

“Back From The Brink” merupakan drama yang diadaptasi dari novel popular karya Jiu Lu Fei Xiang berjudul Hu Xin.

Tianyao (Hou Minghao) ialah naga merah yang berusia 100 tahun. Pada hari perkahwinannya dengan Suying (Yang Rong), Tianyao hampir dibunuh oleh Suying yang mahu mengambil sisik pelindung jantungnya untuk membuat jubah pelindung untuk lelaki yang dicintainya. Tianyao kemudiannya melemparkan sisiknya itu supaya Suying tidak berjaya mendapatkannya. Suying yang marah kemudian membahagikan tubuh Tianyao dan mencampakkannya ke 4 arah dengan meterai 4 unsur itu.

20 tahun kemudian, jiwa Tianyao, yang dilepaskan dari meterai, bertemu dengan Yanhui (Zhou Ye), yang secara tidak sengaja mendapat sisik pelindung jantung Tianyao. Walau bagaimanapun, Yanhui menghidap penyakit jantung kronik jadi jika Tianyao mengambil sisik pelindungnya, Yanhui akan mati. Tianyao dan Yanhui akhirnya melakukan pengembaraan bersama untuk mendapatkan kembali seluruh tubuh Tianyao supaya Yanhui boleh hidup tanpa bantuan sisik pelindung jantung.

12. Story of Kunning Palace

  • Penyiar: iQIYI  | Astro Go
  • Barisan Pelakon: Bai Lu, Zhang Linghe, Wang Xing Yue, Zhou Jun Wei, Liu Xie Ning,

“Story of Kunning Palace” ialah sebuah drama yang diadaptasi daripada novel web ‘Kun Ning’ oleh Shi Jing. Drama ini diarahkan oleh pengarah Zhu Ruibin

Drama ini mengisahkan Jiang Xuening (Bai Lu) yang telah berusaha keras untuk menjadi permaisuri. Bagaimanapun, usahanya seperti sia-sia kerana dia terpaksa membunuh diri semasa pemberontakan istana.

Hal ini berlaku selepas Raja Shen Jie diracun. Jadi, Jiang Xuening kini hanya bermimpi untuk melepaskan diri daripada tampuk kuasa dan mengawal hidupnya sendiri. Di tengah-tengah situasi ini, sesuatu berlaku yang seperti memberinya peluang kedua untuk mengubah nasibnya dengan tidak memasuki Istana.

Walau bagaimanapun, dia melakukan kesilapan dan sebaliknya menyertai pekerja istana sebagai tutor, sementara juga menjadi pelajar tuan diraja Xie Wei (Zhang Linghe), yang sebenarnya adalah individu  yang paling dibenci.

Pada masa yang sama, Jiang Xuening secara rahsia merancang untuk menghentikan Majlis Mahkota Darah Yan Lin (Zhou Junwei) yang akan datang untuk menyelamatkan nyawa keluarga Yan. Selepas upacara Mahkota Darah, Jiang Xuening secara tidak sengaja terlibat dalam rancangan Pembesar Istana untuk menghapuskan pemberontak Raja Pingnan, dan menyusup ke kem musuh bersama Zhang Jie (Wang Xingyue).

Apabila musuh Kerajaan Yue datang menyerang, Puteri Shen Zhiyi (Liu Xiening) dengan tegas memulakan jalan menuju kedamaian. Jadi, Jiang Xuening cuba pergi ke Utara untuk memastikan keselamatan Shen Zhiyi, kawannya.

Jiang Xuening berdepan pelbagai krisis ketika berada di Utara dan di tengah-tengah situasi itu, Xie Wei melindungi Jiang Xuening walaupun berisiko mencederakan dirinya sendiri. Keadaan ini membuatkan mereka berdua semakin menyayangi antara satu sama lain.

Bagaimanapun, konspirasi yang lebih besar secara muncul perlahan-lahan dan mendedahkan kebenaran insiden Raja Pingnan 20 tahun lalu. Akhirnya, Jiang Xuening dan Xie Wei bekerjasama untuk membongkar kebenaran tahun itu.

Drama Moden

1. Hidden Love

 

  • Penyiar: Netflix | Youku
  • Barisan Pelakon: Chen Zhe Yuan, Zhao Lu Si, Victor Ma,

“Hidden Love” adalah siri yang diadaptasi dari web novel berjudul Secretly, Secretly; But Unable to Hide It. Drama romantis ini menceritakan kisah cinta Duan Jia Xu dan Sang Zhi yang terhalang kerana perbezaan usia.

Ia mengisahkan tentang Sang Zhi (Zhao Lusi) yang jatuh cinta dengan kawan baik abangnya yang 5 tahun lebih tua daripadanya. Sang Zhi pertama kali berkenalan dengan Duan Jia Xu (Chen Zhe Yuan) ketika dia berumur 14 tahun.  Biarpun masih muda, Sang Zhi tertarik dan mempunyai perasaan istimewa terhadap kawan baik abangnya itu. Bahkan, dia akan sedaya upaya untuk mengikut abangnya ke mana-mana apabila mengetahui Jia Xu turut serta.

Duan Jia Xu juga sentiasa baik dan melindungi Sang Zhi kerana dia menganggapnya seperti adik sendiri. Mereka bertemu semula selepas Sang Zhi menamatkan pengajian di sekolah menengah. Perasaan Sang Zhi terhadap Duan Jia Xu tetap kuat. Walaupun terputus hubungan seketika kerana salah faham, Sang Zhi dan Duan Jia Xu bertemu semula apabila Sang Zhi melanjutkan pengajian di universiti, manakala Jia Xu sudahpun berada dialam pekerjaan.

Ketika itu, Sang Zhi cuba untuk mengelak bertemu Jia Xu kerana lelaki itu cuma menganggapnya sebagai adik dan membuatnya terluka biarpun hatinya masih setia untuk Jia Xu. Namun, ketika itu Duan Jia Xu tidak lagi melihat Sang Zhi sebagai adik perempuan tetapi seorang wanita yang menawan. Pada mulanya, mereka merasakan hubungan mereka suatu yang mustahil, tetapi Duan Jia Xu memutuskan untuk mendekati Sang Zhi bukan atas kapasiti adik-abang, tetapi sebagai lelaki dan perempuan.

Namun, kisah cinta mereka tidak seperti yang diharapkan, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi antaranya masalah keluarga dan jarak umur.

2. Here We Meet Again

  • Penyiar: WeTV | Astro Go
  • Barisan Pelakon: Zhang Bin Bin, Wu Qian, Huang De Yi, Xia Ruo Yan

“Here We Meet Again” merupakan hasil adaptasi dari sebuah novel berjudul San Fen Ye yang ditulis oleh Er Dong Tu Zi.

Drama ini mengisahkan tentang seorang cucu daripada sebuah syarikat besar, Donghe Group yang diberikan tugasan untuk menyelamatkan cawangan mereka di Xi’an dari ditutup. Tanpa diduga, Xiang Yuan bertemu cinta pertamanya sewaktu sekolah menengah, Xu Yanshi. 

Berbalik di alam persekolahan, Xiang Yuan mengejar cinta Yanshi tanpa segan dan diketahui seisi sekolah. Namun bertemu di alam dewasa, Xiang Yuan cuba menyelamatkan syarikat manakala Yanshi tenggelam dalam masalah syarikat yang terlalu banyak. 

Kerana selalu diperlekehkan Xu Yanshi tetap dengan cita-citanya untuk menjadi seorang jurutera navigasi. Manakala Xiang Yuan dalam menyelesaikan masalah cawangan, dia banyak belajar menyelesaikan masalah tanpa bergantung kepada sesiapa pun termasuk menggunakan hubungan istimewanya. Kedua mereka bersama dalam mengejar impian masing-masing dalam mengekalkan perhubungan yang lama terputus dan akhirnya mewujudkan perasaan cinta antara mereka.

3. Only For Love

  • Penyiar: Viu 
  • Barisan Pelakon: Dylan Wang, Bai Lu, Miles Wei, Shen Yu Jie, Liu Dong Qin, Jiang Pei Yao

“Only For Love” diadaptasi daripada novel web berjudul Accidental Love oleh Qiao Yao dan diarahkan oleh pengarah Guo Hu. Drama ini memaparkan kisah cinta yang penuh liku antara seorang CEO terkenal dengan wartawan sebuah akhbar kewangan terkemuka di China.

Zheng Shu Yi adalah seorang wartawan yang berazam untuk mendapatkan berita halaman depan (front-page story) dan telah menulis banyak laporan melalui penyelidikan mendalamnya mengenai pelbagai industri. Oleh itu, dia benar-benar berusaha keras mendapatkan wawancara eksklusif bersama Shi Yan, CEO muda yang paling hangat diperkatakan baru-baru ini. Shi Yan seorang yang bijak dan bercita-cita tinggi. Beliau mempunyai misi untuk membantu syarikat permulaan di China. 

Zheng Shu Yi dan Shi Yan bertemu buat kali pertama apabila Shu Yi cuba menemu bual Shi Yan. Namun pertemuan mereka tidak berjalan lancar kerana salah faham antara satu sama lain. Walaupun begitu, Shu Yi tidak berputus asa. Dia terus cuba mendekati Shi Yan dan mendapat berita eksklusif daripadanya.

Masa berlalu, Shu Yi dan Shi Yan mula mengenali satu sama lain dengan lebih rapat. Mereka sedar mereka mempunyai banyak persamaan dan mula jatuh cinta.

4. Love Me Love My Voice

  • Penyiar: WeTV | iQIYI | Astro QJ Ch308  |  Astro Go
  • Barisan Pelakon: Tan Jianci, Zhou Ye, Hou Wen Yuan, Yang Xi Zi, Chen Hao Lan, Cao En Qi

Drama ini mengangkat tema muzik dan percintaan berdasarkan novel “Really, Really Miss You” karya Mo Bao Fei Bao. Kisah drama ini fokus pada dua watak iaitu Gu Sheng dan Mo Qing Cheng.

Kedua-duanya mempunyai nama lain sebagai nama samaran dalam bidang muzik mereka. Gu Sheng merupakan seorang mahasiswa yang mempunyai identiti lain iaitu Sheng Sheng Man, dan dalam diam mencipta muzik untuk beberapa projek termasuk drama sejarah.

Manakala, Mo Qingcheng merupakan seorang doktor dan dikenali ramai dengan nama Qiang Qing Ci, seorang pelakon suara popular  dan menjadi pujaan ramai, termasuk Gu Sheng. Dengan suaranya yang tersendiri, Mo Qingcheng dapat menghipnotis ramai orang, termasuk Gu Sheng, yang mempunyai harapan untuk bertemu dengan pelakon itu.

Pada suatu hari Gu Sheng akhirnya bertemu dengan idolanya, Mo Qingcheng. Masakan tidak, kerana Gu Sheng amat mengenali suara Mo Qingcheng. Pertemuan ini memberi peluang kepada mereka berdua untuk bekerjasama. Sehingga perlahan-lahan hubungan mereka berdua berubah daripada sekadar rakan sekerja kepada hubungan yang romantik.

5. South Wind Knows

  • Penyiar:  Youku | Astro AEC Ch303  | Astro Go
  • Barisan Pelakon: Cheng Yi, Zhang Yun Xi, Yan Xiao, Fu Xin Bo, Li Xin Ze, Liang Jing Xian

“South Wind Knows” yang membawakan genre melodrama misteri ini diadaptasi daripada novel terkenal karya Qi Wi dengan tajuk yang sama. Dalam drama ini Cheng Yi melakonkan watak seorang ahli botani bernama Fu Yunshen, manakala Zhang Yuxi akan melakonkan watak Zhu Jiu yang merupakan seorang doktor. Keduanya bertemu secara tidak sengaja sehingga membibitkan cinta dan saling menjadi penyembuh antara satu sama lain.

Drama ini mengisahkan seorang ahli botani bernama Fu Yunshen yang bertemu dengan seorang doktor wanita cantik bernama Zhu Jiu. Mereka berdua berkenalan secara kebetulan ketika melakukan misi kemanusian di sebuah kampung terpencil. Tidak hanya itu, kedua mereka juga turut mencari beberapa tumbuhan herba yang berguna untuk menyelamatkan nyawa ramai orang.

Selepas menemui tumbuhan herba yang dicarinya, Fu Yunshen kembali ke China untuk mengembangkan tumbuhan tersebut menjadi ubat.  Namun, tidak lama kemudian dia mendapati bahawa abang tirinya, Fu Xi Zhou, cuba memaksimakan keuntungan dengan menggunakan tumbuhan herba ini untuk kegunaan peribadinya dengan menjadikan tumbuhan ubatan itu menjadi satu siri kosmetik herba Cina.

Suatu ketika, Fu Yun Shen mengalami kemalangan ngeri yang menyebabkan dia cedera parah dan menghentikan pembangunan tumbuhan herba. Bukan itu sahaja, hubungan Fu Yun Shen dan Zhu Jiu juga mengalami perselisihan faham sehingga menyebabkan hubungan mereka menjadi renggang. Tambahan Zhu Jiu tidak mengetahui apa sebenarnya yang terjadi.

Masa berlalu, sehingga Fu Yun Shen dan Zhu Jiu akhirnya bersama semula setelah berjaya menghadapi kekecewaan. Sewaktu menghampiri majlis perkahwinan, Zhu Jiu secara tidak sengaja menemui petunjuk tentang kematian ibu bapanya.

Seolah-olah takdir mempermainkan mereka, rupa-rupanya generasi terdahulu telah menghancurkan hubungan yang telah dibina mereka dengan penuh jerit perih. Namun begitu, kali ini Fu Yunshen tidak akan berdiam diri dan dia akan cuba mengekalkan percintaannya dengan Zhu Jiu, walau apa pun yang berlaku pada masa hadapan.

6. The Love You Give Me

  • Penyiar: WeTV | Astro Go
  • Barisan Pelakon: Wang Zi Qi, Wang Yu Wen,

“The Love You Give Me” mengisahkan tentang perjalanan cinta Xin Qi (Wang Ziqi) dan Min Hui (Wang Yuwen) yang bertemu semula setelah berpisah selama 5 tahun akibat perselisihan faham yang sedikit sebanyak membibitkan rasa benci antara mereka.

Lima tahun lalu, Min Hui secara tidak sengaja jatuh cinta dengan seorang pemuda bernama Xin Qi. Tetapi perkara di antara mereka menjadi rumit apabila Min Hui menyamar sebagai kawan Xin Qi yang telah lama hilang. Apabila Xin Qi mengetahui kebenaran, dia memutuskan untuk menamatkan semua hubungan dengan Min Hui.

Selepas lima tahun, mereka bertemu semula diacara perniagaan dalam keadaan yang tidak selesa. Ketika itu Min Hui bekerja sebagai pembantu R&D disebuah firma teknologi dan Xin Qi juga telah mencipta nama sebagai CEO firma pelaburan. Memutuskan bahawa takdir telah menyatukan mereka atas sebab tertentu, Xin Qi ambil kesempatan itu untuk melepaskan semua kemarahan dan pengkhianatannya sebelum ini kepada Min Hui.

Semasa pemeriksaan kesihatan rutin Xin Qi yang menghidap penyakut jantung, dia secara tidak sengaja bertemu Min Hui, anaknya, yang sedang berinteraksi dengan seorang doktor muda dan serta-merta membuatnya cemburu.

Tetapi takdir juga mendedahkan bahawa Min Hui mempunyai seorang anak lelaki – Quan Quan,  yang menghidap penyakit jantung yang sama seperti Xin Qi. Hal ini membuatkan dia sedar melalui beberapa siri peristiwa bahawa Quan Quan adalah anak kandungnya.

Selepas beberapa siri perbualan hati ke hati, penjelasan yang terungkai, dan juga susunan hidup yang unik, bolehkah mereka berdua memaafkan satu sama lain dan diri mereka sendiri atas kesilapan yang mereka berdua lakukan pada masa lalu dan menghidupkan semula cinta mereka, kini sebagai keluarga yang sempurna sepenuhnya?

7. Bright Eyes in the Dark

  • Penyiar: iQIYI | Astro Go
  • Barisan Pelakon: Johnny Huang, Zhang Jing Yi, Tang Xiao Tian, Wang Zi Qi, Zhang Linghe, Lu Si Yu

“Bright Eyes in the Dark” mengangkat tema aksi, misi menyelamat dan badan beruniform ini diarahkan oleh Tian Yi (“Chasing the Undercurrent”) dan Yi Yong (“Chasing the Undercurrent”) dan ia mengambil inspirasi tegar menentang kebakaran yang dicipta oleh gold medal production team “Chasing the Undercurrent.” Drama 40 episode ini adalah adaptasi daripada novel bertajuk Ta Cong Huo Guang Zhong Zou Lai karya Er Dong Tu Zi

Lin Luxiao (Johnny Huang) memiliki kemahiran memadam kebakaran yang luar biasa dan berpengalaman luas. Beliau merukan ialah ketua Stesen Gerakan Khas di Jalan Heping di Bandar Beixun. Kerana takdirnya, dia dipilih untuk menjadi pengajar bagi sebuah rancangan realiti yang bertujuan untuk mempromosikan pengetahuan tentang memadam kebakaran.

Semasa rancangan itu, Lin Luxiao secara kebetulan bertemu dengan Nan Chu (Zhang Jingyi), seorang penari yang telah diselamatkannya daripada kebakaran beberapa tahun lalu. Tanpa diduga, Nan Chu menyimpan perasaan terhadap Lin Luxiao, tetapi Lin Luxiao cuba menjauhkan diri kerana merasakan profesionnya sangat hampir dengan bahaya yang akan membuatkan Nan Chu menyesalinya.

Generasi baharu bomba yang muda dan berani, seperti Shao Yi Jiu (Li Mingjun) dan Qin Shi Quan (Chen Kang), serta Lou Mingye (Wang Ziqi), yang membawa teknologi peralatan canggih dari luar negara, juga telah kembali ke Jabatan Bomba. Anggota bomba dari generasi yang berbeza bekerjasama dalam operasi menyelamat yang melibatkan kebakaran, gempa bumi dan misi penyelamatan udara, sehingga meningkatkan tahap keselamatan kebakaran di Beixun City.

Sehingga akhirnya Lin Lu Xiao menyedari perasaannya terhadap Nan Chu dan tidak mahu berjauhan darinya, tetapi kerja menyelamat perlu diutamakan apabila kebakaran besar melanda bandar Beixun.

9. I May Love You

  • Penyiar: WeTV
  • Barisan Pelakon: Miles Wei, Huang Yi Ring

“I May Love You” membawakan genre komedi romantik yang diadaptasi daripada webtoon popular dengan tajuk yang sama, oleh Mo Yan Chuan.

Drama ini berkisarkan tentang seorang gadis yang mempunyai profesion sebagai penulis skrip, bernama Tang Xin (Huang Ri Ying) dan telah memendam perasaan terhadap bosnya, Tang Yu (Miles Wei). Malangnya, cinta Tang Xin tidak terbalas, kerana Tang Yu menyukai kawannya. Sehingga suatu hari Tang Xin mendapat tahu bahawa kawan baiknya menolak cinta Tang Yu.

Pada masa itu, Tang Xin dengan berani mengaku cintanya kepada Tang Yu yang telah lama dipendamnya. Malangnya, selepas Tang Xin meluahkan perasaannya, dia terus ditolak mentah-mentah oleh Tang Yu. Malah Tang Yu juga menyatakan bahawa tidak ada kemungkinan untuk mereka bersama. Dengan perasaan yang cukup malu, Tang Xin, akhirnya memutuskan untuk meletakkan jawatan daripada syarikat Tang Yu.

Selepas Tang Xin pergi, Tang Yu hanya menyedari satu perkara, yang akhirnya membuat Tang Yu kembali mengejar cinta Tang Xin.

10. A Date with the Future

  • Penyiar: WeTV
  • Barisan Pelakon: William Chan, Zhang Ruo Nan, Ren Hao, Luo Qiu Yun

“A Date with the Future” mengisahkan tentang hubungan romantis antara seorang ahli bomba dan seorang wartawan merangkap jurulatih anjing profesional.

Sedekad lalu, gempa bumi yang dasyat hampir meragut nyawa seorang gadis sekolah menengah bernama Xu Lai. Xu Lai bagaimanapun telah diselamatkan oleh seorang anggota bomba bernama Jin Shi Chuan dan anjing penyelamatnya Zhui Feng. Untuk menenangkan Xu Lai ketika itu, Jin Shichuan berjanji untuk bertemu semula dengan Xu Lai pada masa hadapan. Peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati Xu Lai.

10 tahun kemudian, Jin Shi Chuan telah dinaikkan pangkat kepada kapten. Sementara itu, Xu Lai pula bekerja sebagai wartawan. Secara tidak sengaja, Xu Lai bertemu semula dengan Jin Shichuan disebuah lokasi kejadian kemalangan. Namun, Jin Shichuan tidak mengenali Xu Lai pada masa itu. Jin Shichuan malah menganggap Xu Lai sebagai wartawan tidak bermoral yang mengambil kesempatan atas kesedihan dan penderitaan orang lain demi sebuah berita.

Xu Lai tidak berputus asa, dia cuba membuktikan bahawa dia seorang wartawan yang berkebolehan dan berguna di lokasi bencana. Apabila pasukan mencari dan menyelamat anjing ditubuhkan, dek disebabkan Xu Lai berkelayakkan sebagai jurulatih anjing profesional, Xu Lai akhirnya menjadi rakan sejawat Jin Shichuan.

Sebagai wartawan dan pasukan penyelamat, Xu Lai dan Jin Shichuan sering bertemu di barisan hadapan bahaya yang mengancam nyawa. Perlahan tetapi pasti, hati Jin Shichuan akhirnya terbuka untuk Xu Lai sehingga membibitkan perasaan cinta.

Jadi, inilah pilihan editor untuk Cdrama sepanjang 2023. Mana satu drama kegemaran korang?

 

Disediakan : Dida & Eyka

loading...