[Review] BTS Monuments: Beyond the Star Episode 1 & 2 – Mengimbau kenangan di awal kemunculan BTS

BTS Monuments: Beyond The Star episod 1 dan 2 akhirnya telah bersiaran menerusi Disney+ Hotstar. Siri dokumentari ini berkisarkan tentang perjalanan serta perjuanga Ikon Pop Abad Ke-21, BTS atau Bangtan Boys yang merupakan kumpulan yang tidak dikenali dari sebuah agensi kecil tetapi mampu menjadi bintang sendiri.

BTS dianggotai oleh tujuh ahli iaitu RM (ketua kumpulan), Jin, Jimin, Suga, J-Hope, V dan Junkook. BTS mencapai status global hanya beberapa tahun yang lalu walaupun memulakan kerjaya pada tahun 2013. Dalam siri dokumentari ini, mereka berkongsi pengalaman awal mereka apabila mereka menyertai sebuah syarikat hiburan kecil, Big Hit Entertainment (kini HYBE).

BTS Monuments: Beyond The Star episod 1: Permulaan dan cabaran ketika pandemik Covid-19

Dalam episod pertama “BTS Monuments: Beyond The Star”, kisah-kisah BTS di awal debut mereka yang tidak pernah didedahkan dan penuh dengan air mata dipersembahkan dengan cukup baik. Kisah ini bermula dengan pandangan ahli kumpulan terhadap seni khususnya muzik dan tarian yang menjadi mata pencarian mereka.

BTS mempunyai harapan yang kuat tentang seni, mereka percaya pada kuasa seni untuk mengubah dunia. RM selaku ketua kumpulan turut menjelaskan pandangan bahawa kumpulan yang dianggotai tujuh ahli ini boleh menjadi sensasi dunia. Menurutnya, ada beberapa faktor, namun yang paling penting ialah muzik boleh merentasi bahasa, kewarganegaraan dan bangsa.

Pencapaian BTS diperingkat global seperti di Billboard dan kejayaan konsert BTS – Map Of The Soul di 17 bandar dan 7 negara berbeza juga merupakan pembukaan yang menarik. Namun disebabkan dunia dilanda pandemik Covid-19 ia sekaligus mengganggu industri muzik tempatan dan luar negara. Siri jelajah mereka juga terpaksa dibatalkan.

Tidak dapat membuat persembahan dan bertemu peminat, kumpulan itu kembali ke akar umbi mereka dan cuba mencari semula diri mereka. Sejujurnya, sungguh menyegarkan melihat pandangan setiap ahli semasa zaman permulaan mereka. Semasa Suga hampir berputus asa, V menyoal dirinya sendiri dan Jungkook tetap berharap. Malah, semasa mereka menyelam kembali ke hari debut mereka, anda menyedari bahawa walaupun semua ahli BTS mungkin telah matang, mereka masih tujuh orang lelaki yang mempunyai impian besar.

Di episode pertama juga turut memaparkan bagaimana ahli BTS berdepan dengan pandemik  Covid-19. Kemudian penceritaan membawa penonton kembali ke nostalgia 10 tahun lalu, pada tahun 2013 yang merupakan tahun pertama BTS.

Kisah-kisah permulaan debut BTS juga turut didedahkan, showcase pertama mereka, bagaimana ahli direkrut dan kisah kumpulan itu, yang sebenarnya tidak ditubuhkan untuk menjadi idola, turut menarik perhatian. Bang Si Hyuk, yang mempertemukan kesemua mereka juga memberitahu mengapa BTS perlu debut tidak kira apa yang berlaku pada masa itu. Karakter dan keperibadian ahli di mata Bang Si Hyuk turut terbongkar, di mana ada cerita yang mungkin ramai peminat tidak tahu atau pernah dengar.

Aktiviti BTS pada awal debut mereka, seperti sambutan Hari Lahir dan menghantar Jungkook ke sekolah menengah pada hari pertamanya, juga menjadikan dokumentari “BTS Monuments: Beyond The Star” sangat unik. Air mata J-Hope yang mengalir pada 2015 apabila si ayah memberi kata-kata nasihat dan semangat kepada si anak. Nah, momen ini cukup membuatkan anda tersentuh hati dan terharu.

Saat BTS menerima anugerah buat kali pertama juga disampaikan dengan cukup baik, kerana ini merupakan langkah pertama kumpulan itu menjadi bintang yang bersinar. Komen dari Myung Seok Kan (Penulis Beyond The Story) juga melengkapkan kisah permulaan perjalanan hebat kumpulan ini.

Pada 2013, tahun BTS debut, HYBE bukanlah agensi besar seperti sekarang. BTS adalah kumpulan idola kecil daripada syarikat kecil. Dalam erti kata lain, mereka debut dalam situasi yang sukar.

– Myung Seok Kan

Antara sebab-sebab mengapa BTS menghadapi situasi sukar pada awal debut mereka juga turut dipaparkan seperti bilik latihan sementara dan penginapan ketika mereka mula-mula datang ke Amerika telah direkodkan dengan agak baik. Episod pertama “BTS Monuments: Beyond The Star” berjaya menunjukkan sisi kumpulan pada awal penampilan sulung mereka yang mempunyai impian dan aspirasi besar melalui muzik dan membuka pintu rasa ingin tahu untuk episod berikutnya.

Episode 2- Kisah perjalanan serta pengalaman pahit manis mereka dari zaman permulaan kumpulan itu sehingga mendapat pengiktirafan global

Dalam episode 2 ini, “BTS Monuments: Beyond The Star” cuba memaparkan jatuh bangun Jin, Jimin, Suga, Taehyung, RM, J-Hope dan Jungkook dalam meneruskan kerjaya mereka. Penonton  akan disajikan dengan dokumentari yang menunjukkan titik perubahan untuk kumpulan yang tidak dikenali dari sebuah syarikat kecil untuk menjadi BTS sensasi global. Pelbagai konsert yang telah diadakan oleh BTS dalam tempoh lima tahun sejak penampilan sulung mereka dipersembahkan dengan cantik.

Setiap kisah dan pengakuan ahli BTS membawa penonton merasai pelbagai emosi apabila tangisan mereka turut dipaparkan menerusi episode ini. Setiap ahli turut membincangkan situasi yang mereka hadapi di mana stigma atau pandangan umum terhadap kumpulan idola ketika itu agak negatif. Suga turut menjelaskan bahawa ketika itu pandangan terhadap idol adalah sangat negatif dan kasar.

Suatu masa dahulu kami mengalami masa yang sangat menyeksakan. Kami berdepan dengan berbagai kontroversi yang tidak masuk akal. Kami berdepan dengan situasi seumpama ini buat sekian lamanya sehinggakan kami rasa  tertekan, terdesak dan berang. Saya rasa peminat juga mungkin mengalami perkara yang sama.

– Suga

Menyedari BTS semakin mendapat kelebihan, Bang Si Hyuk selaku ketua pengurusan tidak mahu artisnya bersikap sombong dan meninggi diri. Dia seringkali memberikan mesej berharga untuk tidak melupakan muzik, peminat dan matlamat mereka dalam muzik.

Episode 2 “BTS Monuments: Beyond The Star” juga memberikan gambaran keseluruhan tentang dinamik cara mereka memperbaharui kontrak pertama mereka yang penuh dengan liku-liku. Titik di mana BTS mengalami kebosanan kerana keletihan fizikal dan mental juga direkodkan dengan cukup baik. Episode kali ini benar-benar mendedahkan saat BTS mencapai kemuncak kegemilangan mereka di mana mereka terpaksa berkorban untuk merealisasikan setiap impian yang ingin mereka kejar.

Sejujurnya siri dokumentari ini membawa penonton bersama merasai pengalaman kesemua ahli BTS dan secara tidak langsung dapat mengimbau kembali momen-momen yang penuh dengan kisahnya tersendiri. Jadi jangan lupa untuk tonton “BTS Monuments: Beyond The Star” dengan strim Disney+ Hotstar.

loading...