3 tahun tanggung rindu, Kang Daniel tapau habis jiwa peminatnya di Malaysia

Arena of Stars, Genting Highlands telah menjadi saksi pertemuan semula Kang Daniel dengan peminat kesayangannya di Malaysia sekaligus menghilangkan rasa rindu di antara mereka. Kali terakhir penyanyi ini menjejakkan kaki ke Malaysia pada 2019 menerusi Kang Daniel ‘Color On Me’ Fan Meeting 

Nah, dek kerana sayang kepada peminatnya di Malaysia, Kang Daniel kembali untuk konsert solo pertamanya di negara ini. KANGDANIEL CONCERT FIRST PARADE IN MALAYSIA di bawakan oleh KONNECT ENTERTAINMENT, ACO MEDIA dan METALIVE WORLD dan telah diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands pada semalam, 14 Januari 2023. Dengan Malaysia menjadi destinasi persinggahan pertama jelajahnya pada 2023, Kang Daniel kembali ke pentas dengan wajah baharu dan energi yang lebih hebat.

Untuk pengetahuan, senarai set lagu persembahan juga dirombak  apabila penyanyi menampilkan tiga lagu baru “Nirvana”, “Ghost” dan “Selfish” daripada album susulannya “The Story : RETOLD”, yang dikeluarkan pada November tahun lepas, untuk mempamerkan rasa cintanya kepada peminatnya.

Kang Daniel membuka tirai konsert dengan lagu “Who U Are” , “Don’t” dan “Always”. Persembahan yang penuh bertenaganya berjaya membuat para peminat terpukau dan ada di antara mereka turut sama menyanyikan lagu itu. Usai tamat menyanyikan lagu pengenalan, Kang Daniel menyapa peminat dalam Bahasa Malaysia yang sempat dipelajarinya seperti:

Apa khabar Malaysia, nama saya KANG DANIEL

Kemudian, dia berkata ia adalah saat yang hebat untuknya di mana akhirnya dia dapat berdiri semula di pentas Malaysia selepas 3 tahun, dan melahirkan rasa terima kasih kepada “DANITY” atas sokongan berterusan mereka. Kang Daniel juga bertanya kepada peminatnya, bagaimana keadaan mereka dalam tempoh 3 tahun ini dan apakah mereka turut hadir semasa Fan Meeting terdahulunya. Dia kemudian menyatakan terima kasih kepada mereka yang pernah menghadiri fan meetingnya dahulu dan berterima kasih juga kepada peminat yang pertama kali hadir.

Seperti tajuknya ‘First Parade’, saya rasa seronok dapat membuat persembahan dengan lagu-lagu saya untuk anda semua dan juga sila menikmati ‘Parade’ ini, yang hanya untuk saya dan DANITY di luar sana -Kang Daniel.

Apabila dia melihat peminat mengangkat papan lampu gergasi dengan perkataan “DANIEL, I love you” dalam bahasa Korea, dia tersenyum malu sebelum menjawab “I love you too”, sekaligus membuatkan peminatnya bersorak dan menjerit bersemangat. Pendek kata, kesemua peminat yang hadir benar-benar berpuas hati dengan persembahan idola mereka dan menikmati konsert itu sehingga ke akhirnya.

Antara lagu yang dinyanyikan sepanjang konsert FIRST PARADE adalah ‘Parade’, ‘Touchin’, ‘2U’, ‘Upside Down’, ‘Jealous’, ‘Loser’, ‘Antidote’, dan ‘Paranoia’. Peminat menggerakkan light stick rasmi KD dan ikut bernyanyi bersamanya. Saat lagu rancak dinyanyikan, dewan bertukar gamat dan meriah dengan sorakan peminat yang tak henti-henti menyatakan rasa sayang serta keterujaan mereka kerana saat itu, Kang Daniel benar-benar di depan mata mereka.

Turut diselitkan dalam konsert Kang Daniel ini adalah aktiviti 10 soalan berkaitan ‘Ini atau Itu’ untuk peminatnya yang mungkin ingin tahu apakah pilihannya. Apabila ditanya sama ada dia lebih suka “tidak minum kopi sepanjang hayatnya” atau “makan piza Hawaii setiap hari”, dia memilih yang pertama dan menjelaskan dalam bahasa Inggeris, “Saya tidak suka nanas di atas pizza.  Pizza sahaja rasanya sedap dan nanas juga salah satu buah yang paling lazat tetapi jika anda menggabungkannya, ia akan menjadi menakutkan!” Dalam soalan lain, ditanya sama ada dia lebih suka “boleh bercakap dalam semua bahasa asing” atau “mempunyai keupayaan untuk berkomunikasi dengan haiwan”, Daniel tersenyum dan memilih yang kedua untuk kucingnya kerana dia sentiasa ingin tahu apa yang cuba dikatakan oleh haiwan itu.

Akhir sekali, dia menyanyikan “Movie” untuk menamatkan persembahan. Sebelum meninggalkan pentas, dia membuat tanda hati dengan tangan dan menundukkan kepala tanda ucapan terima kasih kepada peminatnya yang datang untuk menunjukkan sokongan mereka.

Apapun, kesemua peminat berpuas hati dengan keseluruhan persembahan Kang Daniel dan mengharapkan agar penyanyi itu akan kembali ke Malaysia. Kehadiran Kang Daniel ternyata beri sinar gembira dan aura yang positif ditahun 2023 terutama buat DANITY. Dalam pada itu, Kang Daniel juga dari sudut yang lain dilihat sangat menghargai peminatnya di Malaysia dengan penuh tulus dan tidak berat hati untuk kembali lagi disuatu masa kelak.

Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur dan rakan kerjasamanya dalam memastikan KANGDANIEL CONCERT FIRST PARADE IN MALAYSIA berjalan dengan lancar. Kami dipihak media sangat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada konsert ini dan begitu terharu dengan layanan mesra pihak penganjur. Semoga kita bertemu lagi dilain acara.

Untuk menonton lebih banyak sorotan berkaitan KANGDANIEL CONCERT FIRST PARADE IN MALAYSIA, anda boleh capai dilaman sosial kami.

loading...