10 Lagu Kpop Paling Menyengat & Popular di Malaysia Sepanjang Tahun 2021

May be an image of 11 people

Sukar untuk bayangkan lagu kpop mana paling popular di Malaysia tanpa data yang sah dan boleh dipercayai. Masing-masing akan pertahankan bahawasanya kumpulan bias mereka paling hebat bertahan di kedudukan no.1 dalam carta muzik, memperoleh jualan single atau album paling banyak serta bilangan tontonan Youtube terbanyak, misalnya. Tapi, data diperolehi RIM Malaysia, satu-satunya agensi paling dipercayai di Malaysia, memberikan kejutan yang mungkin tak disedari oleh peminat Kpop selama ini. Data ini telah di’compile’ oleh Kmania dengan penuh tekun sekali berdasarkan jumlah bilangan ‘impressions’ dan kedudukannya di dalam carta RIM setiap minggu.

Apapun, senarai 10 lagu Kpop paling popular di Malaysia yang dikeluarkan sepanjang tahun 2021 (January-Disember) dikaji satu-persatu tentang bagaimana lagu-lagu ini berjaya menggamit perhatian peminat kpop di Malaysia.

Sebelum itu, mari kita lihat 3 lagu yang hampir tersenarai di dalam 10 lagu popular, tapi tidak cukup markah diperlukan untuk berada di dalamnya.

*Extra*:

*Extra*: In The Morning – ITZY

Lagu yang diciptakan khas berinspirasikan permainan “Mafia” atau “Wereworf” ini, In The Morning adalah digunakan untuk memenangi hati dan perasaan pasangan yang dicintai oleh mereka. Sememangnya ITZY telah menghadiahkan sesuatu yang agak berguna untuk peminat mereka bagi menambat hati pasangan masing-masing.

*Extra*: Eleven – IVE

Berbanding lagu-lagu keluaran Aespa dan TWICE yang lebih popular di serantau dunia, pendengar lagu kpop di Malaysia tampaknya tertarik kepada lagu dendangan kumpulan yang baru saja debut pada Disember 2021 lalu, ‘IVE’. ‘Eleven’ adalah sebuah lagu berentakkan pop tarian bertujuan untuk mengekspresikan kasih sayang daripada seorang yang tengah dilamun cinta. Lagu ini agak popular di TikTok baru-baru ini kerana dijadikan cabaran oleh para peminat, selain populariti kumpulan IVE yang diekori kerana sebilangan anggotanya adalah daripada bekas ahli IZONE.

*Extra*: Gone – Rose Blackpink

Gone merupakan lagu daripada single kedua album solo pertama daripada Rose Blackpink. Dicipta khas buat peminat untuk merasai emosinya sendiri, lagu ini adalah lagu yang penuh berpuitis, amat menyedihkan serta penuh dengan kejujuran pernah dirakam oleh Rose sepanjang kariernya sebagai penyanyi. Gone, single hebat ini hampir-hampir berada di dalam top 10 lagu paling menyengat di Malaysia sepanjang tahun 2021.

10. Celebrity – IU

Celebrity, antara lagu paling popular dan mendominasi carta-carta muzik di Korea pada tahun 2021 ini dan kehebatannya diraikan sehingga menggapai anugerah daesang di beberapa anugerah muzik Korea ternama, namun ianya mungkin tak berapa mendapat tempat di hati dalam kalangan pendengar kpop di Malaysia. Bagaimanapun, kehebatannya jangan disangkal lagi kerana ia mampu menempatkan IU di tangga kesepuluh lagu popular di Malaysia sepanjang tahun 2021 lalu dengan menduduki posisi tertinggi no.3 di dalam carta RIM dan kekal berada di dalam top 20 selama 4 minggu berturut-turut. .Lagu berentak pop dan penuh bertenaga ini telah dinukilkan oleh IU sempena mengecapi kemasyurannya sebagai selebriti ternama.

9. Lalisa – Lisa Blackpink

Ironinya, prestasi single pertama daripada album solo Lisa Blackpink ini dilihat agak memuaskan di Korea memandangkan penyanyi itu sendiri bukannya lahir daripada keturunan berbangsa Korea. Lalisa juga mencipta rekod dunia sebagai lagu artis solo paling cepat raih tontonan tertinggi di Youtube, dengan 73.6 juta tontonan di dalam tempoh 24 jam. Prestasi lagu ini di carta RIM agak menarik diketengahkan apabila mencapai kedudukan no.1 di minggu pertama, dan kekal berada di dalam top 10 selama 7 minggu berturut-turut.  Dikala pencapaian yang agak hebat ketika mula diperkenalkan, Lalisa mula suram selepas terkeluar daripada carta RIM sebaik saja minggu ketujuh berakhir sebelum single kedua pula kembali menangkap gegendang telinga pendengar.

8. On The Ground – Rose Blackpink

On The Ground, single pertama keluaran Rose ini bukan saja mempunyai keunikannya tersendiri, malah disebut-sebut pengkritik antara lagu kpop terbaik pernah dihasilkan pada tahun 2021 seperti dinamakan oleh SCMP, Billboard dan NME. Prestasi On The Ground di dalam carta RIM Malaysia juga tidak menghampakan apabila bermula dengan posisi no.2 sebelum menjuarainya untuk sekali pada minggu kedua, dan akhirnya kekal berada di dalam top 20 selama 8 minggu berturut-turut. On The Ground dinukilkan khas untuk mencari jawapan sebenar kepada kehidupan, apa motifnya serta apa yang dirasai Rose terhadap khalayak manusia selama ini.

7. Dynamite – BTS

Single membuatkan kembalinya BTS di persada industri kpop ini bukan saja popular di Korea dan Amerika Syarikat, malah ia turut mendunia di Malaysia. Dynamite’ ialah sebuah lagu dengan gubahan sepenuhnya di dalam bahasa Inggeris dan merupakan lagu single ‘English’ kedua keluaran mereka tanpa bahasa rojak selepas ‘Waste It On Me’. Ia dicanang-canangkan sebagai lagu musim panas paling gemilang untuk tahun 2020 berentakkan ‘upbeat’ disco pop sebagai sokongan buat mereka yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Single pertama yang dipetik daripada album ‘BE’ ini, debut di kedudukan no.1 dan kekal dalam posisi sama selama enam minggu berturut-turut sejak dilancarkan pada 21 Ogos 2020. Kemudian, ia menurun sedikit ke posisi no. 3 pada minggu ke-7 dan naik semula di posisi no.2 pada minggu kelapan dan minggu keempat belas masing-masing disebabkan lagu ‘Lovesick Girls’ oleh Blackpink dan ‘Life Goes On’ yang berada di posisi pertama pada minggu tersebut. ‘Dynamite’ tidak langsung terkeluar daripada carta RIM dan masih kekal berada dalam top10 carta RIM selama 17 minggu berturut-turut sehingga carta RIM bertarikh 31 Disember 2020.

Bermula tahun 2021 pula, Dynamite tetap melangsungkan penguasaannya di dalam top 10 carta RIM selama 8 minggu berturut-turut dengan 2 minggu lagi pernah berada di top 10 setelah berada di top 20 selama hampir 32 minggu bermula pada 21 Ogos 2020 hingga 5 April 2021.

Biarpun diangkat lagu Kpop paling popular di seluruh dunia dengan tontonan terbanyak di Youtube dalam masa sehari, melangkarkan sejarah sebagai lagu Kpop pertama menjuarai carta Hot100 Billboard di samping tercalon di dalam anugerah Grammy ke-63 untuk kategori Grammy Award for Best Pop Performance by a Duo or Group with Vocals, Dynamite belum cukup menepis populariti lagu Kpop seterusnya itu untuk diangkat menjadi lagu siulan rakyat Malaysia sepanjang tahun 2020 apabila terhalang dek penangan ‘How You Like That’ Blackpink.

6. My Universe – Coldplay ft. BTS

Gandingan kumpulan kpop dengan kumpulan kugiran tersohor yang terkenal dengan lagu-lagu berentak ‘indie’ rock, mungkin kedengaran agak pelik kerana bahasa Inggeris dan Korea yang dipadukan bersama, namun ianya ternyata menjadi sebuah gabungan agak berjaya hingga menjuarai carta-carta muzik di seluruh dunia termasuklah Billboard dan Rolling Stone.  Prestasi My Universe di carta RIM Malaysia juga mengagumkan apabila ‘debut’ di posisi no.1, sebelum berada di dalam top 10 selama 8 minggu berturut-turut. Lagu ini kekal berada di top 20 selama 11 minggu sehingga carta RIM bertarikh 31 Disember 2020.

Adakah dengan kejayaan My Universe ini membuatkan kumpulan pop yang mendominasi pasaran muzik sekian lama dulu seperti Backstreet Boy, Westlife, N’Sync dan terbaru, One Direction dapat bertaut dengan BTS pula untuk single terbaru? Sama-sama kita saksikan.

5. Permission To Dance – BTS

Lagu susulan daripada BTS di dalam digital EP yang sama, Permission To Dance ini tetap mempunyai keunikannya tersendiri. Menjadi single keempat menjuarai carta Billboard Amerika Syarikat, lagu ini dicipta khas untuk membuatkan jantung pendengar berdegup kencang mengikuti ritma BTS. Nama konsert BTS di Amerika Syarikat turut diabadikan menerusi judul single ini telah membuatkannya agak dikenali selepas kejayaan “Butter”.

Peminat kpop di Malaysia juga meraikan kecemerlangan Permission To Dance dengan terbabit sama di dalam tarian ‘cover’ dan dimuatnaik menerusi Youtube serta TikTok. Antaranya, Khai Bahar yang turut menyumbangkan suaranya untuk ‘cover’ Permission To Dance. Promosi sedemikian sekaligus memacu populariti Permission To Dance di Malaysia, bermula dengan ‘debut’ pada posisi no.1 di carta RIM Malaysia dan kekal berada di top 5 selama 8 minggu berturut-turut. Seterusnya, lagu ini mengekalkan kedudukannya di dalam top 20 selama 12 minggu berturut-turut.

4. Life Goes On – BTS

‘Life Goes On’, yang sudah semestinya menjadi lagu dan single ke-2 daripada album BE yang dikeluarkan lewat pada November 2020 tapi mampu mengekalkan keberadaan di tangga no.1 untuk empat minggu berturut-turut sehingga carta RIM bertarikh 31 Disember 2020. Selepas itu, kendatipun menurun ke posisi no.2, lagu ini tetap mengisi tempat top 10 selama 12 minggu berturut-turut, seterusnya memastikan keberadaannya di dalam carta RIM kekal termaktub selama 22 minggu secara keseluruhan. Bayangkan begitu lama tempoh ‘Life Goes On’ ini bertahan sehingga menjadi pilihan para pendengar muzik di Malaysia.

Berbanding ‘Dynamite’ yang lebih menangkap gegendang pendengar kerana bersifat ‘catchy’, ‘Life Goes On’ lebih mengingatkan peminat ARMY terutamanya akan lagu balad melodramatik yang pernah dikeluarkan BTS pada suatu masa dulu iaitu ‘Spring Days, sebagai langkah penyembuhan buat mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

3. Only – Lee Hi

Only, lagu melodramatik dendangan Lee Hi ini tidak disangka-sangka mampu menarik perhatian pendengar sepanjang tahun 2021 lalu. Boleh dianggap sebagai ‘sleeper hit’ yang amat berkualiti, ‘Only’ dijadikan cover nyanyian oleh beberapa artis tempatan sehingga tertular di media sosial, Tiktok. Keunikannya sebagai lagu balada dengan naratif lembut kerana berkisarkan tentang cinta abadi di sampuan paduan gemersik suara Lee Hi telah membuatkan para pendengar boleh menitiskan air mata tanpa disedari.

Jika diamati prestasi Only di dalam carta RIM, ia sangat menakjubkan lagi-lagi lagu ini terpaksa bersaing dengan beberapa lagu popular masa kini. ‘Only’ debut pada minggu pertama carta RIM pada posisi 7 sebelum menginjak ke posisi no.1 pada minggu kedua dan keempat. Lebih menakjubkan lagi, ‘Only’ tetap tidak berinjak kedudukannya dalam kalangan top 10 carta RIM untuk 14 minggu berturut-turut sehinggalah carta RIM tamat pada 31 Disember 2021.

2. Money – Lisa Blackpink

Jika Lalisa kurang mendapat sambutan, namun single kedua dendangan Lisa ini lain pula ceritanya. Money adalah sebuah lagu hip hop yang berkisarkan tentang amalan menghabiskan wang ketika diri-sendiri terlalu kaya. Dibantu oleh “cover” tarian yang dibuat oleh artis-artis tempatan di Tiktok dan Instagram sebagai cabaran kepada persembahan “cover” daripada Lisa sendiri, Money tertular sehingga menjadi pilihan para pendengar untuk turut ikut menari. Bukan itu saja, ‘Money’ turut dijadikan latar belakang untuk penyuntingan video-video yang dibikin oleh peminat drama Squid Game, sekaligus memacu popularitinya di persada dunia.

Prestasi ‘Money’ di dalam carta RIM juga terserlah kehebatannya apabila ‘debut’ di minggu pertama pada posisi no.3 dan perlahan-lahan mendaki ke posisi no. 1 pada minggu ke-5. ‘Money’ kekal berada di dalam top 10 selama 11 minggu berturut-turut dan 14 minggu secara keseluruhan setakat ini sehingga carta RIM bertarikh 31 Disember 2021.

Begitulah penangan ‘Money’ yang akhirnya menjadi lagu solo paling cemerlang daripada mana-mana ahli Blackpink setakat ini. (Untuk rekod, lagu solo dendangan Jennie Blackpink berjaya berada di posisi keempat di dalam kalangan 10 Lagu Paling Popular di Malaysia sepanjang tahun 2018)

1. Butter – BTS

Tiada kejutan lagi apabila lagu paling popular di Malaysia sepanjang tahun 2021 lalu jatuh kepada Butter yang dinyanyikan oleh BTS. Walaupun ‘Butter’ merupakan single utama kepada album EP dengan dua buah lagu saja dijadikan sandaran mereka untuk tahun ini, kecemerlangan ‘Butter’ di media sosial dan carta-carta muzik di seluruh dunia tidak boleh dipertikaikan lagi.

‘Butter’ yang dihasilkan untuk memudahkan orang mendengarnya, telah menjadi lagu BTS paling lama mengisi posisi no.1 di dalam carta Billboard HOT 100 selama 9 minggu. Menjadi lagu paling cepat raih 108.2 juta di Youtube dalam tempoh sehari saja, prestasi Butter di dalam carta Hot 100 dan Youtube turut memecahkan rekod yang pernah dibuat oleh ‘Dynamite’ sebelum ini. Bagaimanapun, kontroversi mula menggigit populariti Butter di mata rakyat Amerika Syarikat apabila beberapa peminat di luar negara termasuklah Korea cuba memanipulasikan carta jualan digital dengan membeli secara pukal di Paypal dan Amazon menyebabkan lagu ini tetap mendominasi di tangga pertama untuk beberapa minggu. Tindakan daripada sebilangan peminat ini menyebabkan Billboard terpaksa mengubah peraturan melibatkan lagu-lagu popular yang disenaraikan di dalam Hot 100 di masa depan.

Apapun, jika diceritakan pula tentang kehebatan di dalam carta RIM, tidak dinafikan lagu Butter ini tersangat “mahal” di Malaysia kerana mampu kekal berada di dalam top 20 selama 24 minggu berturut-turut dan hanya terkeluar pada minggu ke-25. Mula ‘debut’ di minggu pertama pada posisi tertinggi sekali, ‘Butter’ tetap memastikan dominasinya di tangga no.1 untuk 7 minggu berturut-turut dan dalam kalangan top 5 untuk 16 minggu secara keseluruhan.

Tahniah BTS dinobatkan sebagai lagu paling popular dan menyengat di Malaysia sepanjang tahun 2021 sekaligus merampas gelaran tersebut daripada penyandang, Blackpink pada tahun 2020 sebelumnya. Prestasi cemerlang ‘Butter’ oleh BTS ini turut mengatasi apa yang pernah dibuat oleh How You Like That (2020) dan Dddu Dddu Dddu Dddu (2018) oleh Blackpink di Malaysia sebelum ini.

loading...