Korea Travel Fest 2023 Bakal Memikat Hati Semua Sempena Tahun Melawat Korea 2023 & 2024

Sedia untuk terokai pelbagai aktiviti mengenai Korea di Korea Travel Fest di KL pada 28 dan 29 Oktober ini

Kuala Lumpur, 9 Oktober 2023 – Korea Selatan, negara yang pernah dikenali sebagai “Land of the Morning Calm,” telah menawan hati, minda, jiwa dan selera jutaan peminat dari pelbagai peringkat umur di serata dunia. Sehubungan dengan ini, Korea Travel Fest 2023, yang dijadualkan berlangsung pada 28 dan 29 Oktober di Pusat Konvensyen KLCC di Kuala Lumpur, bersedia untuk meraikan segalanya tentang negara Korea! Dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea; bersama Organisasi Pelancongan Korea (Korea Tourism Organization) dan disokong oleh Kedutaan Republik Korea di Malaysia, pesta pelancongan ini bakal menyajikan segalanya yang berkaitan dengan budaya Korea Selatan khusus untuk warga Malaysia sempena Tahun Melawat Korea 2023 dan 2024.

“Korea Travel Fest bukan sebuah acara biasa; ia adalah acara sambutan yang bakal membawa pengalaman Korea yang mengasyikkan ke Kuala Lumpur,” kata Encik Moon Sangho, Pengarah Urusan Pejabat Organisasi Pelancongan Korea di Malaysia.

“Minat yang mendalam dan semangat yang ditunjukkan oleh warga Malaysia terhadap budaya Korea Selatan membuktikan bahawa pengaruh muzik, drama dan penceritaan dapat mengeratkan lagi hubungan antara dua negara. Melalui pesta ini, kami berharap dapat meningkatkan lagi pertukaran budaya antara kedua-dua negara kita, membolehkan warga Malaysia menerokai budaya Korea Selatan atau K-Culture yang kaya melalui K-Beauty (Kecantikan), K-Food (Makanan), K-Content (Aktiviti) dan K-Travel (Pelancongan). Kami berharap acara ini dapat memberikan warga Malaysia gambaran sebenar tentang K-Culture Korea Selatan dan seterusnya menyemarakkan minat mereka untuk melancong ke Korea!” jelas beliau.

Sebuah acara besar-besaran untuk para penggemar budaya Korea

Korea Travel Fest merupakan sebuah acara besar-besaran yang luar biasa, dan dijangka menarik lebih 20,000 orang penggemar budaya Korea untuk menikmati dunia hiburan, budaya dan percutian ke Korea Selatan. Memandangkan rancangan hiburan Korea adalah salah satu “hadiah” terbesar Korea Selatan kepada dunia, program dua hari tersebut bakal menampilkan acara hiburan hebat, yang tiada tolok bandingannya!

Hari 1: Perjalanan yang berirama melalui runut bunyi K-drama

Hari pertama festival bakal membawakan suatu pengalaman yang mempesonakan dan meruntun jiwa dengan sebuah konsert yang membariskan artis Korea Selatan yang berbakat. Persembahan ini akan membawa para peminat ke dalam sebuah perjalanan melalui runut bunyi (OST) yang tidak dapat dilupakan daripada beberapa K-drama yang popular dan menyentuh hati semua. Dengan latar belakang yang menawan dan pemandangan yang indah, persembahan ini akan membawa penonton ke dalam sebuah perjalanan digarapi dengan intipati muzik dan drama.

Antara penghibur yang bakal membuat penampilan ialah Soyou. Beliau bakal naik ke pentas untuk mendendangkan runut bunyi (OST) yang penuh perasaan daripada K-drama popular seperti “Goblin”, “When The Camellia Blooms”, dan “Love in the Moonlight.” Kassy yang berbakat besar pula bakal mempersembahkan lagu daripada “Fight for My Way”, “Hometown Cha-Cha-Cha”, dan “Alchemy of Souls”.

Sementara itu, Car, The Garden, seorang lagi artis berbakat, akan memberikan sentuhan ajaibnya dengan lagu OST daripada drama popular “Hometown Cha-Cha-Cha”, “Alchemy of Souls” dan “Now, We Are Breaking Up”. Akhirnya, Vincent Blue juga bersedia untuk memukau para peminat dengan suaranya yang lunak, mendendangkan lagu daripada “She Was Pretty,” “Weightlifting Fairy Kim Bok Joo” dan “Crash Course in Romance”.

Hari 2: Sepetang bersama Kim Jaejoong

Pada hari kedua, tumpuan bakal diberikan kepada penyanyi, artis, penulis lagu Korea Selatan – Kim Jaejoong. Terkenal dengan vokal yang luar biasa dan karisma di pentas, Kim Jaejoong bukan sahaja akan mempersembahkan sebuah konsert eksklusif yang hebat (termasuk beberapa kejutan lain!) malahan bakal menyertai para peminat dalam sebuah sesi khas yang mana beliau akan berkongsi kisah peribadi dan menjawab soalan-soalan yang membara daripada mereka.

Muzik, fesyen, makanan dan percutian – Korea Travel Fest ada segalanya!

Namun begitu, jangan salah sangka – Korea Travel Fest bukan hanya mengenai muzik. Malahan, sepanjang tempoh dua hari tersebut, ia bakal membawakan beraneka pengalaman yang cukup menarik.

Contohnya – bagi mereka yang ingin melawat Korea Selatan – Korea Travel Fest adalah tempat terbaik untuk dikunjungi dan mendapatkan segala maklumat perjalanan yang disediakan di Zon K-Travel. Di samping memanfaatkan promosi pakej percutian dalam talian, pengunjung juga berpeluang untuk meneroka reruai maklumat perjalanan yang menawarkan panduan daripada organisasi dan rakan kongsi pelancongan serantau yang mengambil bahagian, termasuk:

  • Organisasi Pelancongan Busan
  • Wilayah Gangwon
  • Organisasi Pelancongan Gwangju
  • Wilayah Jeju
  • Organisasi Pelancongan Jeju
  • Yayasan Kebudayaan dan Pelancongan Jeonbuk
  • Ahli Jawatankuasa Visit Korea
  • Gua Gwangmyeong
  • AirAsia X
  • Batik Air
  • Klook
  • Korean Air (Promosi dalam talian)
  • ShopBack

Sementara itu, pelbagai aktiviti lain sedia menanti semua pengunjung.

Zon K-Beauty (Kecantikan)

Terokai dunia kecantikan dan kesejahteraan dari Korea bersama wakil-wakil daripada rakan kongsi seperti Watsons Malaysia, peruncit kesihatan dan kecantikan terkemuka yang memberi inspirasi kepada semua untuk menikmati kehidupan sepenuhnya, menetapkan piawaian baharu dalam pasaran kesihatan, kesejahteraan dan kecantikan. Watsons akan menampilkan jenama kecantikan eksklusif COSRX dan AXIS-Y di Korea Travel Fest.

Zon K-Content (Aktiviti)

Para penggemar percutian musim sejuk boleh menikmati pameran Zon VR yang menampilkan aktiviti meluncur salji di musim sejuk, manakala mereka yang ingin mempelajari tradisi Korea Selatan boleh cuba Kostum Tradisional Korea dan Kaligrafi Korea yang elegan. Para pengunjung juga boleh menikmati kandungan K-media terkini, menyertai Zon Tarian K-pop, dan bergambar di reruai foto yang menampilkan konsep Kingdom Friends dan Cheongwadae.

Zon K-Food (Makanan)

Jamu selera anda dengan hidangan Korea dari kedai serbaneka Korea Selatan, emart24; dan pengedar produk pengguna, KMT. Kedai serbaneka emart24 yang pesat berkembang di Korea Selatan, telah menawan hati Malaysia sejak bertapak di sini pada Jun 2021. Nikmati makanan dan minuman Korea yang segar di dalam suasana yang moden. Para pengunjung boleh berkumpul dan bersantai di gerai emart24, umpama di Korea Selatan.

KMT yang ditubuhkan pada 1994 menawarkan beraneka produk Korea premium di K PLUS Food Market. Cubalah pelbagai jenis produk dan makanan Korea di sini, yang menjalinkan hubungan Malaysia dan Korea melalui budaya dan makanan.

Rebut peluang untuk memenangi Pas Umum ke Konsert K-Culture dan Tiket Penerbangan Korean Air!

Pengunjung yang telah berjaya melengkapkan Kad Perjalanan (Journey Card) mereka bukan sahaja akan mendapat peluang utuk memenangi Pas Umum ke Konsert K-Culture yang dinanti-nantikan tetapi juga Tiket Penerbangan Korean Air! Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara untuk menyertai dan meningkatkan peluang anda untuk menang, pastikan anda mengikuti halaman media sosial KTO Malaysia.

Aktiviti menarik bersama Rakan Media

Rakan Kongsi Media Korea Travel Fest yang turut sama di acara tersebut termasuk Astro – syarikat kandungan dan hiburan terkemuka Malaysia; dan KBS World, saluran TV yang menawarkan pelbagai jenis drama dan program hiburan Korea kepada penonton di kira-kira 146 negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Rakan media ini akan menyediakan pelbagai aktiviti dan hadiah yang menarik untuk semua pengunjung. Selain itu, dengan kerjasama bersama KTO, Astro akan memberi ganjaran kepada pelanggan mereka dengan 800 tiket PERCUMA dan mereka boleh menebusnya melalui aplikasi My Astro.

Semua ini dan banyak lagi!

Untuk meraikan warisan bersama Korea dan Malaysia, Korea Travel Fest juga akan membawakan persembahan pelbagai budaya dari kedua-dua negara.

Oleh itu, pastikan anda tidak ketinggalan dan tandakan kalendar anda untuk tarikh 28 dan 29 Oktober. Dengan tersedianya pelbagai pengalaman yang menarik, Korea Travel Fest bakal meraikan segalanya mengenai Korea Selatan, menawarkan sesuatu yang menarik untuk setiap pengunjung.

Khusus untuk mempromosikan Korea Selatan sebagai destinasi terkemuka bagi acara mesyuarat, insentif, konvensyen, dan pameran (MICE), Korea Travel Fest akan diakhiri dengan acara B2B eksklusif pada 30 Oktober. Acara berprestij tersebut akan menjadi sumber maklumat terkini mengenai destinasi MICE yang berkembang maju di Korea yang mana akan dikendalikan oleh pasukan profesional dari biro MICE serantau dan pelbagai penyedia perkhidmatan dari Korea.

Untuk maklumat lanjut tentang Korea Travel Fest, sila layari KoreaTravelFest2023.com.

loading...